Kes Pelajar Tingkatan Tiga Jatuh Bangunan: Polis Lengkapkan Kertas Siasatan

Share

Kes pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam kini berada di fasa akhir siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan bahawa siasatan di lokasi kejadian serta penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sudah selesai dilakukan.

Menurut beliau, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada ramai individu bagi membantu siasatan.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/kes-pelajar-jatuh-tingkat-3-keluarga-rayu-saksi-tampil-beri-keterangan/

“Kini, kertas siasatan sedang dikemaskini untuk diangkat kepada pihak pendakwaan negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar.

Memetik laporan Kosmo, Shazeli enggan mengulas sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan unsur buli atau tidak sehingga laporan penuh diserahkan kepada pejabat pendakwaan negeri.

Mangsa Masih Belum Sedarkan Diri

Sementara itu, mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, kini masih menerima rawatan di hospital dan dilaporkan belum sedarkan diri.

Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis memaklumkan sudah memperoleh beberapa petunjuk positif hasil daripada keterangan yang diambil.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen ini memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan, jagaan atau kawalan terhadap seorang kanak-kanak, tetapi mengabaikan, mendedahkan atau memperlakukan kanak-kanak itu secara menyakitkan fizikal atau emosi, sehingga boleh mendatangkan kecederaan, membahayakan kesihatan, atau mengganggu perkembangan mereka.

Sebelum ini, kes Ahmad Irfan mengejutkan orang ramai apabila beliau parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 24 Ogos lalu. Kejadian itu mencetuskan spekulasi ada kaitan dengan isu buli, yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu