Kerajaan diperintah bayar RM2.28 juta kepada remaja, alami kerosakan otak kekal akibat kecuaian perubatan di HKL. Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan perlu membayar pampasan lebih RM2.28 juta kepada seorang remaja yang mengalami kerosakan otak kekal akibat kecuaian ketika proses kelahirannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) 15 tahun lalu.

Kerajaan Diperintah Bayar RM2.28 Juta Kepada Remaja, Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Perubatan Di HKL

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong selepas mendapati kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian seorang pegawai perubatan muda dan bekas ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan.

Dalam penghakimannya, Techiong mengakui beliau berasa hiba apabila plaintif dibawa hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa remaja tersebut kini berada dalam kategori paling serius pesakit palsi serebrum, tidak mampu mengangkat kepala serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk makan sepanjang hayatnya.

“Ketika plaintif dibawa ke mahkamah dalam sebuah kereta sorong bayi semasa perbicaraan, kebanyakan yang hadir termasuk saya selaku hakim perbicaraan, tidak dapat menahan rasa sedih melihat keadaannya,” katanya dalam penghakiman bertarikh 6 Mei lalu.

Kerajaan Diperintah Bayar RM2.28 Juta Kepada Remaja, Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Perubatan Di HKL
Kredot foto: Berita Harian

Simpati Bukan Asas Keputusan

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa rasa simpati tidak boleh dijadikan asas dalam membuat keputusan undang-undang.

“Saya yakin kedua-dua pakar turut bersimpati terhadap plaintif. Namun, dengan penuh hormat, kami harus menolak daripada beremosi apabila membuat penilaian profesional terhadap kes ini.

Ads

“Saya mengambil kira bahawa pampasan kepada plaintif perlu selari dengan prinsip undang-undang dan bukan berdasarkan simpati. Tiada ruang untuk memperkayakan plaintif secara tidak adil dengan menanggung beban oleh pembayar cukai,” katanya.

Kelewatan Pembedahan Punca Komplikasi

Kes saman itu difailkan oleh ibu plaintif pada Januari 2023 bagi pihak anaknya yang dilahirkan pada 11 Februari 2010.

Plaintif disahkan menghidap palsi serebrum selepas doktor gagal menjalankan pembedahan caesarean kecemasan dalam tempoh yang sepatutnya.

Pihak plaintif berhujah bahawa kelewatan tersebut menyebabkan anaknya kehilangan peluang untuk lahir tanpa kerosakan otak, manakala pihak kerajaan menegaskan keadaan itu berpunca daripada masalah uri yang tidak dapat dielakkan.

Ads

Saksi pakar yang dipanggil dalam perbicaraan memberikan anggaran berbeza mengenai jangka hayat plaintif, iaitu antara 29 hingga 44 tahun.

Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa kelewatan melakukan pembedahan menyebabkan plaintif kehilangan peluang wajar untuk dilahirkan tanpa komplikasi serius. Hakim turut menekankan bahawa pegawai perubatan sepatutnya lebih pantas bertindak kerana kes tersebut melibatkan kehamilan berisiko tinggi.

Kerajaan Diperintah Bayar RM2.28 Juta Kepada Remaja, Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Perubatan Di HKL
Kredit foto: Sinar Harian

Jangka Hayat Ditentukan 29 Tahun

Mengenai isu jangka hayat, Techiong menolak anggaran 44 tahun yang dikemukakan pakar plaintif dan menetapkan maksimum 29 tahun. Katanya, data perubatan menunjukkan hanya 26 peratus peluang untuk hidup melebihi 29 tahun.

“Saya terpaksa memutuskan bahawa tiada asas kukuh untuk menyokong anggaran jangka hayat plaintif melebihi 29 tahun,” katanya.

Ads

Jumlah Pampasan

Mahkamah menganugerahkan RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM458,400 untuk ganti rugi khas, RM51,300 bagi ganti rugi pra-perbicaraan serta RM1.47 juta untuk ganti rugi am masa hadapan.

Selain itu, kadar faedah lima peratus setahun turut dikenakan bagi sebahagian besar jumlah tersebut. Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan ganti rugi teruk (aggravated damages) dengan mengambil kira bahawa saman hanya difailkan selepas lebih 10 tahun kejadian berlaku.

Dalam prosiding itu, plaintif diwakili peguam Karhti Kanthabalan dan Abigail Sarah Kumar, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Masriwani Mahmud.

Sumber: Berita Harian

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI