Inspirasi

Kenali Sosok Tubuh Tun Dr. Hasmah, Wanita Hebat Dalam Bidang Perubatan

Share

Masih berduka dengan pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr. Hasmah Mohd Ali, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September.

Kenali Sosok Tubuh Tun Dr. Hasmah

Sebenarnya allahyarhamah yang berusia 100 tahun baru sahaja menyambut ulangtahun kelahirannya pada Julai lalu. Jadi pemergiannya cukup meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat negara.

Permata negara itu sememangnya telah memberi pelbagai sumbangan kepada tanah air bukan sahaja sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, tetapi juga menerusi perkhidmatannya dalam bidang kesihatan dan kebajikan.

Tun Dr Hasmah Sebagai Doktor Wanita Melayu Kedua Di Tanah Melayu

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Tun Dr Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik.

Berkat ayahandanya yang menekankan pendidikan untuk kesemua anak-anak, Tun Dr. Hasmah kemudiannya menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu di King Edward VII College of Medicine, Singapura di bawah program biasiswa.

Selepas bergraduasi pada tahun 1955, Allahyarharmah menjadi doktor wanita Melayu kedua di dalam negara sebelum menjadi Pegawai Perubatan Kesihatan wanita pertama di Kedah.

Pada tahun 1965, Dr Hasmah bertugas sebagai Pegawai Perubatan wanita pertama di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak. Sembilan tahun kemudian, dia menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.

Tun Dr Hasmah turut melanjutkan pengajian di University of Michigan dan tamat pengajian pada tahun 1966 dengan diploma dalam kesihatan awam.

Tun Dr Hasmah Berjaya Kurangkan Kadar Kematian Bayi

Menurut anak kepada pasangan itu, Marina Mahathir, arwah ibunya ketika itu turut berkunjung ke kawasan luar bandar untuk berjumpa dengan wanita tempatan dan mempelajari kepercayaan tradisional mereka tentang kesihatan dan penyakit.

Kesemua dapatan itu dicatatkan dalam sebuah buku yang digunakan di fakulti kesihatan universiti dalam negara.

Berdasarkan laporan kesihatan rasmi, inisiatif akar umbi bersama ibu di luar bandar di Kedah telah mengurangkan kadar kematian bayi dari 75 per 1,000 kelahiran kepada enam.

Perkahwinan Tun Dr Hasmah Bersama Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah amat dikenali sebagai pasangan yang saling menyayangi antara satu sama lain dan telah meredah pelbagai badai bersama.

Sejak berkenalan di King Edward VII College of Medicine, mereka telah berkahwin pada tahun 1956 ketika masing-masing berumur 31 dan 30 tahun, dan baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-70 pada tahun ini.

Marina berkata usia perkahwinan mereka dianggap agak lewat pada tempoh itu, tetapi ini kerana datuk sebelah ibunya, Mohd Ali Taib, meminta Allahyarhamah agar menghabiskan pendidikannya terlebih dahulu.

Bersama, mereka memiliki tujuh orang anak termasuk Marina yang merupakan aktivis sosial dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Setelah Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Tun Dr Hasmah tidak menggunakan kedudukannya secara sambil lewa.

Sebaliknya, Allahyarharmah tidak henti-henti berkempen bagi kesihatan wanita, perancangan keluarga, kawalan penyalahgunaan dadah dan literasi golongan dewasa.

Pada 1985, beliau menghadiri Persidangan Wanita Pertama mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington DC atas jemputan Nancy Reagan, sebelum mewakili Malaysia pada Persidangan Antarabangsa di Vienna pada 1987.

Tun Dr Hasmah telah menerima anugerah Seri Setia Mahkota pada 31 Oktober 2003, menjadikannya isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang dianugerahkan dengan gelaran ‘Tun’ oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada 22 Ogos 2019, beliau diberikan gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena Hari Wanita Kebangsaan.

Tun Dr Hasmah Belajar Bahasa Di Usia Lanjut

Walaupun di usia lanjut, Tun Dr Hasmah tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk mempelajari pelbagai ilmu baharu.

Memetik perkongsian daripada anaknya, Marina, Tun Dr Hasmah telah mula mempelajari bahasa Perancis pada usia 60-an supaya dapat berkomunikasi dengan besannya yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah, beliau turut lulus beberapa ujian bahasa Perancis. Pada usia 90an, beliau mempelajari bahasa Jepun.

Tun Dr Hasmah Masih Lakukan Persembahan Violin Sehingga Usia 90an

Di samping itu, Allahyarhamah turut bermain semula violin pada usia 80an setelah hampir enam dekad meninggalkannya sehingga pernah melakukan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas.

Pada tahun 2019, ketika ulangtahun kelahirannya yang ke-93, Tun Dr Hasmah telah membuat persembahan di Yayasan Universiti Multimedia (YUM) Charity Hi-Tea.

Beliau sebelum itu telah menjadi canselor MMU pertama selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012.

Allahyarhamah turut menjadi penaung kepada Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan teater Broadway ‘The Phantom of the Opera’ yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2019, membuktikan minatnya yang mendalam terhadap industri seni.

Sebagai penghargaan, Yayasan Jeffrey Cheah melancarkan Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah bernilai RM10 juta bagi menyokong bidang seni kreatif dan muzik.

 

 

 

 

 

Published by
Nadia Mohamad