Kes pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam kini berada di fasa akhir siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan bahawa siasatan di lokasi kejadian serta penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sudah selesai dilakukan.
Menurut beliau, pihak polis juga telah merakam keterangan daripada ramai individu bagi membantu siasatan.
“Kini, kertas siasatan sedang dikemaskini untuk diangkat kepada pihak pendakwaan negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar.
Memetik laporan Kosmo, Shazeli enggan mengulas sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan unsur buli atau tidak sehingga laporan penuh diserahkan kepada pejabat pendakwaan negeri.
Mangsa Masih Belum Sedarkan Diri
Sementara itu, mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, kini masih menerima rawatan di hospital dan dilaporkan belum sedarkan diri.
Ads
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis memaklumkan sudah memperoleh beberapa petunjuk positif hasil daripada keterangan yang diambil.
Ads
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen ini memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan, jagaan atau kawalan terhadap seorang kanak-kanak, tetapi mengabaikan, mendedahkan atau memperlakukan kanak-kanak itu secara menyakitkan fizikal atau emosi, sehingga boleh mendatangkan kecederaan, membahayakan kesihatan, atau mengganggu perkembangan mereka.
Sebelum ini, kes Ahmad Irfan mengejutkan orang ramai apabila beliau parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 24 Ogos lalu. Kejadian itu mencetuskan spekulasi ada kaitan dengan isu buli, yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Hampir setahun naik turun mahkamah, akhirnya ikatan perkahwinan antara pelawak dan pelakon Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, mensabitkan berlakunya talak rajie seperti yang dilafazkan Along pada 18 Jun 2024. Afreena diperintahkan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.
Sebelum prosiding selesai, hakim sempat menitipkan pesanan penuh makna:
“Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. Allah uji masing-masing. Sama seperti nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berautoriti.”
Prosiding selama sejam itu turut mengesahkan tiada lafaz rujuk berlaku, sekali gus menoktahkan kisah rumah tangga yang hanya sempat bertahan setahun.
Along yang ditemui selepas prosiding mengakui lega meskipun hatinya berat menerima hakikat.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula, tak sangka jadi begini. Akhirnya, ia tetap kembali kepada kekurangan saya sebagai suami,” luahnya.
Bagi Afreena pula, lafaz talak ini bukan lagi luka baharu. Beliau mengakui sudah lama melangkah ke hadapan.
“Seperti yang saya jangka, hari ini mahkamah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan. Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya,” katanya tenang.
Kisah rumah tangga mereka mula diperkatakan apabila Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik pada Januari lalu, mendakwa isterinya melanggar beberapa perjanjian taklik.
Pertikaian mengenai dakwaan lafaz rujuk yang tidak diakui Afreena membuatkan proses perundangan berlarutan hingga berbulan lamanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 namun perkahwinan itu berakhir hanya selepas tiga bulan, apabila Along melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.
Suasana pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha hari ini penuh tumpuan. Seawal jam 7 pagi, media mula memenuhi kawasan luar sekolah, menanti prosiding locus in quo, lawatan luar mahkamah dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu yang dikaitkan dengan kes buli.
Kira-kira jam 11.49 pagi, barisan peguam, keluarga, pihak sekolah, pakar forensik, polis, dan Koroner Amir Shah Amir Hassan beredar selepas menyaksikan demonstrasi di lokasi kejadian. Tiga patung berisi air digunakan untuk menjelaskan bagaimana insiden itu mungkin berlaku, termasuk simulasi dari tingkat tiga blok asrama.
Peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh, yang mewakili lima suspek, menyatakan pihak mereka berpuas hati dengan cara demonstrasi itu dijalankan. Kira-kira 60 orang hadir bagi memastikan setiap sudut diperincikan, termasuk pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, serta ibu bapa Zara yang sabar mengikuti setiap langkah prosiding.
Bagi orang luar, ia mungkin sekadar prosiding. Namun, bagi seorang ibu, menyaksikan demonstrasi patung yang menggambarkan anaknya, ia adalah luka yang diguris semula. Setiap jatuhan patung itu bukan sekadar eksperimen, tetapi refleksi kepada persoalan. apakah benar begitu cara anaknya menemui ajal?
Inkues ini bukan sahaja mencari keadilan untuk Zara, tetapi juga membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya isu buli di sekolah. Kematian seorang anak bukan sekadar kehilangan peribadi, ia adalah tamparan untuk seluruh sistem pendidikan, undang-undang, malah kita sebagai masyarakat yang kadang kala menutup mata terhadap penderitaan remaja.
Terdahulu, Koroner Amir Shah tiba di kawasan kejadian pada jam 9 pagi, diiringi kakitangan mahkamah, pegawai pengendali serta peguam yang mewakili anak guam masing-masing dalam inkues berkenaan.
Prosiding locus in quo bermaksud prosiding luar mahkamah di lokasi sebenar kejadian.
Dalam konteks undang-undang, ia adalah satu lawatan ke tempat kejadian oleh hakim (atau koroner dalam kes inkues), bersama peguam, saksi, serta pihak berkaitan. Tujuannya adalah untuk:
melihat sendiri keadaan lokasi
memahami gambaran sebenar situasi
dan menilai bagaimana sesuatu insiden mungkin berlaku.
📌 Dalam kes inkues Allahyarham Zara Qairina, prosiding locus in quo dijalankan di SMKA Tun Datu Mustapha, tempat kejadian didakwa berlaku. Di situ, demonstrasi dengan tiga patung berisi air dilakukan bagi memberi bayangan tentang kemungkinan cara insiden itu berlaku.
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan senyuman adalah kebahagiaan terbesar. Namun, bagaimana jika senyuman itu diganti dengan tangisan dalam diam, luka di hati, malah torehan di pergelangan tangan?
Itulah yang dilalui oleh Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, seorang suri rumah yang kini berperang dengan keresahan selepas anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan trauma akibat buli.
Anaknya berpindah ke sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor, pada Julai lalu dengan harapan baharu. Tetapi seawal hari kedua, dunia si gadis kecil ini sudah mula suram. Diejek, dipulaukan, dijadikan bahan ejekan berulang kali.
Aduan demi aduan dibuat kepada guru disiplin, namun kisah itu tidak pernah berhenti. kemuncaknya berlaku pada 12 September, apabila anaknya sekali lagi diejek hingga pulang ke rumah dengan jiwa yang semakin luka.
“Saya mula perasan keadaannya semakin teruk bila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” cerita ibunya dengan nada sebak.
Lukisan itu bukan sembarangan. Ada imej gelap, simbol tekanan, bahkan tulisan yang menggambarkan keinginan untuk menamatkan hidup: “Saya stress, penat dan serabut.” Lebih memilukan, si anak mengaku menoreh tangannya sendiri.
Dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), remaja itu kini menjalani rawatan pakar psikiatri. Pemeriksaan mendapati skor emosinya sangat tinggi, dengan simptom kemurungan yang membimbangkan, berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.
Menurut Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, mangsa jelas menjadi mangsa buli berterusan: ejekan verbal, fitnah dan pengasingan sosial. Semua itu menghakis keyakinan diri seorang remaja yang baru belajar memahami dunia.
Kisah tragis ini bukan satu-satunya. Seorang lagi murid Tingkatan Dua di Mantin, Negeri Sembilan turut menjadi mangsa buli sehingga trauma untuk ke sekolah.
Adiknya dituduh cuba “merampas” kawan dan teman lelaki pelajar lain, lalu dihukum dengan kejam. Ditendang, tudung ditarik sehingga menampakkan rambut dan leher, wajahnya dipukul dengan botol kaca.
Namun lebih mengejutkan, kes itu hanya “diselesaikan” di bilik kaunseling dengan permintaan maaf dari pembuli, tanpa pengetahuan ibu bapa mahupun pengetua.
Di Cheras, seorang bapa, Mohd Izham Zakri Mohd Desa, meluahkan kekecewaan yang tidak terungkap. Anak lelakinya, pelajar Tingkatan Tiga yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah hingga ke peringkat negeri, rupa-rupanya menjadi mangsa buli sejak tahun 2023.
Lebih memilukan, penderitaan itu disembunyikan, bukan hanya oleh pelajar lain, bahkan wujud dakwaan melibatkan guru yang menekan emosi si anak.
Sebagai seorang ayah, tiada yang lebih menyakitkan daripada mengetahui penderitaan anak disembunyikan.
“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya dengan nada kecewa.
Bagi Izham, perbuatan ini bagaikan menikam dari belakang. Bagaimana mungkin sebuah institusi yang sepatutnya melindungi, sanggup menutup mata dan menutup mulut anaknya sendiri?
Menurutnya lagi, anaknya bukan sahaja ditampar oleh rakan, malah menjadi mangsa buli siber yang didakwa turut melibatkan beberapa guru.
Lebih mengejutkan, ketika si ayah bersuara, ada pula guru yang membuat laporan polis terhadap dirinya seolah-olah keberanian seorang bapa membela anak dianggap ‘campur tangan hal sekolah’.
Aduan telah dibuat melalui laporan polis dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Apa yang diharapkan hanyalah keadilan untuk anak, dan tindakan tegas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Kerana bagi seorang ayah, tiada luka yang lebih perit daripada melihat anaknya berjuang seorang diri dalam senyap, dikhianati oleh sistem yang sepatutnya menjaga.
Buli bukan sekadar masalah disiplin. Ia adalah luka jiwa yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Kisah dua remaja ini membuktikan betapa seriusnya isu yang sering dipandang ringan.
Setiap anak berhak berasa selamat di sekolah, bukannya dihantui rasa takut, dipulaukan atau dicederakan. Dan setiap ibu bapa berhak mengetahui apa yang benar-benar berlaku kepada anak mereka.
Kerana pada akhirnya, yang kita lindungi bukan sekadar fizikal mereka, tetapi hati, jiwa dan masa depan yang masih panjang terbentang.
Sebuah rumah perlindungan wanita, Baitus Solehah mendedahkan kes gadis mengandung tanpa nikah yang agak luar biasa.Bukan sekali tapi lapan kali dan hampir kesemua kehamilannya melibatkan lelaki berbeza selepas individu berkenaan mendapatkan perlindungan ketika kehamilan kelapannya.