Kes Buli Zara Qairina, Siasatan Akhir Polis Terhadap 60 Saksi Tak Menolak Wujudnya Unsur Tersebut

Share

Kes buli Zara Qairina, siasatan akhir polis terhadap 60 saksi tak menolak wujudnya unsur tersebut. Kes buli terhadap arwah Zara Qairina, pelajar tingkatan satu  Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar sudah di peringkat akhir siasatan di mana seramai 60 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Ini termasuklah nama seperti Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi yang dikaitkan dengan kejadian melibatkan arwah Zara yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.

Kes Buli Zara Qairina

Kematian Zara Qairina mencetuskan gelombang #justiceforzara di mana orang ramai mahukan satu siasatan telus dilakukan sama ada wujud unsur buli atau tidak

Siasatan Akhir Polis Terhadap 60 Saksi Tak Menolak Wujudnya Unsur Tersebut

Dalam siasatan menyeluruh oleh pihak polis, tidak menolak wujudnya unsur buli dalam kematian pelajar ini namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

Hal ini disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kepada media semasa sidang media di lobi IPK Sabah, di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan seramai 60 saksi termasuk pelajar, kakitangan sekolah sudah dipanggil memberikan keterangan dalam kes arwah Zara

Jauteh berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

“Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.Siasatan kes ini akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh,” katanya.

Mengenai dakwaan kononnya kes itu membabitkan anak atau ahli keluarga kenamaan termasuk dirinya sendiri, beliau menafikannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak sihat.

“Saya ingin tegaskan, tiada anak saya yang sedang atau pernah bersekolah di situ.

“Ini bererti ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya memaklumkan siasatan juga tidak menjurus ke arah dakwaan kononnya pelajar itu anak kepada individu berpengaruh.

Beliau dalam pada itu, menegaskan siasatan dalam kes ini dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan, mengambil kira emosi pelajar yang menjadi saksi.

“Netizen mahu siasatan yang menyeluruh. Itu sebab kita ambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.

“Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa,” katanya.

Published by
Almaswa Haji Che Ros