Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak lelaki bongsu kesayangan keluarga terbabit dalam kemalangan sekali gus meninggalkan keluarga tanpa sebarang kata terakhir. Itulah yang perlu dihadapi oleh Zainariah binti Omar, apabila Muhammad Nor Azam bin Zuldhar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya PLUS berdekatan Bangi pada 3 Jun lalu.
Impian yang tidak tercapai
Terbabas
Dalam kemalangan sekitar jam 4.00 pagi itu, arwah anaknya yang berusia 17 tahun bersama rakan baiknya yang juga jiran mereka, Amirul Zafree bin Norazam, maut selepas motosikal mereka terlanggar pembahagi jalan di Bangi. Kedua rakan ini dipercayai terbabas dalam perjalanan membeli persiapan hari raya.
Zainariah, 55, yang kelihatan tenang saat berkongsi kenangan arwah anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia sudah redha menerima segala ketentuan Allah.
“Kata kawan-kawannya, semasa mereka bergerak dari Danau Kota menuju ke Bangi, arwah ada berkata, doakan perjalanannya selamat. Tapi kemudian arwah ada berkata, kalau hendak meninggal, atas jalan raya pun boleh. Tak sangka, itu kata akhirnya dan ternyata ia menjadi kenyataan,” katanya memulakan cerita.
Sambung Zainariah, arwah anaknya yang juga pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Jalan Maarof, Bangsar itu seorang yang baik.
“Sebelum ke mana-mana, dia akan minta izin dahulu. Kalau buat silap, dia akan minta maaf kerana sikapnya memang begitu dari dulu. Cuma sebagai ibu, saya tidak perasan perubahan pelik ditunjukkannya kecuali dia ada berkata mahu membeli kelengkapan hari raya terutama seluar yang harganya sangat murah, tidak seperti kebiasaannya.
Ads
“Semasa kemalangan itu berlaku, saya ada di rumah. Kami sedang tidur dan kemudian dikejutkan oleh anak yang memaklumkan tentang kemalangan itu,” katanya yang kemudian bergegas ke Hospital Serdang kerana maklumat dari rakannya memberitahu arwah anaknya sudah ada di sana.
“Saya dan ayahnya ke Hospital Serdang tapi anak saya satu kereta lain menuju ke lokasi kejadian. Sesampainya anak-anak di sana, arwah sudah meninggal di tempat kejadian, begitu juga kawan baiknya itu,” katanya yang tinggal di Blok D, PPR Kerinchi di tingkat 13 sementara arwah Amirul, pelajar tingkatan 3 SMK Vivekeanda, Briekfield pula tinggal di tingkat 11 blok yang sama.
Video Muhammad Nor Azam bermain gitar sambil menyanyi menjadi pengubat rindu keluarga
Hajat Ke Tanah Suci
Berkongsi kenangan lagi, jelas Zainariah, anaknya begitu berhajat untuk ke tanah suci Makkah malah angannya itu ditanam sejak dari kecil lagi.
“Bila ajak berjalan ke Sabah dan lokasi-lokasi lain, Adik (arwah dipanggil adik di kalangan ahli keluarga) akan menolak. Tak mahu katanya. Sampailah saya berazam untuk mengumpul duit dan ada suarakan kepadanya untuk ke Makkah penghujung bulan 11 ini. Ketika itu Adik nampak gembira betul tapi kemudian dia berkata, itukan ketika peperiksaan SPM sedang berlangsung.
“Adik sanggup tak nak pergi ambil periksa asalkan dapat jejak kaki ke Tanah Suci tapi saya kemudiannya berkata, tarikh itu boleh dianjak ke tahun hadapan. Tapi ternyata hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya memaklumkan anak bongsunya itu agak rapat dengan seluruh ahli keluarganya.
Pandang Wajah Anak Seperti Bayi – Ibu
Ads
Sebagai ibu yang melahirkan, dua tiga bulan sebelum anaknya itu dijemput Ilahi, ujar Zainariah, di kala anaknya itu tidur, dia sering memandang wajah anaknya dengan penuh perasaan kasih dan sering ada ketika dia menganggap anaknya masih lagi seperti bayi kecil yang pernah berada dalam dakapannya suatu ketika dahulu.
“Allah hadirkan perasaan sebegitu dalam hati saya. Bila arwah tidur, saya pandang wajahnya. Nampak seperti dirinya masih bayi. Bila dia tidur mengereng, saya akan luruskan. Ada ketika saya suruh dia masuk ke bilik. Nak dukung tak larat, kejutkanlah saja. Ada masa saya teringin memeluknya umpama ketika dia masih bayi. Rupanya itulah petanda-petanda yang Allah hadirkan di hati saya sebelum kemalangan itu terjadi,” katanya memaklumkan anaknya itu sempat khatam al-Quran pada Jumaat itu sebelum meninggal pada 3 Jun bersamaan hari Ahad.
Tipulah jika dia tidak sedih tetapi kata Zainariah, dia banyak belajar dari pengalaman orang lain yang pernah kehilangan anak. Begitu juga konsep redha yang dipelajarinya dari pengajian agama dihadirinya.
“Kata orang, hidup ini semuanya ujian. Saya redha dengan ujian ini. Alhamdulillah hati boleh tenang melaluinya,’ katanya yang bekerja di Universiti Malaya.
“ Mensyukuri kerana urusan anaknya sebelum pulang ke pangkuan Ilahi, kata Zainariah, bermula dari hospital, diikuti urusan jenazah, segalanya dipermudahkan. Arwah juga memiliki lesen motosikal dan segalanya lengkap,” katanya memaklumkan, jenazah anak dan rakannya itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Sh: Tidak Sempat Beli Persiapan Raya
Ads
Semasa meminta izin keluar membeli persiapan hari raya, anaknya sudah meminta izin keluar dan dia memberikan keizinan. Anaknya itu memaklumkan ingin ke Uptown Danau Kota, Setapak sebelum menuju ke Bangi.
Menurut anak ketiganya, Nurul Ain Ashikin, mereka sekeluarga merancang dan memilih tema baju raya berwarna hijau tetapi perjalanan adiknya itu tidak kesampaian.
“Memang sedih dengan apa terjadi. Kami difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, arwah dan rakan pemboncengnya itu sempat menoleh seketika di belakang. Mungkin untuk melihat kawan-kawan di belakang sebelum terlanggar pembahagi jalan,” katanya yang sempat mengusap kepala adiknya di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Menyifatkan adiknya itu sangat baik, manja dan suka bergurau dengan semua orang, ramai rakan-rakan sekolah termasuk guru begitu sedih ketika menziarahi jenazah adiknya itu di rumah.
“Ada guru mengajarnya, Ustazah Aisyah yang sampai meminta sehelai bajunya. Mungkin hubungan baiknya dengan guru-guru dan rakan pelajar buat dirinya disenangi,”katanya memaklumkan, mereka sekeluarga sedih dengan kejadian berlaku. Masa yang sama, kakak-kakak arwah iaitu Nurul Ain Khairiah, 29, Nurul Ain Ashikin, 27, Nurul Ain Shuhada, 25 dan Nurul Ain Zulaikha, 24 setia menemani ibu mereka tatkala temu bual diadakan. Malah kesemua berkata, arwah adiknya itu sangat manja dan baik dan mereka sempat memasakkan rendang seperti mana dihajati oleh arwah.
Keluarga ini akan merindui wajah dan suara anak bongsu kesayangan ramai.
Al-Fatihah untuk arwah Muhammad Nor Azam dan arwah Amirul Zafri, kedua rakan baik ini. Semoga syurga Firdausi tempat keduanya.
Foto : Ahmad Shahir Othman dan koleksi peribadi keluarga Zainariah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap insan sememangnya mahukan keselesaan tempat tinggal. Apatah lagi buat mereka yang sudahpun mendirikan rumahtangga. Begitu juga dengan pendirian Siti Aisya Kamaruddin, 28, dalam menguruskan rumah tangganya dengan baik, bukan sahaja suami dan anak yang perlu dijaga, bahkan kediaman juga harus dijaga rapi. Bak kata pepatah ‘Rumahku Syurgaku’, maka tidak hairanlah Siti Aisya dan suaminya, Mohamad Fahmi Misroh, 28 ini sanggup berhabis untuk rumahnya bagi mendapatkan keselesaan dan ketenangan.
Siti Aisya dan suami idamkan kediaman yang ringkas dan moden.
“Alhamdulillah, rumah kediaman kami ini mencukupi untuk kami sekeluarga berehat. Malah saya juga bersyukur akhirnya saya dapat memiliki rumah pertama dan baru saja berpindah beberapa bulan yang lalu,” ujar Siti Aisya memulakan perbualan.
Ketika melangkah masuk ke kediaman ini sememangnya, penulis berasa agak kagum, walaupun ruang rumah sederhana namun susun atur cukup moden dan menarik.
“Kami meminati konsep ringkas, minimalis dan moden. Tidak terlalu feminin ataupun maskulin. Kami memberi kebebasan kepada syarikat pereka dalaman yang dilantik iaitu ADCS (AD Creative Studio) untuk menghasilkan rekaan yang sesuai untuk kami berdasarkan konsep yang dipilih. ADCS kemudian drafkan beberapa cadangan untuk kami pilih dan membuat keputusan. Konsep yang dipilih juga mudah untuk kami kekalkan penjagaan dan kebersihan. Kos juga rendah untuk mendapatkan hasil yang moden dan minimalis. Sesuai untuk kami, generasi muda yang masih baru dalam mendirikan keluarga,” ungkap ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini.
Bilik mainan puteri mereka yang cukup selesa.
Sanggup Berhabis
Mengeluarkan kos sebanyak RM60,000 untuk pengubahsuaian Siti Aisya mula minat melakukan dekorasi rumah dari rancangan TV, Casa Impian. Sejak daripada itu, dia juga telah berhasrat untuk mendapatkan rumah idaman apabila sudah memiliki rumah sendiri.
“Sumber inspirasi banyak datang dari media sosial seperti Instagram, Facebook dan Pinterest. ADCS juga banyak memberi idea dan cadangan. Alhamdulillah, bajet kami cukup untuk menghasilkan sentuhan sebegini buat kediaman kami. Tidak salah untuk berbelanja sedikit demi kediaman idaman. Kami juga tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk membersihkan dan mengemas rumah,” sambung Siti Aisya.
Ditanya tentang ruang kesayangannya, Siti Aisya menerangkan ruang ruang vanity di bilik tidur utama menjadi kegemarannya. Manakala suami pula gemarkan panel helmet di ruangan makan.
Siti Aisya juga berasa sangat bersyukur kerana syarikat pereka dalaman yang dilantik telahk mentafsirkan rekaan yang sesuai buat ruang yang terdapat di kediamannya. Warna yang dipilih juga berdasarkan pilihan dia dan suami yang gemarkan warna semulajadi dan warna perabot yang dibeli.
Siti Aisya dan suami gembira miliki rumah pertama dan dekorasi yang diidamkan.
Di syurga kita kan bertemu kembali.. Alfatihah.Sebaris ayat namun beri makna yang cukup mendalam. Itulah luahan Mohd Taufik Abdullah, 42 suami kepada Nurliyana Abdul Raziff,32 penghidap sakit Para Tiriod yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.
Kematian Nurliyana telah disahkan oleh bapanya Muhammad Radzi, 55, yang memaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Pada 13 April lalu, Liyana menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar para tiriod di bahagian lehernyadi Hospital Kuala Lumpur (Nefrologi). Selepas pembedahan itu Liyana terpaksa di bedah sekali pada Selasa lalu bagi membuat saluran pernafasan selepas dilaporkan mengalami masalah pernafasan disebabkan kandungan karbon dioksida di dalam badannya tinggi.Pakar dari Putrajaya dan HKL berusaha melakukan yang terbaik buat Liyana, namun Allah SWT lebih menyayangi beliau.
Jenazah Liyana dibawa ke rumah neneknya disembahyangkan di Masjid Al Taqwa dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Banting pada jam 10 pagi tadi.
Bapa Nurliyana turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat-sahabat yang datang menziarahi anaknya serta warga Facebook dan netizen yang sentiasa mendoakan anaknya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Nurliyana, semoga redha diatas pemergian beliau dan semoga ruhnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah!
Gurauan ada hadnya, apatah lagi sesuatu yang boleh memberi kesan negatif pada anak.Tak tahulah apa yang ada dalam fikiran seorang ayah, apabila tergamak memberi anaknya, bayi yang baru berusia sembilan bulan menghisap rokok! Tak kiralah apa juga alasan, perkara ini bukanlah satu gurauan yang boleh diterima sama sekali.
Kejadian yang berlaku di Surabaya, media sosial di Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan gambar bayi sembilan bulan sedang menghisap rokok.
Foto dengan kapsyen ‘Hembuskanlah nak selagi bapa belum melarang’ memaparkan bayi itu diberikan rokok yang menyala dimuat naik pemilik akaun Facebook, Renigetd Agu Mrajalela turut menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ibu kepada bayi itu dikenali sebagai Ummu, 18, dipercayai mengambil gambar perbuatan tidak bertanggungjawab suaminya, Muzammil, 36, ke atas anak mereka.
Ditahan & Disoal Siasat
Susulan insiden itu, pasangan suami isteri yang merupakan penduduk Desa Tlomar, Kecamatan Tanah Merah, Bangkalan Madura telah ditahan dan disoal siasat pihak berkuasa selain turut diberi amaran keras serta diminta tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut.
“Mereka mendakwa hanya mahu bergurau. Tindakan memuat naik ke media sosial sebenarnya telah memberi pelbagai persepsi masyarakat,” kata Pesuruhjaya Polis di Jawa Timur, Frans Barung Mangera.
Pasangan tersebut mengaku memberi rokok kepada bayi mereka pada 17 Februari lalu dan turut memuat naik gambar itu di Facebook.
Sementara itu, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia (KPAI) menyelar tindakan suami isteri itu walaupun niat mereka hanya bergurau.
“Ibu bapa seharusnya mengajar anak mereka perkara yang baik kerana golongan itu juga perlu dihormati,” kata Pesuruhjaya Didikan KPAI, Rita Pranawati.
Ingatnya mak ayah, jadikan kisah ini sebagai pengajaran. Gurauan biar berpatutan dan ada batasannya.Tak pasal-pasal dedahkan anak pada asap rokok yang boleh membahayakan kesihatan.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.