“Ko kaya Alhamdulillah. Kaya bukan tiket you untuk hina orang lain”. Ini reaksi Azza Elite terhadap individu yang memuat naik status menyindir surirumah yang membeli handbag tiruan untuk bergaya time raya.
Menerusi posting di Instagramnya, Azza mengatakan sepanjang dia melakukan kerja amal di Facebook dan Instagram, wanita yang memakai handbag biasa inilah golongan suka menderma.
“You tau kalau I buat charity dalam FB or IG orang yang mana mula sedekah dulu. Let me tell you sister, orang yang pakai bag biasa ini lah yang keluarkan duit. I selalu tengok orang yang betul kaya, they will never hina orang lain,”ujar Azza.
Marketing Sampah Hina Orang
Dalam posting itu juga, Azza menegaskan dia sengaja menconteng nama individu yang memuat naik posting itu kerana tidak mahu pengikutnya pergi ke page tersebut.
“Orang dah tak buat marketing sampah macam ni. Orang pergi page you, orang kecam you. You boleh hidup kena macam tu. I is kenot brain…What a cheap marketing.
Ads
“Kaya tu biar budiman. Sister kita hidup makin berisi makin tunduk ke bumi ok. Jangan mendongak ke langit kalau jalan, takut jatuh ke bumi sakit nanti,”tegas Azza.
Azza sempat berpesan agar individu tersebut tidak berlagak kerana katanya orang yang pakai hand bag biasa itulah yang selalu bantu peniaga.
Posting itu bukan sahaja menarik perhatian Azza Elite malah turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Rata-rata netizen menyelar tindakan individu yang tidak bertanggung jawab tersebut yang dikatakan terdesak menjual produk dengan menggunakan strategi pemasaran ‘murahan’.
Sumber Instagram azzaelite
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka perkongsian video-video masakan yang dimuat naik ke laman youTube berjaya menambat hati ramai, malah kini mampu memberi pendapatan tambahan. Walaupun hanya menggunakan perkakasan dan peralatan masakan yang asas. Bahkan telefon pintar yang digunakan untuk merakam video masakan tersebut juga di beli secara hutang. Bukan mudah untuk berjaya, yang penting berusaha.
Itulah kisah di sebalik kejayaan Pavithra dan suami, M Sugu, 29, yang viral di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas video-video masakan yang dikongsikan menerusi saluran Youtube mereka mendapat perhatian penonton.
Selain kepelbagaian menu yang disediakan termasuk masakan India, penggunaan bahasa Melayu oleh Pavithra dalam semua video nyata berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur untuk terus melanggan saluran pasangan suami isteri itu yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran Youtube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,” kata S Pavithra, 28.
Pavithra berkata, dia dan suami mula berjinak-jinak sebagai Youtuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.
Menu pertama yang dikongsi mereka adalah ikan talapia bakar dan Pavithra berkata, dia dan suami menunjukkan tutorial memasak menggunakan Bahasa Melayu.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, mereka sendiri terkejut apabila jumlah pelanggan saluran mereka meningkat sehingga 10,000 dalam tempoh sebulan saluran berkenaan diwujudkan.
Susulan itu, pasangan ini menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan Youtube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
“Saya dan suami memang gemar memasak jadi kami tiada idea yang lebih baik untuk dijadikan kandungan utama saluran YouTube kami selain berkongsi resipi dan tutorial masakan.
“Pada peringkat awal, rakan baik saya turut mempromosikan saluran kami di salurannya jadi mungkin juga itu antara faktor video kami ditonton lebih ramai pelayar sehingga jumlah pelanggan juga naik mendadak.
“Walaupun saya berbangsa India, saya ambil inisiatif untuk hasilkan video dalam bahasa Melayu berbanding Tamil supaya ia dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, jika orang lain mempunyai perkakasan dapur yang canggih, tidak pula bagi mereka yang hanya mempunyai perkakasan asas di dapur. Berbekalkan dua periuk termasuk periuk untuk memasak nasi selain kuali dan sudip, kandungan video dihasilkan menggunakan telefon pintar yang dibeli secara hutang untuk tujuan perkongsian video terbabit.
Rakaman juga menurutnya dibuat selepas suami pulang dari kerja atau pada hari cuti.
“Sejujurnya, kami bukanlah orang senang. Saya hanya suri rumah sepenuh masa manakala suami pekerja ladang kelapa sawit dan kami tinggal di kuarters yang disediakan majikan suami.
“Sebab itu, perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa, barang sedia ada di rumah yang kami gunakan setiap hari, tiada pun peralatan canggih.
“Kami juga tiada tripod (kaki tiga) jadi untuk menstabilkan telefon ketika rakaman, kami hanya letakkan telefon di atas cawan di tempat yang kukuh.
“Memandangkan suami agak pemalu, saya lebih banyak bercakap khususnya ketika kenalkan bahan-bahan dan cara-cara namun proses suntingan klip video dilakukan bersama selepas makan,” katanya.
Dalam pada itu, Pavithra turut menzahirkan terima kasih kepada pelanggan salurannya yang menghadiahkan mereka dengan pelbagai peralatan dapur.
“Saya menerima pelbagai perkakasan seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan) dan ketuhar yang tidak pernah saya gunakan apa lagi miliki seumur hidup saya.
“Tidak kurang juga pengikut yang menghantar bahan mentah serta rempah ratus untuk saya gunakan dalam penghasilan video.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada keluarga, jiran, rakan dan pelanggan yang sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk saya hasilkan dalam video,” katanya.
Ketika ini, jumlah pelanggan saluran Sugu Pavithra di laman Youtube sudah mencecah 275,000 orang.
MW: Tahniah buat pasangan suami isteri ini. Siapa sangka perkongsian video di youtube menjadi punca pendapatan tambahan buat keluarga kecil ini. Semoga terus maju jaya, kekal merendah diri dan bersikap jujur dalam menghasilkan ‘content’ video yang menarik.
Syawal kelima, menjadi tarikh paling menyayat hari buat suami ini, Othman Awang, 41 apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Miss Nurul Mohd Deraman, 32 yang meninggal kemalangan motosikal di tempat kejadian.
Lebih menyayat hati, kedua anak, Muhammad Hasbullah Othman,5 dan Muhammad Hassim, 14 yang membonceng bersama ibu menyaksikan detik akhir hayat ibu mereka. Menangis keduanya di sisi jenazah ibu.
Allahyarham yang menunggang motosikal bersama dua orang anaknya ini dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah yang sama. Kejadian berlaku di Kampung Batu 9, Jalan Jdok dekat Tanah Merah
Tragedi kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan suami yang ketika itu sedang berada di kedai borong miliknya di bandar Tanah Merah.
Segera dia ke tempat kejadian bila rakan maklumkan berita sedih itu.
Sebaik sampai, tak dapat dia menahan emosi. Mengucap panjang suami ini, melihat sekujur tubuh isteri yang sudah kaku ditutup kain oleh orang ramai.
“Luluh hati ini melihat dua anak menangis di sisi ibu mereka yang tak bernyawa. Berat hati saya menerima takdir isteri kesayangan sudah pergi buat selamanya.”
“Lebih menyedihkan apabila dua anak saya terutama yang berusia lima tahun masih terkejut sambil menangis teresak-esak di samping ibunya.”
Menurut Othman, sebelum-sebelum ini tidak ada perubahan yang nyata dalam diri arwah isteri yang menunjukkan tanda-tanda dia akan pergi.
“Cuma semalam, dia ada suarakan perasaan sunyi dan bosan sebab terpaksa berada di rumah.” Malah, lebaran kali ini pun disambut sama seperti biasa. Isterinya juga sempat memohon maaf di atas kesilapan lalu.
Kali terakhir dia dapat berjumpa dengan arwah isterinya itu pun pada awal pagi, selepas solat Subuh sebelum kemalangan. Selepas itu, dia terus bergegak ke kedai untuk bekerja.
Pastinya, kerinduannya tak berpenghujung. Terutama mengenang saat bersama arwah isteri, keramahan dan kebaikan isteri yang selama ini menjadi suri hatinya.
Jenazah isterinya, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bendang Nyor selepas Maghrib. Manakala, kedua orang anaknya itu menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Berdasarkan siasatan awal yang dimaklumkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, mangsa yang menunggang motosikal membawa dua anak dipercayai membuat pusingan U sebelum dirempuh kereta yang juga melalui arah yang sama iaitu dari Panglima Bayu ke Tanah Merah
“Mangsa membuat pusingan U dengan jarak yang sangat dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat memperlahankan kenderaan lalu melanggar mangsa.
“Sebaik anggota sampai ke lokasi, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian, dua anaknya cedera manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
MW : Akhir-akhir ini, berita kemalangan dengan pelbagai punca mengundang perasaan sebak bercampur baur di hati kita yang membacanya. Semoga rakyat Malaysia lebih berhati-hati di jalan raya, dan mengamalkan sikap berhati-hati, prihatin dan kekal tenang dalam pemanduan.
Al Fatihah.. semoga roh Allahyarham Miss Nurul Mohd Deraman ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Seawal 4 pagi Jumaat, pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Siregar terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri tercinta, Datin Zulhaila Siregar Sulaiman, 64. Allahyarham rupanya sudah tujuh tahun menderitai penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) yang berkaitan dengan pernafasan.
Sayunya kehilangan isteri di bulan yang mulia ini. Namun, tentunya Allahyarham insan terpilih yang dijemput Ilahi dalam waktu akhir 10 Ramadan ini. Barangkali sudah asbab kepergiannya. Kebiasaan suami memeriksa keadaan isteri, sebaik mahu menunaikan solat tahajud.
Tetapi tidak pagi ini. Malah, Datuk Ahmad Tarmimi hanya dapat menyaksikan sekujur tubuh isteri yang tidak bergerak, kakinya sudah pun sejuk sekitar jam 4 pagi.
“Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi, saya akan periksa dia dulu. Tapi tadi tidak.” Sambil memaklumkan kali terakhir bercakap dengan isterinya kira-kira jam 11 malam Khamis.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur.
Kata suaminya lagi, sebelum masuk tidur iaitu 11 malam Khamis itu, dia sempat membuat hantaran video kepada ahli keluarganya yang lain akan keadaan isterinya ketika itu.
“Keadaannya tidak berapa okay. Pernafasan dan oksigen kurang bagus.” Malah, Allahyarham kelihatan teramat penat.
Memandangkan ketika ini musim wabak Covid-19, bimbang untuknya menghantar isteri ke hospital. Lagi-lagi penyakit isteri membabitkan paru-paru.
“Saya fikir tidak sesuai. Tak jangka pula dia sudah mahu pergi.”
Di saat-saat akhir hayatnya itu, isterinya mula tak lalu nak makan dan minum. Puas juga suami memujuk. Tetapi tetap ditolak isteri.
Bagaimana pun, arwah isterinya itu sempat bercakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja
Sejak mengalami sakit COPD tujuh tahun lalu, isterinya terus bertahan. Namun, tiga tahun kebelakangan ini sakitnya semakin hebat menyerang. Malah kesihatan isteri mulai merosot.
Isterinya tak boleh keluar rumah. “Kalau keluar pun kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.”
Bila mana pernafasan isteri yang semakin tidak menentu ditambah pula dengan mula tak dapat mengingat sejak dua minggu lalu, Datuk Ahmad Tarmimi mula pasrah dan redha dengan keadaan isteri.
“Saya cakap pada diri, saya redha jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.” Arwah isterinya itu juga tidak dibawa ke hospital, sebaliknya ambulan dan pegawai perubatan datang untuk membuat pemeriksaan.
“Semua anak pun sudah ada di rumah. InsyaAllah, saya cuba segerakan urusan pengebumian jenazah.” janji suami sebagai bakti akhir untuk isteri tercinta.
Sesungguhnya saat kematian itu tidak datangnya lambat mahupun cepat. Ia tepat seperti janji yang telah tuhan catatkan.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solar Zohor.
Ketika hayatnya, Allahyarham merupakan penerbit bersama filem Belukar lakonan Bront Palarae, Daphene Iking dan ramai lagi. Malah, pernah membintangi filem Sepi pada 2008.
MW :Al-Fatihah.. semoga Allahyarham Zulhaila Siregar Sulaiman ditempatkan di taman-taman syurga bersama orang-orang yang soleh.