Suami jangan bandingkan kudrat yang kau dah keluarkan untuk ahli keluargamu dan kau mula berkira. Sebab kerja-kerja rumah yang isteri buat tu semua atas ihsan dirinya.
Bila suami mula, fikir dirinya lebih penat dari isteri.. bahaya untuk rumah tangga.
Yang penting, dalam rumah tangga kena ada kerja sama, prihatin dan saling memahami. Nanti bila dah langsai tanggungjawab, suami mahupun isteri boleh rehat sama-sama.
Inilah benda penting yang dikongsikan Saiful Bahari. Macam mana nak bantu isteri jadi bahagia dan suami sama-sama kumpul pahala.
Isteri Mengeluh Penat, Suami Jangan Cepat Naik Angin
Bila isteri mengeluh penat secara terang terangan jangan pulak kita nak marah. Terus cakap dia derhaka. Gila ke. Cuba tanya dulu kenapa mengeluh. Pasti ada sebab.
Jarang orang perempuan nie tiba tiba nak mengeluh penat, lagi lagi depan kita. Secara hakikinya memang isteri kita penat, tapi untuk menzahirkan penat tu susah nak nampak. Dia simpan sorang sorang je.
Tu kadang kau terlepas pandang. Lagi yang ada anak kecik, penat sakit pinggang menyusu lain, penat kemas rumah lain, penat masak lain, penat basuh baju lain, penat layan kau lain. Banyak perkara dia penat tapi kita nampak tak nampak je kan.
Ads
Sebab kita tak diberitahu, kita nampak semua oke je. Sebab kita dah terbiasa. Haa tu sebenarnya. Kita nie bang dah terbiasa. Tu pasal bila isteri mengeluh terus kita naik angin. Konon sebelum nie elok je apa pasal harinie nak mengeluh kan? Konon kita nie punya penat tak sama dengan dia lah.
Dalam hidup rumahtangga nie, tiada istilah aku lagi penat dari dia. BIG NO!
Kerja Rumah Tu Sepatutnya Hanya Ihsan Isteri
Ada benda tak setel, kena setel kan sama sama. Semua setel, baru boleh rehat sama sama. Baru adil dan saksama.
Jadi berbalik pada kalau isteri mengeluh depan kita, apa kita perlu buat?
Ads
Jangan marah. Tanya baik baik. Apa yang dia keluhkan tu. Kadang bukan sebab penat je, tapi boleh jadi dia nak kau ambil tahu sahaja. Bantu sikit sikit je. Yelah, dia tengah tunggang langgang urus hal rumah kau tenang kat sofa depan layan hp ke game ke movie ke. Haa kadang memang berangin jugalah kan.
Jadi kau dengar keluhan dia betul betul, jangan kau hilang fokus pun. Masukan semua perkataan dia dalam telinga kau tanpa dikeluarkan. Hadam bebaik.
Bila selesai dengar, pertama kau harus minta maaf dulu sebab mungkin kau terlepas pandang sehingga dia terpaksa mengeluh depan kau. Kau pujuk dia dulu dengan belanja makan ke, bawak jalan jalan ke, buat lah apa yang dia suka. Huhu.
Tapi belum selesai ya, itu sesi mukadimah aje. Sebetulnya nanti kau bagitau lepas nie semua kerja rumah biar kau buat atau kalau isteri kau oke cakaplah buat sama sama sampai semua selesai. Jadi sama sama boleh rehat. Itu gunanya sesi luah, jangan naik angin je bang.
Ads
Lagipun kerja kerja tu semua sepatutnya hanya ihsan dari isteri je, kita suami yang dipertanggungjawabkan untuk buat semua tu. Kita nie wajib untuk buat. Tapi yelah, kadang kita kerja, isteri kat rumah. Jadi si isteri nie bantu kita sahaja. Memudahkan kerja kita je. Haa nampak tak. Baik kan semua isteri.
Isteri Tu Medan Kumpul Pahala
Lagipun, kalau isteri tu ikhlas buat. Senang senang je dia kumpul pahala tau. Jadi, kita nak isteri kumpul pahala atau dosa? Sebab apa boleh jadi dosa. Bila kerja tu dah tak ikhlas, mulalah nanti isteri kurang ajar ke biadap ke. Jadi tu semua bukan 100% salah isteri, tapi berpunca pun dari kita si suami nie. Taknak ambil berat sebab tu isteri tertekan. Salah kita nie bang. Nampak?
Kita sebagai suami nie ada peluang untuk guide dimana tempat isteri kita. Dan kita nak dia ditempat diredhai atau tempat derhaka. Kita sendiri boleh pilih. Dan keduanya itu akan beri kesan pada hidup kita dan anak anak juga. Jadi ini tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Memastikan keharmonian rumahtangga. Siapa je mau rumahtangga kucar kacir? Kan?
So, kita suami bila isteri mengeluh tu. Jangan cepat melenting. Terus tenangkan keadaan, duduk sama suruh dia luahkan semua keluhan, bincang, dan bagi solusi terbaik untuk keluarga kita. Itu tugas ketua keluarga.
Sumber/Foto :Saiful Bahari, seperti penulisan ini saya juga suka menulis cerita, bincang isu semasa, dan menulis berkaitan bisnes.
Suami dan Ayah Jika anda setuju tekan butang #share ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hebat tak hebat suami ini, sepanjang perkahwinannya selama 14 tahun dengan isteri, tak pernah sekali suami ini culas beri isteri gaji tepat pada masanya. Nafkah dalam bentuk gaji ini dibayar paling lewat pun 28hb setiap bulan.
Nah! Inilah yang dikongsikan puan Marliya Ramliakan amalan suaminya yang tak pernah gagal bayar nafkah isteri.
Walaupun Puan Marliya sendiri masih bekerja makan gaji.
Sejak usia 23 tahun selama 14 tahun ada seorang suami yang sentiasa on time memberikan ‘gaji’ kepada isteri. Selewat-lewatnya 28hb setiap bulan.
Tanpa perlu ditanya-tanya atau diminta-minta suami ini akan sediakan juga pakaian raya, set mandian dan keperluan asas isteri.
Kerana selain tempat tinggal, persalinan, keperluan asas dan makanan adalah kewajipan.
Kenapa isteri perlu minta jika ianya adalah sesuatu yang difahami oleh khalifah rumahtangga tentang perintah Allah?
Bermula dengan gaji seorang Techician cabuk hinggalah menjadi senior engineer, jumlah ‘gaji’ meningkat seiring dengan kemampuan. Bermula dari kadar pemberian pada tiga angka sehingga mencecah ke empat angka setiap bulan.
Dalam bahasa lebih mudah difahami ianya adalah nafkah terhadap isteri.
Biarpun isteri mampu menyara diri sendiri, tidak sekalipun ia menjadi alasan untuk si suami culas memberikan nafkah.
Dan mungkin.
MUNGKIN!
Kerana amalan inilah Allah permudahkan suami tersebut hingga mampu berhenti makan gaji pada sebelum usia 35 tahun.
Kerana amalan inilah Allah sentiasa memberikan jalan rezeki yang tidak berputusan buat suami tersebut.
Kerana amalan inilah segala yang diusahakan oleh suami selalunya menjadi kenyataan.
Kerana amalan inilah…
Amalan yang usah sesiapa pun anggap sebagai remeh.
Kerana suami sedar, amalan memberi nafkah bukan lah pilihan. Namun kewajipan mengikut kemampuan.
Kewajipan yang bukan YB Najib suruh atau Tun Mahathir arahkan. Bukan kewajipan PU Abu paksa semua suami buat. Bukan
Namun kewajipan yang Allah perintah.
Melanggar perintah Allah lebih buruk hukumannya berbanding melanggar perintah Sultan.
Isteri adalah amanah. Kita jaga amanah Allah, maka Allah jaga rezeki kita.
Salam sayang
MW : Nampak kan.. bila suami mudahkan urusan isteri, gembirakan hati isteri.. Allah beri rezeki yang melimpah untuknya. Dalam bentuk yang dia tak sangka-sangka pun.
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memang ada benarnya, segala nikmat rezeki yang kita miliki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan dari seorang ibu. Ia bukanlah hasil usaha kegigihan kita semata-mata. Sementara mak dan ayah masih hidup, rebutlah peluang berbaktidan membahagiakan mereka.
Lebih-lebih lagi jika sedang menjaga mak ayah yang sedang sakit. Ia memang tak mudah, namun belajarlah untuk tidak mengeluh. Percayalah keberkatan dalam kehidupan akan hadir daripada doa tulus dan keredhaan mak ayah.
Arwah mak saya meninggal dunia pada 2004 akibat kanser. Sejak disahkan menghidap kanser paru-paru pada 2001, kesihatannya mula turun naik. Sepanjang tempoh itu, arwah menjalani rawatan kemoterapi selain kami berusaha secara alternatif. Dan alhamdulillah, walaupun doktor jangka hayat arwah cuma setahun tapi arwah mak saya survived hingga 3 tahun.
Sepanjang arwah mak sakit, selain abah dan adik-adik yang menjaganya, saya dan suami juga akan mengambil alih tugas itu sekiranya arwah buat kemoterapi di HKL atau HUKM. Penat menjaga orang sakit ni tapi suami saya akan marah kalau saya merungut. “Itu emak awak tau.Bukan kawan-kawan awak. Jangan sesekali mengeluh depan mak” katanya.
Suatu hari semasa di kampung, arwah mak saya terbuang air besar di atas katil manakala najisnya juga jatuh bersepah. Tahu apa suami saya lakukan? Dia mengelap najis itu tanpa rasa jijik dan menyuruh saya membersihkan arwah mak di bilik air. Sewaktu memandikannya, arwah mak berulang kali minta maaf tapi saya katakan,
“Buat apa nak minta maaf. Mak bukan buat salah pun. Sekadar terbuang najis, benda kecil je”
Ketika itulah juga saya lihat arwah mak saya menangis dan dia berdoa dengan kata-kata yang tak mungkin kami lupakan sampai bila-bila.
” Ya Allah..ini adalah anak-anak aku yang berbakti kepada aku sepanjang aku sakit. Ini adalah anak-anak aku yang tidak pernah berkeluh kesah.Anak-anak aku yang sanggup mengotorkan tangan untuk najisku. Aku berikan keredhaanku sebagai seorang ibu dan Kau limpahkanlah seluas-luas rezeki dan kekayaan pada mereka hasil bakti mereka padaku”.
Saya dan suami terus terkedu bila mendengarnya!
Tiga minggu selepas itu arwah mak saya meninggal dunia dengan kata-kata akhirnya yang disampaikan pada abah bahawa dia sudah mengampunkan semua dosa anak-anak, menghalalkan segala pengorbanan serta air susunya. Anak-anak tidak berhutang satu dosa pun padanya.
Untuk sahabat yang bertanya itu…inilah kisah bagaimana kehidupan saya bertukar. Bukan kerana saya kahwin dengan anak orang kaya kerana suami saya bukan anak yang suka menumpang pada kesenangan ibu ayah. Tapi kami merasai segala nikmat rezeki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan seorang ibu!
Saya selalu nasihatkan pada sesiapa, jangan berkira langsung dengan ibu bapa. Bukan mahu membangga diri tapi sejak saya kahwin, saya langsung tidak ambil kesah berapa yang suami saya peruntukkan untuk ibunya. Berilah berapa saja dan saya tak pernah buka mulut.
Pernah satu ketika, suami beritahu dia mahu memberi semua duit hasil penjualan ayam pada ibunya sebagai hadiah. Memang ada rasa sedikit terkilan tapi suami saya beritahu, redhalah.. Nanti akan ada rezeki yang lebih luas untuk kami.
Sebenarnya, untuk memperoleh pahala, tidak perlu kita mengangkat senjata di medan perang sebaliknya jika masih ada ibu bapa kandung atau mentua, berbaktilah pada mereka. Walaupun mereka cerewet atau seperti kebudak-budakkan yang mungkin boleh membuatkan kita rasa kecil atau panas hati, berlapang dada lah. Pengorbanan ibu bapa membesarkan kita lebih besar berbanding rasa hasutan hati itu.
Saya dan suami percaya rezeki itu datang dari Allah tapi kami juga percaya doa dan keredhaan ibu bapa jugalah yang akan membuka lorong-lorong rezeki itu. Kerana doa ibu bapa tiada hijab dengan Allah. Gembirakan mereka dan inshaAllah mereka akan mendoakan yang terbaik untuk kita. Percayalah!
MW: Allahu, sebaknya perkongsian ini. Semoga kita dapat menjadi anak yang membahagiakan orang tua, tidak jemu dalam menabur bakti buat mereka. Sesungguhnya doa daripada seorang ibu itu, tiada hijab dengan Allah. Rebutlah peluang selalu meminta doa daripada mereka.
Rupanya dengan pasakkan ‘zero dendam’ ibu anak lima ini, Dzuriasikim Dzulkefli dapat keluarkan dirinya dari belenggu tekanan kata-kata orang sekeliling yang merendah-rendahkan status ibu tunggal yang terpaksa digalas.
Kerana bukan semua ibu tunggal itu kerjanya minta simpati. Mereka berusaha demi anak-anak. Buat apa saja demi anak-anak. Dan ibu ini berkongsi tip, bagaimana dia dapat peroleh kekuatan diri. Dari wanita yang tak punya apa-apa sehingga mampu bergelar usahawan hebat.
Tulisnya,
Semalam saya berjanji untuk tulis sesuatu kepada para pembaca semua. Sebab saya tahu di sebalik senyuman dan status yang hebat ada banyak orang sedang melalui kegagalan dalam hidup.
Gambar berpelukan dengan suami, namun di sebaliknya mungkin tidak semua orang sedang berbahagia. Bukan buruk sangka, tapi realitinya ada suami yang membuat posting yang indah hanya untuk mengambil hati isteri kerana tahu isterinya suka begitu dan sang suami kemudian dengan terang menceritakannya kepada rakan-rakan. Ini kisah benar…
Gambar berbahagia sedangkan hati sedang remuk. Hilang pekerjaan, menghadapi masalah kewangan, lelah bekerja siang malam untuk menyara keluarga hinggakan tidur malam pun tidak tenang, penat memikirkan masalah hidup, sedang berjauh hati dengan seseorang, anak lari rumah, ditinggalkan suami gantung tak bertali, diberikan kemewahan hidup oleh suami tetapi suami jarang lekat di rumah, menganggur terlalu lama walaupun ada double degree.
Jika saya nak senaraikan dugaan yang datang di sepanjang kehidupan kita, sampai ke esok pun saya mungkin belum habis menulis lagi. Jika saya tanya dan minta disenaraikan masalah anda di sini, mungkin tak ada yang mahu menjawab. Kerana ramai di antara dari kita suka malu tidak bertempat.
Saya suka kongsikan kisah lampau saya. Bukan mengadu tentang kesusahan hidup, kerana sewaktu saya susah, saya tidak pernah mengadu dengan sesiapa. Sehingga ada yang anggap saya sombong pada waktu itu.
Gambar pertama hingga gambar ketiga adalah diri saya 9 tahun lalu. Waktu itu Iman baru berusia 3 tahun. Baru bergelar ibu tunggal ketika itu. Tidak mempunyai sebarang pekerjaan langsung.
Dengan anak 5 orang yang masih bersekolah. Iman masih perlu minum susu dan pakai pampers.
Antara 2 keperluan yang paling mahal untuk anak kecil (para ibu pasti tahu ini). Ke hulu ke hilir dengan mendokong anak, pakai baju mana yang ada. Handbag pemberian orang. Berselipar sahaja setiap hari. Tudung yang saya pakai RM10 sehelai, saya beli di Pasar Tani. Tak ada kereta. Tinggal di rumah sewa atas ikhsan bekas suami sehingga suatu hari kami dihalau kerana sewa tidak dibayar.
Pendek kata, saya tak ada apa-apa waktu itu. Baju yang anda lihat ni adalah antara baju yang saya ada. Pakai basuh pakai lagi.
Usah kata perit, malah lebih dari itu saya sudah lalu. Itu belum masuk lagi dengan tekanan dari kata-kata sindiran orang. Orang bercakap kerana mereka tidak tahu hal yang sebenar.
Jadi jika hari ini anda rasa susah, ingatlah bahawa ada orang lain yang seribu kali lebih susah dari kita dekat luar sana. Dan dugaan seperti yang pernah saya hadapi ini bukanlah besar sangat berbanding dengan mereka.
Dugaan yang anda sedang hadapi hari ini juga hanyalah hiccups dalam hidup. Dan ubat terbaik untuk menjadikan kita redha, kuat, sabar, ceria, bertenang adalah dengan menjadi dekat kepada Allah.
Percayalah bahawa kalau hari ini anda sedang kaya dan berbahagia dengan ramai orang, tapi waktu kita susah semua orang akan lari. Tetapi Allah sentiasa ada. Sebab itu bila kita cintakan manusia atau dunia, sentiasalah berpada-pada.
Pada saat saya tidak punya apa-apa, saya masih mahu bersyukur kerana masih mampu lihat anak-anak ketawa. Itu “ubat” bagi segala duka saya waktu itu.
Tak mampu bawa anak-anak bercuti, saya buat makanan yang mudah. Picnic di sungai. Ianya percuma dan murah. Anak-anak masih boleh main gelongsor macam di water theme park juga. Ada gelongsor batu, malah lebih adventures sebab boleh tangkap ikan dan dekat dengan nature.
Dari mana saya dapat kekuatan? Bagaimana?
1. Perkara pertama yang saya buat, lap air mata. Kemudian saya maafkan semua orang termasuk orang yang menghina saya berstatus janda. Hina saya miskin. Termasuk orang yang menyakiti saya. Maafkan dengan ikhlas. Zero feeling. To the level bila mereka datang peluk saya suatu hari nanti, saya akan peluk mereka kembali. Zero dendam.
2. Dan saya juga sentiasa berbahagia dengan kesenangan orang lain. Selalu baca berita gembira tentang pencapaian orang di group sekolah, group family, Facebook, rasa yakin bahawa InsyaAllah suatu hari nanti saya akan dapat rasa itu semua. Feel the blessings always. Biar dalam keadaan manapun kita sedang berada. Jika kita sentiasa ada dengki dengan kejayaan orang lain, ianya akan menjadi blockage kepada rezeki dan kebahagiaan diri.
3. Ubat sendiri hati kita yang remuk. Sebab jika bukan kita sendiri yang bahagiakan diri, tak akan ada orang lain yang akan berbuat demikian dengan ikhlas untuk kita. Melainkan jika kita masih ada ibu. Kerana kasih ibu tidak ada sempadan. Malangnya saya sudah tidak punya ibu lagi.
4. Bercerita dengan Allah. Menangis kepadaNya. Kerana Dia Maha Mendengar dan Mengasihi. Jika kita susah, kemudian bercerita kepada orang, ianya akan menunjukkan kita sangat lemah. Jangan…
5. Jika kita pernah buat salah, usah segan untuk cepat-cepat minta maaf. Tak rugi untuk jadi orang pertama meminta maaf. Tidak semestinya orang yang meminta maaf itu bersalah. Tetapi menjadi orang pertama untuk minta maaf itu adalah sangat menenangkan. Boleh buat kita rasa happy…bahagia.
6. Tahajjud, jangan tinggal. Itu adalah salah satu senjata terbaik untuk berdoa dan berjaya. Waktu saya tak punya apa-apa, pada usia 41 tahun, barulah saya nampak fadhilat Tahajjud dengan jelas. Sebelum itu saya hanya dengar tapi tak pernah buat. Sehingga suatu hari saya terbaca:
“Satu satu doa yang tidak lari daripada sasaran walau seinci ialah DOA pada waktu 1/3 malam. Pembuktian dalam Al-quran satu-satunya Solat Sunat yang diabadikan dalam Al-quran adalah Solat Tahajjud:- “Dan pada sebagian malam hari bersalat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Q.S. 17:79).”
Dan lagi…
“Doa di saat Tahajjud itu umpama anak panah yang tepat mengenai sasaran…”
(Iman Asy Syafi’i)
7. Ketika berdoa, doa untuk diri sendiri. Doakan yang baik-baik. Usah doa untuk membalas dendam. Doakan yang 100% baik. Ingat tu.
8. Mestilah ada ikhtiar. Jangan malas. Mesti yakin bahawa ada sebab Allah hantar kepada kita sakit, sedih, jatuh, perpisahan, perceraian dan apa juga yang sedang kita hadapi. Semuanya adalah untuk menjadikan kita lebih kuat. Ingat tak waktu kita mula-mula belajar kayuh basikal dulu? Jatuh sampai berdarah lutut pun kita angkat basikal dan kayuh lagi. Dari beroda tiga, jadi roda dua. Kemudian barulah pandai. Lama-lama dah boleh kayuh dengan lepas tangan! Sebab apa? Cari balik semangat begitu.
9. Malu biar bertempat. Kalau ada masalah wang, tidak ada pekerjaan, jangan malu untuk keluar menjual. Itu lebih mulia dari meminjam-minjam atau menumpang orang. Tak apalah jual nasi lemak sekalipun. Jual air, jual goreng pisang. Asalkan tidak menumpang orang.
10. Ingatlah dengan yakin 200%. Bila Allah ingin mengangkat darjat mu, Dia mampu melakukannya dengan cara yang tidak munasabah sekalipun. Kita selalu berfikir dengan had tertentu. Kerana minda kita berfikir dengan penuh limitations. Buang rasa itu. Sebab ianya akan melemahkan semangat diri.
11. Fokus pada diri. Upgrade diri, dari segi ilmu dan pengetahuan. Selalu membaca. Jika tidak mampu untuk beli buku di kedai, baca dari carian di internet. Sekarang ilmu dan teknologi di hujung jari. Upgrade diri penting untuk membuatkan orang selesa bercakap dengan anda. Ambil tahu serba sedikit isu semasa. Biar kita miskin, tak cantik tetapi berilmu. Jika anda sediakala cantik, jadilah seorang yang cantik dan berakal tinggi.
12. Pilih kawan yang boleh membawa kepada kebaikan. Tidak kiralah kebaikan dari segi berkongsi resepi, ilmu perniagaan, motivasi, panduan menanam pokok sekali pun, asalkan mendatangkan faedah. Jauhkan diri dari mereka yang tidak mendatangkan kebaikan dalam hidup. Menghasut anda untuk membenci orang lain contohnya.
Orang begini satu hari nanti akan buat perkara yang sama kepada kita juga. Jauhi juga segala jenis group yang boleh membuatkan anda berfikiran negatif. Contohnya group yang suka memaparkan masalah rumah tangga. Penuh dengan komen yang ditulis tanpa berfikir. Bahasa yang tidak baik. Posting yang melampau seperti isteri curang dan suka bertukar pasangan. Semua ini boleh menghasut minda unnecessarily.
13. Ini khusus untuk wanita. Mesti be realistik. Wanita selalu lemah bab ini. Wanita bila sayang seseorang, mereka akan sayang dengan sepenuh hati walaupun diri mereka tidak dihargai. Kadang ada isteri yang dipukul setiap hari, kena tinggal dengan suami tanpa nafkah berbulan malah bertahun lamanya pun masih setia lagi. Suami penagih, kaki perempuan. Malah suami dipenjarakan.
Macam-macam lagi. Ingatlah, dalam perundangan syariah, anda ada hak untuk dilindungi. Dalam Islam juga ada limitation dan hak sebagai isteri. Ambil tahu tentang itu. Usah malu dan merana seorang diri terlalu lama. Usah malu hanya kerana anda berjaya dan memegang jawatan tinggi di pejabat, jadi anda perlu pamerkan rumahtangga yang bahagia kepada orang lain. Jika tidak tahu dan tidak mampu untuk mengupah peguam, buat carian di internet dan rujuk kepada Biro Bantuan Guaman.
Ada orang yang membaca sharing saya dengan vibes negatif. Mereka akan anggap saya menulis dan keep on writings sebab tidak boleh move on. Ada juga yang menganggap saya bodoh kerana sering menulis kisah rumahtangga saya yang lampau. Itu salah.
Gambar terakhir adalah antara gambar terbaru saya. Saya mahu semua sahabat tahu bahawa kita mampu jika kita benar-benar mahu. Malah ada banyak success stories yang anda boleh baca dari orang yang pernah tidak ada apa-apa pada suatu ketika dahulu.
Orang yang ada big why InsyaAllah akan selalu berjaya dengan syarat jangan pernah berhenti berlari. Jangan give up dalam hidup.
Big why kita, jangan pula kita letakkan yang kita nak berjaya sebab nak menunjuk kepada orang yang pernah menjatuhkan kita. Itu tidak betul. Sebaliknya akan jadi blockage nanti.
Saya sendiri masih belum cukup berjaya. Tetapi saya sudah mampu keluar dari kemurungan hidup. Berdiri di atas kaki sendiri. Dari tidak punya apa-apa langsung. Jalan kaki ke kedai. Duit ada sen sen sahaja. Sampailah kepada apa yang anda lihat hari ini. Punya ramai sahabat yang baik budi. Yang selalu mendoakan saya dari Mekah selalu. Dan setiap tahun ada sahaja sahabat yang mendoakan saya dari Padang Arafah. Yang sponsor saya ke Mekah. Yang sponsor percutian ke luar negara pun ada. MasyaAllah, sampai macam tu Allah beri. Nak berniaga pun, ada yang nak sponsor juga. Dan saya tidak mahu berhenti.
Jangan sedih tika diuji. Jangan bongkak tika dipuji. Ingat, segala bentuk rahmah Allah boleh berikan dan Allah juga boleh tarik semula dari kita nanti.
Ikhlaskan hati. Redha. Berbaik sangka. Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat. Sebab itu anda diuji agar lebih kental dan kuat.
Jika mahu, nanti Kak Zue tulis lagi. Jangan menangis.
MW : Semoga kisah ini menjadi inspirasi untuk ibu-ibu yang sedang diuji.