Abang kepada mangsa kes bunuh dua beranak menyifatkan kematian adik bongsunya bersama anak perempuan adalah perbuatan yang sangat kejam kerana mayat kedua-duanya ditemui dalam keadaan mengerikan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam, Sariya Che Hin, 51, dan anaknya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati disyaki dibunuh di dalam rumah sewanya di Kampung Sekolah Juru di sini.
Bismi, 60, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa dua beranak itu melalui WhatsApp anak mangsa pada pukul 7 malam semalam.
“Saya terus ke rumah mereka dari Jeneri, Kedah malam tadi. Sebaik sampai, memang saya tak dibenarkan tengok mangsa, cuma dapat lihat dari jauh.
“Saya nampak adik dalam keadaan tersandar pada peti ais dapur rumah dalam keadaan kepalanya sudah terkulai. Memang sangat mengerikan.
“Memang perbuatan (bunuh) ini sangat kejam, sedangkan binatang pun sayangkan anak,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, tadi.
Dalam pada itu, katanya, kali terakhir bertemu arwah adiknya adalah pada majlis penikahan anak sulung mangsa awal tahun ini dan hanya berhubung melalui WhatsApp pada Jun lalu.
“Kami adik beradik memang tak kenal rapat dengan suami baharu adik. Bila jumpa pun, dia tak banyak cakap.
“Adik merupakan isteri kedua dan mereka berkahwin sejak lebih lima tahun lalu. Kami pun tidak tahu macam mana mereka kenal,” katanya sambil menambah bahawa adiknya tinggal bersama dua anak angkat di kediaman itu.
Katanya, mereka sekeluarga menuntut keadilan atas apa yang berlaku terhadap dua beranak itu.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu bersama anak perempuannya ditemukan maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 8 malam tadi.
Kedua-dua mereka dipercayai ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan terputus tangan. Tragedi kes bunuh dua beranak ini menggemparkan masyarakat setempat dan menuntut siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Sumber: Kosmo online Sinar Harian dan Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE