Kek batik dan roti telur, juadah terakhir anak sebelum pergi selamanya. “Kek batik, roti telur makanan terakhir dibawa ke asrama.” Begitulah kata-kata penuh pilu dari Noraidah Lamat, 45, ibu kepada pelajar perempuan tingkatan satu yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini.
Menurut Noraidah, anak tunggalnya itu sempat menyediakan sendiri roti telur pada pagi Ahad untuk dibawa kembali ke asrama. Malah katanya, anaknya yang memang gemar makan kek batik ketika berada di rumah, menunjukkan kelakuan luar biasa apabila ingin memasak sebelum pulang ke asrama.
“Kalau di rumah, dia memang suka makan kek batik tapi hari Ahad itu sebelum ke asrama dia sendiri masakkan roti telur. Itulah makanan terakhir yang dia bawa, yang dia masak di rumah dan saya hairan pada waktu itu. Mahu balik ke asrama sudah, mahu lagi memasak roti telur dan dia masak untuk kami,” katanya dengan nada sebak.
Tambah Noraidah, anaknya juga membuat keputusan luar kebiasaan apabila memilih untuk kembali ke asrama pada waktu petang, tidak seperti selalu.
“Selalunya dia balik ke asrama waktu pagi, tapi hari tu dia kata, ‘Mama, nanti Zara balik lambat, hari Ahad,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berharap agar siasatan berhubung insiden tragis yang menimpa anaknya dijalankan secara adil dan terbuka, tanpa menyembunyikan sebarang maklumat.
“Saya mahu kes ini disiasat dengan telus, adil dan saksama serta tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak betul. Sekarang sedang dalam siasatan polis, jadi saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan. Saya telah dua kali pergi ke balai polis,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif hadir menziarahi Noraidah di kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol.
Dalam lawatan itu, beliau turut disertai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Pengarah Yayasan Sabah merangkap ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob serta Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, yang menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.
Sementara itu, Mohd Arifin menegaskan bahawa semua pihak perlu menunggu hasil siasatan pihak berkuasa, termasuk berkaitan dakwaan buli di sekolah terbabit.
“Ini dalam siasatan polis. Kita serahkan nanti, kita tunggu nanti hasil siasatan berkenaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Tragedi Cekik Adik 9 Tahun Hingga Mati, Bapa Kongsi Anak Sulung Kerap Dicekik & Dipukul Pelajar Senior Asrama
Sekolah Berasrama Bukan Untuk Semua Pelajar & Penentu Kejayaan Akademik, Mak Ayah Jangan Paksa!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE