Kes Syamsul Haris, ibu dedah darah pekat membuak-buak tanpa henti dari hidung, telinga ketika bedah siasat. Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil tanggungjawab penuh menyiasat kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Perkara itu dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang meluluskan permohonan keluarga untuk membongkar semula kubur arwah, bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan akur dengan arahan mahkamah serta memberi jaminan penuh dari segi penyelarasan siasatan.
“PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun (ibu Allahyarham) yang telah difailkan melalui peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula kubur Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Susulan itu, PDRM turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘Rule of Law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Dalam prosiding semalam, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengarahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim turut menetapkan bahawa proses bedah siasat kedua itu perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Pada prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:
* Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
* Perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
* Perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan, dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.
Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini dilaporkan berkata hasil siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian Syamsul Haris.
Menerusi temu bual bersama Mingguan Wanita baru-baru ini, Ummu Haiman telah berkongsi foto anaknya ketika proses bedah siasat untuk menunjukkan bukti bahawa apa yang dikatakannya sebelum ini benar.
“Mama jaga diri baik-baik tau. Itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengan anak. Ada terlalu banyak percanggahan fakta tentang masa kematian Haris.
“Itulah yang saya perjuangkan. Saya rasa berdosa kalau tak “bersuara” apa yang terjadi di sebalik kematian Haris.
“Saya kehilangan seorang anak yang menjadi tempat saya bergantung. Lepas kematian ayahnya, Haris sentiasa ingin berada dekat dengan saya.
“Dia tulang belakang saya. Anak harapan , anak saya kongsikan segalanya dan kini dia tak ada. Pemergiannya cukup menyedihkan jiwa dan raga saya,” demikian kongsi Puan Ummu.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram. Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu pada 29 Julai.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menjelaskan siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Kes Kematian Pelatih PALAPES, Ibu Yakin Anak Cedera Dipukul Objek Tumpul
Ibu Syamsul Haris Dedah Wujud Tanda Pada Dada Arwah, Ada Kesan Umpama Ditikam, Terkena Objek Tajam
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE