Kes Dua Beradik Lemas Di Sungai Linggi: Bapa Direman, Polis Kesan Ibu Kandung. Polis menahan reman bapa kepada dua kanak-kanak yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas pada Khamis lalu. Turut direman ialah teman wanitanya yang juga berada di lokasi ketika insiden berlaku.
Kes Dua Beradik Lemas Di Sungai Linggi: Bapa Direman, Polis Kesan Ibu Kandung
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kedua-dua suspek direman bermula 5 hingga 11 September selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.
Beliau turut mengesahkan bahawa wanita berusia 41 tahun yang berada dalam kenderaan bersama dua beradik tersebut bukan ibu kandung mereka, sebaliknya adalah teman wanita kepada bapa mangsa.
“Setakat ini, status hubungan antara bapa dan ibu kandung kanak-kanak tersebut masih belum dapat dipastikan sama ada mereka masih suami isteri atau sudah berpisah,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan kedua-dua suspek ditahan selepas keterangan yang diberikan menimbulkan keraguan.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Ads
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta yang digunakan didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya.
Dalam tragedi tersebut, dua beradik berusia enam dan lapan tahun ditemukan lemas selepas terperangkap dalam kenderaan yang terbabas ke dalam sungai berkenaan. Difahamkan, kereta itu diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan sebelum menggelongsor masuk ke air, manakala bapa mereka dikatakan keluar sebentar untuk merokok.
Polis kini sedang berusaha mengesan ibu kandung kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan bagi melengkapkan siasatan.
Ads
“Setakat ini, status hubungan antara bapa dan ibu kandung kanak-kanak tersebut masih belum dapat dipastikan sama ada mereka masih suami isteri atau sudah berpisah,” katanya.
Doa seorang ibu anak jadi mangsa nafsu serakah bertopeng Ustaz termakbul, Fathi Naim dipenjara 15 tahun. Allah sentiasa bersama orang yang benar.
Doa seorang ibu yang mencari keadilan buat anak perempuannya yang menjadi mangsa serakah seorang bergelar “Ustaz” akhirnya termakbul apabila penceramah bebas, Fathi Naim semalam dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol mangsa yang berusia 13 tahun ketika itu.
Memiliki tiga isteri dan lapan anak, semalam Hakim Mahkamah Seksyen Klang, Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali Ustaz Fathi Naim selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai sakit slipped disc selain perlu menanggung tiga isteri serta lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Di sebalik berita penceramah bebas ini dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rogol mangsa bawah umur, peguam Nor Zabetha yang berjuang bersama ibu kanak-kanak ini berkongsi bagaimana si ibu terpaksa menghadapi pelbagai fitnah dan tekanan. Namun syukur, walau diawalnya penuh keperitan dan ujian tapi Allah bersama mereka. Ikuti catatan dari peguam Nor Zabetha mengenai kisah ibu ini.
Tadi petang ketika, si ibu mangsa menghubungi saya sebelum saya menjawab, saya terdengar sendiri si ibu sedang menyuarakan kesyukuran dengan individu di sebelah “Alhamdulillah, macam-macam fitnah yang kita kena..”, dia berhenti bila saya menjawab salam.
Dia sambung perbualannya dengan saya, “Alhamdulilah. Dia dihukum puan 15 tahun penjara”.
Saya ingat kali pertama si ibu hubungi saya. Dia jadi susah hati dan gusar. Macam-macam tuduhan dia terima.
Orang tuduh dia jual anak dan menggunakan anaknya baru 13 tahun memerangkap ustaz kononnya dan menjual anaknya untuk habuan.
Tak cukup anaknya dimangsakan diantun secara seksual tanpa pengetahuannya. Bila dia tahu dan dia meneruskan tindakan undang-undang, dituduh pula dia menjual anak. Dia digambarkan ibu yang jahat dan kejam.
Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Siapalah yang mahu percaya ceritanya berbanding si ‘ustaz’ itu. Dia tidak popular. Dia tidak pandai menarik ‘audience’ atau bermain naratif.
Semuanya bermula dengan anak ini bertanyakan soalan di media sosial pada penceramah ini tentang hukum dan dia diminta untuk hubungi whatsapp.
Lelaki ini telah menodai anaknya ketika berusia 13 dan/atau 14 tahun, tak lama dari tarikh perkenalan mereka.
Saya masih ingat lagi bagaimana kes ini dulu ditertawakan oleh warganet yang tidak bertanggungjawab. Bila Fathi Naim dituduh dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, hal ini menjadi jenaka pula.
Ada yang menulis di posnya bahawa kalau berkali-kali kejadian itu, entah-entah ustaz yang dirogol gadis 14 tahun.
Kemudian diselang-seli komen, “14 tahun macam kereta Myvi baru keluar kilang”.
Biadap dan bodoh! Tiada apa yang kelakar untuk mentertawakan atau berjenaka dengan kesalahan jenayah. Sedang Fathi Naim dituduh dengan 9 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang dan 1 pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Apa yang lucu bila siasatan dan pertuduhan dimulakan di mahkamah? Sudah ada elemen jenayah, jadi tak kelakar memperlekehkan mangsa.
Kali pertama si ibu hubungi saya “Puan saya tak percaya dekat orang, saya hendak dapatkan keadilan. Macam-macam orang fitnah saya”, si ibu sangat tertekan. Saya ambil kes ini secara pro bono. Saya kalau bab hati seorang ibu ini, memang lemah.
Waktu kes ini dilaporkan, pelbagai naratif pembelaan pada si ustaz ini. Ibu jual anak, ustaz terperdaya. Saya tidak boleh tularkan atau terlalu menulis tentang kes ini, saya bimbang identiti anak ini terlalu didedahkan. Bimbang memberi kesan kepada pemulihannya dan masa depannya.
Sejak 2022 sementara menanti keputusan ini. Fathi Naim masih kekal memberi ceramah-ceramah. Masih dijemput memberikan khutbah Jumaat di atas mimbar di masjid-masjid. Saudara Firdaus Wong pernah menulis tentang ini.
Pada May 2023, kami menerima perkhabaran mengejutkan bahawa pertuduhan terhadap Fathi akan digugurkan kerana surat representasi oleh peguam yang mewakili Fathi pada ketika itu. Saya lihat surat tersebut tidak dinyatakan pertuduhan yang mana.
Saya terus hubungi si ibu dan maklumkan status. Saya juga pada ketika ini, panggil team JusticeforBella untuk bermesyuarat dan kami fikirkan rangka dan cara terbaik.
Banyak perkara kita kena ambil berat. Mangsa kanak-kanak. Bimbang juga tentang identiti mangsa dengan gaya penerimaan netizen ada yang mengejek dan mempersendakan mangsa.
Firma saya merangka surat rayuan agar dipertimbangkan semula keputusan. Kami rangka segala kronologi berdasarkan perbualan, bagaimana anak ini diantun. Pertemuan rahsia yang diaturkan oleh tertuduh, bagaimana dia diajar menipu itu dan ini. Bagaimana anak ini diajar tentang perkara sumbang langkah demi langkah. Dari anak yang naif terus menjadi seperti apa yang dibentuk.
Kami nyatakan segala alasan-alasan kenapa tertuduh perlu dibicarakan. Kami emailkan segera kepada Jabatan Peguam Negara.
Saya jadi panik, bagaimana kesalahan begini akan dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan? Bagaimana jika dibiarkan terus mempunyai akses untuk bertemu wanita dan kanak-kanak.
Waktu saya hubungi si ibu tentang perkhabaran pertuduhan ini, si ibu seperti hilang arah. Dia sedih. Dia kecewa. Ada ketika saya rasa bimbang, bila tak dapat hubungi si ibu kerana bimbang keadaan dirinya.
Alhamdulilah dalam masa 24 jam, email rayuan kami terus dibalas. Pendakwaraya memaklumkan ada beberapa pertuduhan dan hanya 1 pertuduhan sahaja digugurkan kerana kurang pembuktian.
Fuh! Lega. Alhamdulilah. Akhirnya hari ini telah diputuskan oleh mahkamah. Penjara 15 tahun dan 3 sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lalu.
Terima kasih team pendakwaraya! Kalian hebat membawa tertuduh ke muka pengadilan. Kita bimbang penjenayah pedofilian terus berleluasa dan menggunakan topeng agama untuk mencari mangsa. Tambah pula mereka bijak bermain dengan membina naratif dan mendapat sokongan awam.
Ada beberapa lagi 6 pertuduhan terhadap tertuduh ini.
Semoga keadilan sewajarnya dan anak-anak kita dijauhkan dari pemangsa. Kita pantau anak-anak kita. Kredit :- Peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ika Nabella Tegas! Setuju dengan pendapat Ika Nabella bila bab keselamatan anak-anak. Jika berada di luar anak-anak tidak sewenangnya dibiarkan berseorangan apatah lagi bila tiada pengawasan ibu bapa.
Terbaru menerusi perkongsian di platform Threads, Ika Nabella tegas dengan pendiriannya untuk membawa anak lelakinya menggunakan tandas wanita apabila mereka berada di luar rumah.
Pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim itu menyatakan dirinya akan bawa anak lelaki ke tandas wanita bersamanya selagi dia belum bersedia untuk ke tandas lelaki sendirian.
“Cakap apa yang nak dicakapkan tetapi anak saya akan tetap ikut saya ke tandas wanita selagi saya rasa dia belum sedia untuk ke tandas lelaki sendirian.
“Keselamatannya tidak boleh dibawa dirunding. Kalau perkara itu buatkan sesiapa rasa tidak selesa, itu bukan masalah saya,” katanya menerusi Threads.
Hal tersebut diluahkan susulan kenyataan seorang individu yang meminta golongan ibu jangan membawa anak lelaki yang berusia antara tujuh hingga sembilan tahun memasuki tandas wanita.
Warganet Bersetuju Dengan Ika Nabella
Menerusi ruangan komen warganet ramai sependapat dengan Ika.
Kuat sungguh dugaan bintang lagenda Uji Rashid ini. Walau sudah berusia namun amat tabah meneruskan kehidupan mencabar dalam menjaga anaknya Cico Harahap yang kurang sihat.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bayi dua bulan meninggal tertindih ketika tidur, ibu menangis mengaku bersalah sebabkan kematian anak. Seorang ibu tidak mampu menahan sebak tatkala ditunjukkan wajah bayinya berusia dua bulan yang meninggal dunia akibat tertindih tubuhnya ketika tidur.
Dewinta Tefa, 36 yang juga seorang warganegara Indonesia dilihat sebak dan menangis teresak-esak sebaik sahaja ditunjukkan gambar bayi lelakinya, Arkan Andre Soveral Asit dua bulan dan tempat kejadian berlaku iaitu di sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia dalam daerah Perak Tengah di mana anaknya meninggal dunia akibat dipercayai tertindih badan ibunya ketika sedang tidur.
Dirinya turut mengaku bersalah mengakibatkan kematian anak bongsunya itu dan didenda RM2000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dirinya membayar denda berkenaan.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Parit semalam, Dewinta didakwa dengan cuai mengakibatkan kematian anak bongsu dari enam beradik pada kejadian 18 September 2025 yang lalu.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kecuaian wanita itu yang menyebabkan kematian anaknya walaupun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Nurul Syuhada Mohd Yusof memohon agar hukuman denda paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang merupakan seorang suri rumah dan ditanggung suami dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 sebagai pekerja ladang sawit.
Beliau turut memaklumkan bahawa wanita itu mempunyai enam anak dengan empat daripada mereka menetap di Indonesia manakala anak kelima dan bongsu yang meninggal dunia tinggal bersamanya di Malaysia.
Majistret Nurul Izalina Rajaai kemudian menjatuhi hukuman denda RM2,000 serta berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pada 20 September, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas mangsa dipercayai tertindih badan ibunya ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia, di sini.
Berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat bayi terbabit di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, punca kematian mangsa disebabkan oleh otak membengkak dan paru-paru sembab yang disebabkan oleh lemas udara.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 dan ibu bayi itu ditahan untuk siasatan lanjut. Sumber Sinar Harian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!