Kempen Legasi #Malaysia100 dilancarkan sempena Hari Kebangsaan hari ini dengan misi menggunakan tempoh setahun hingga 31 Ogos 2027 untuk menghimpunkan pandangan rakyat dan menentukan hala tuju negara sebelum Malaysia memasuki perjalanan 30 tahun menuju usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Kempen Legasi #Malaysia100 Dilancarkan Sempena Hari Kebangsaan 2026


Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kempen itu mahu membuka ruang dialog nasional melibatkan rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang atau fahaman politik bagi membayangkan bentuk Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.
Pada tahun 2057, Malaysia akan mencapai usia 100 tahun kemerdekaan. Nampaknya seperti jauh lagi tetapi sebenarnya 30 tahun itu hanyalah satu generasi. Anak yang kita dukung hari ini mungkin sudah menjadi pemimpin, ibu bapa, guru, doktor, usahawan atau penjawat awam ketika Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya ke-100 tahun nanti.
Dan Malaysia yang mereka terima pada waktu itu pada hakikatnya sedang dibentuk sekarang. Saya jadi bimbang, apabila masa kita banyak dihabiskan dengan bertelagah, tentang kaum, agama dan politik sedangkan masa tidak menunggu kita. 2057 tetap akan tiba, sama ada kita masih ada atau pun sudah tiada.
Disebabkan kerisauan inilah saya merayu dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kita jadikan #Malaysia100 ini sebagai visi kita bersama. Tidak kira apa pun agama, bangsa, ideologi politik, baik tinggal di kampung atau di bandar, walau siapa pun kita, selagi kita rakyat Malaysia #Malaysia100 adalah halatuju kita semua. Kita corakkan Malaysia berdasarkan upaya kita, tidak kira dalam bidang apa sekalipun 30 tahun ke hadapan kita berjanji bersama-sama untuk mewariskan Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Kita sudah kesuntukan masa. Perpecahan hari ini tidak boleh diwariskan. Rasuah dan pecah amanah tidak boleh membuat kita sekadar mengeluh atau kita terima untuk dirundingkan, dinormalisasi atau dimaafkan. Kita harus berani melawan. Jikalau institusi kita lemah segera kita pulihkan. Sistem yang rosak betulkan sekarang. Mana- mana yang tidak adil, jangan pura-pura tidak nampak dan didiamkan. Semua ini akan menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh anak cucu kita.
Menurutnya, tempoh setahun itu bukan bertujuan menyelesaikan semua masalah negara, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat mendengar, bertanya soalan sukar, mengemukakan idea serta menentukan apa yang perlu diubah, dipertahankan dan dibina.
Kita tak boleh gagal dalam menjalankan amanah ini. Jangan harap Malaysia 100 bermula di Putrajaya. Ini harus bermula di rumah kita, daripada nilai yang ditanam dalam jiwa anak-anak kita, cara bagaimana kita menyikapi perbezaan kaum, agama dan budaya, juga cara kita memilih pemimpin. Dan untuk menjadi berani kerana benar.
Kita menerima ‘baton’ ini daripada generasi sebelum ini. Mereka tidak sempurna tetapi mereka telah membawa negara sejauh ini untuk kita nikmati. Sekarang kita pemegang baton itu, mahu tak mahu, kita perlu serahkan kepada generasi berikutnya, untuk mereka bawa ke garisan penamat. Baton tidak boleh jatuh sekiranya kita mahu menang. Baton itulah nilai kita yang perlu dibawa bersama, setinggi mana pun bangunan kita bina dan secanggih mana pun teknologi kita ada dalam membina Malaysia 100 tahun Merdeka.
Datuk Hussamuddin Buka Ruang Dialog Untuk Rakyat


Berikhsan, berintegriti demi kemakmuran negara harus dibangunkan seiring kita membina Malaysia. Jikalau tidak kita mungkin kelihatan hebat di luaran tetapi di dalamnya reput perlahan-lahan dimakan anai-anai. Bila-bila masa boleh runtuh dan rebah tanpa kita sedari.
Oleh sebab itu 30 tahun ke hadapan harus bermula hari ini. We have to begin with the end in mind. Kita mesti berani membayangkan Malaysia pada 30 tahun akan datang. Bagaimanakah sekolah kita? Hospital kita? Jalanraya kita? Alam sekitar kita? Syarikat kita? Sektor awam kita? Sistem keadilan kita? Ekonomi kita?
Bagaimanakah kita boleh senang duduk, jika pada 2057, anak cucu kita masih terpaksa menyelesaikan pertelingkahan kita pada hari ini? Tidak perlu kita menunggu untuk semuanya sempurna. Dengan daya yang kita ada, kita harus mengambil tanggungjawab melihat di mana kedudukan dan apakah wajah keluarga, organisasi, syarikat dan negara kita 30 tahun lagi?
Saya ingin menjelaskan bahawa #Malaysia100 ini bukan hak saya, kita perlu jadikan ia milik kita semua, yang sayangkan anak cucu dan generasi Malaysia. Oleh itu, setiap daripada kita adalah penentu nasib Malaysia 30 tahun akan datang.
Saya membayangkan ketika Jalur Gemilang berkibar pada ulang tahun ke-100 kemerdekaan Malaysia, anak cucu kita akan berkata:
“Datuk dan nenek kami tidak meninggalkan negara yang sempurna, tetapi mereka pernah berani untuk berusaha memperbaikinya. Mereka tidak lari, mereka sudah cuba sedaya upaya. Malaysia yang kita nikmati hari ini disebabkan mereka tidak putus asa, berdoa dengan harapan yang cukup tinggi meninggalkan Malaysia yang lebih baik untuk kami hari ini.”
Legasi #Malaysia100 bukanlah sesuatu yang kita tinggalkan setelah kita tiada, tetapi ia seharusnya tetap hidup walaupun kita sudah mati. Legasi #Malaysia100, ini sasaran kita. Kita mungkin tidak lagi di sini pada 2057 tetapi keputusan kita hari ini akan terus berada di sana.
Apakah sebenarnya gagasan #Malaysia100?


HUSSAMUDDIN: Malaysia 100 ialah usaha untuk kita bersama-sama membayangkan apakah rupa Malaysia apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 2057. Ini bukan sekadar tentang pembangunan fizikal atau ekonomi. Kita juga perlu bertanya: bagaimana keadaan pendidikan, institusi, perpaduan, integriti dan paling penting, apakah nilai yang ada pada rakyat Malaysia ketika itu? Destinasi kita perlu jelas sebelum menentukan perjalanan untuk sampai ke sana.
Mengapa bercakap tentang 2057 sekarang sedangkan masih ada sekitar 30 tahun?
Sebenarnya 30 tahun itu bukannya lama, hanya satu generasi kanak-kanak yang kita nampak hari ini sedang membesar. Mereka akan menjadi pemimpin, pekerja, ibu, bapa dan pembuat keputusan apabila Malaysia mencapai 100 tahun. Sebab itu apa yang kita lakukan hari ini lah yang akan menentukan Malaysia yang mereka warisi nanti.
Mengapa Datuk melihat isu ini secara sangat peribadi?
Saya melihatnya bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi juga sebagai seorang datuk. Generasi saya mungkin tidak semuanya berada di sini pada tahun 2057 tetapi anak dan cucu kita akan berada di sana. Jadi persoalannya mudah: Malaysia bagaimana yang mahu kita tinggalkan kepada mereka? Kebanggaan atau penyesalan? Bagi saya, setiap generasi hanyalah pemegang amanah atau trustee kepada negara ini sebelum menyerahkannya kepada generasi seterusnya.
Apakah bentuk Malaysia yang Datuk mahu lihat pada tahun 2057?
Saya mahu melihat Malaysia yang bukan sahaja maju, tetapi tenang. Tenang dalam perpaduan, keadilan dan kepercayaan. Saya mahu anak-anak muda tidak keluar negara kerana putus asa tetapi pulang kerana rindu.
Saya inginkan anak muda yang yakin dengan keupayaan berkembang di negara sendiri. Saya mahu institusi bukan sekadar wujud tetapi dipercayai. Tetapi impian ini tidak lengkap tanpa suara setiap individu rakyat. Visi itu tidak boleh berdiri sendiri. Kita tanya kepada diri kita, apakah wajah Malaysia yang kita ingin lihat ketika 100 tahun usia kita merdeka nanti?
Adakah #Malaysia100 satu kempen politik atau projek kerajaan?
Semestinya tidak. Malaysia 100 tahun tidak boleh menjadi milik satu kerajaan, satu parti, satu kaum, satu agama atau satu organisasi. Kerajaan akan berubah, pemimpin akan bertukar, parti politik akan naik dan turun. Tetapi Malaysia kita ini akan terus ada, sebab itu #Malaysia100 mesti menjadi aspirasi bersama seluruh rakyat Malaysia merentas agama, bangsa dan politik sekalipun. Ia oksigen, bebas bak angin, teguh bak akar.
Siapa yang perlu terlibat dalam #Malaysia100?
Semua. Kerajaan, pembangkang, perniagaan, pekerja, sekolah dan universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi agama, profesional, usahawan, petani, anak muda serta masyarakat biasa, ia mesti melibatkan rakyat di Sabah, Sarawak, Semenanjung serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara. We own this, ia tanggungjawab yang kita pupuk atas cinta kasih kita kepada negara dan generasi kita. Suara kita inilah yang menentukan rupa Malaysia yang ingin kita bina.
Rakyat Malaysia mempunyai terlalu banyak perbezaan pandangan, bagaimana hendak mencapai persetujuan?
Kita tidak perlu bersetuju dalam semua perkara. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi pasti ada perkara besar yang kita boleh sepakati. Kesepakatan itulah yang kita besarkan.
Kita mahu negara aman, anak-anak mendapat pendidikan yang baik, institusi yang dipercayai, ekonomi yang memberi peluang dan masyarakat yang lebih bersatu.
#Malaysia100 adalah tentang mencari titik persamaan tersebut dan kita bangkit bersama membina negara bermula daripada situ. Kita cari rentak irama yang sama di tengah-tengah perbezaan yang ada.
Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan?
Dengar. Bukan sekadar mendengar dengan telinga tetapi dengan hati. Sebelum kita membina dasar atau melancarkan program, kita perlu tahu apa yang benar-benar diimpikan oleh rakyat. Tentukan destinasi dahulu, tetapkan kompas kita, pastikan driver cukup kompeten, rancang perjalanan ke destinasi Malaysia 100 tahun.
Jangan kita berlari tanpa merancang tidak tahu ke mana arah tuju, itu lebih haru-biru. Harus kritis: apakah maksud Malaysia yang benar-benar bersatu?
Apakah maksud kemakmuran? Apakah rupa integriti? Pendidikan bagaimana yang kita mahu untuk cucu kita? 30 tahun ke depan kita tetapkan, bina jalan menujunya, lakukan bersama-sama.
Mengapa dicadangkan tempoh 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 sebagai Tahun Dialog Nasional?
Kalau kita hanya bercakap tentang 2057, ia mungkin terasa terlalu jauh. Jadi kita mulakan dengan satu tahun 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2027 untuk merenung, berbicara, bertanya soalan-soalan sukar dan berkongsi impian. Setahun ini bukan untuk menyelesaikan semuanya, tetapi untuk menentukan arah supaya 30 tahun akan datang tidak sia- sia. Setahun ini kita tentukan arah.
Di mana Dialog #Malaysia100 ini perlu berlangsung?
Di mana-mana. Di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, masjid, gereja, kuil, NGO, komuniti, syarikat dan parti politik. Kita tidak mahu hanya beberapa orang di Kuala Lumpur atau Putrajaya saja yang menentukan bagaimana rupa #Malaysia100. Idea mesti datang daripada rakyat Malaysia sendiri dari seluruh negara daripada pelbagai bidang dan sektor.
Adakah #Malaysia100 sekadar satu lagi platform untuk rakyat mengadu masalah negara?
Kita memang perlu jujur tentang masalah yang ada tetapi kita tidak boleh berhenti setakat mengeluh. #Malaysia100 perlu membawa kita daripada mengeluh kepada membina, jangan berhenti di situ. Datanglah dengan buah fikiran, bukan hanya keluhan. Jika ada yang tidak kena, cadangkan perubahan. Jika ada yang baik, pertahankan. Malaysia 100 tahun mengajak kita beralih daripada meratap kepada membina.
Apa yang berlaku selepas Tahun Dialog Nasional berakhir pada 31 Ogos 2027?
Menjelang 31 Ogos 2027, harapannya kita sudah mempunyai gambaran lebih jelas tentang beberapa aspirasi besar negara yang boleh disokong oleh majoriti rakyat Malaysia.
Selepas itu kita perlu bergerak kepada soalan seterusnya: Apa yang perlu kita lakukan untuk sampai ke sana? Dari 2027 hingga 2057, kita mempunyai tempoh tepat 30 tahun untuk membina Malaysia pada usia 100 tahun.
Bagaimana memastikan aspirasi #Malaysia100 tidak berubah setiap kali kerajaan bertukar?
Itulah sebabnya #Malaysia100 mesti lebih besar daripada politik kepartian. Sesetengah matlamat negara mesti mampu bertahan lebih lama daripada satu pilihan raya atau satu pentadbiran.
Perdana Menteri boleh bertukar, menteri boleh bertukar, kerajaan boleh bertukar tetapi aspirasi besar seperti pendidikan, integriti, perpaduan, institusi dan masa depan generasi seterusnya mesti mempunyai kesinambungan. #Malaysia100 tidak akan boleh berubah mengikut angin politik.
Apakah tanggungjawab generasi hari ini?
Kita ialah pemegang amanah. Kita menerima Malaysia daripada generasi terdahulu dan satu hari nanti kita perlu menyerahkannya kepada generasi selepas kita.
Persoalan yang perlu kita tanya kepada diri sendiri ialah adakah kita akan menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada Malaysia yang kita terima? Itulah ukuran sebenar legasi generasi kita.
Apakah mesej Datuk kepada rakyat Malaysia sempena gagasan #Malaysia 100?
Jangan tunggu 2057 untuk mula memikirkan #Malaysia100, kita bermula sekarang. Dialog nasional, pemikiran kritis, tak apa berbeza kerana impian kita tetap sama.
Tindakan harus bermula hari ini, kita mungkin mempunyai latar belakang, kaum, agama dan pandangan politik yang berbeza tetapi impian kita tetap sama untuk Malaysia yang jauh lebih baik daripada hari ini. #Malaysia100 milik kita semua, 30 tahun masa yang ada untuk membina Malaysia pada usia 100 tahun merdeka.
Satu tahun untuk kita bersatu, mendengar dan menentukan arah dan perjalanan itu bermula hari ini.