
Kes sumbang mahram bekas anggota Polis dengan adik ipar, hukuman penjara 15 tahun, sebat kekal. Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta tiga sebatan terhadap seorang bekas anggota polis berusia 32 tahun kerana kesalahan sumbang mahram dengan adik iparnya.
Kes Sumbang Mahram Bekas Anggota Polis Dengan Adik Ipar, Hukuman Penjara 15 Tahun, Sebat Kekal
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama dua lagi hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.
Menyampaikan keputusan, Azman menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi undang-undang atau fakta ketika mensabitkan kes berkenaan.
“Perlu diingatkan bahawa SP1 (saksi pendakwaan pertama iaitu mangsa) ialah seorang gadis yang tinggal di rumah perayu dan kakaknya dan perayu adalah abang ipar mangsa,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hukuman tersebut tidak dianggap keterlaluan kerana perbuatan tertuduh telah merosakkan masa depan mangsa.
“Tambahan pula, ketika kejadian, perayu berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Tertuduh sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 28 Ogos 2023 dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta tiga sebatan. Rayuannya kemudian ditolak Mahkamah Tinggi pada 26 November tahun lalu sebelum dia membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah apartmen di Selangor pada 23 Mac 2020 terhadap mangsa berusia 19 tahun, mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Menurut penghakiman Mahkamah Tinggi, mangsa ketika itu seorang pelajar kolej. Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, dia diarahkan keluar dari asrama. Tidak dapat pulang ke kampung, mangsa akhirnya menumpang di kediaman kakaknya yang baru berkahwin dengan tertuduh.
Dalam prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Shaharuddin Mohamed manakala Timbalan Pendakwa Raya Shamala Jaganathan hadir mewakili pihak pendakwaan.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel terkini yang lain: Engku Emran Bangga Aleesya Cemerlang IGCSE -Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan
RM2 Juta Tak Boleh Beli Tiket Ke Syurga Wanita Pesakit Barah Tolak Tawaran Jadi Duta Produk
Kepala Bayi Terputus, Badan Tertinggal Dalam Perut Ibu Waktu Dilahirkan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI