Menurut Shuhadah, keputusannya memberi keizinan kepada suami untuk berkahwin lagi dibuat selepas mempertimbangkan keadaan dan perasaan semua pihak. Dia menganggap langkah itu lebih baik berbanding membiarkan perkara yang boleh menimbulkan konflik pada masa hadapan.
Katanya, apabila perasaan sudah wujud antara suami dan rakannya itu, soal hati bukan sesuatu yang mudah untuk dipaksa. Justeru, dia memilih untuk reda dan memberi keizinan agar hubungan tersebut berlangsung secara sah dan terbuka.
Shuhadah turut menjelaskan, pendedahan mengenai perkahwinan itu dibuat di media sosial bagi mengelakkan salah faham serta fitnah selain mahu memberi peringatan kepada lelaki yang berniat berpoligami supaya berlaku jujur terhadap isteri pertama.
Dia juga berharap hubungannya bersama suami dan madu dapat dipelihara dengan baik serta saling bertolak ansur demi memastikan keharmonian rumah tangga. Pada masa sama, Shuhadah berharap masyarakat tidak melabel isteri kedua sebagai perampas kebahagiaan orang lain.
Menurutnya, layanan baik yang diberikan oleh madu terhadap dirinya serta anak-anak memudahkan mereka membina keserasian malah hubungan mereka kini semakin rapat.
Sementara itu, Muhammad Azizi berkata, perasaannya terhadap isteri kedua hadir tanpa dirancang dan bukan dengan niat merosakkan persahabatan antara dua wanita tersebut. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, dia mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut saluran yang sah.
Sebagai suami, dia mengakui terharu dengan sikap bertolak ansur isteri pertama yang bukan sahaja memberi keizinan malah bersungguh-sungguh memohon kepada mahkamah bagi meluluskan perkahwinan tersebut.
Muhammad Azizi berkata, dia memilih untuk berterus terang dan tidak mengambil jalan pintas kerana percaya kejujuran dan komunikasi adalah asas penting dalam perkahwinan. Malah, majlis akad nikah isteri kedua turut berlangsung di rumah mereka atas persetujuan isteri pertama.
Mengulas tanggungjawab selepas bergelar suami kepada dua isteri, Muhammad Azizi mengakui dia berasa sebak dan sedar amanah untuk berlaku adil bukan perkara mudah.
Dia turut menafikan perkahwinan kedua dilakukan atas dasar nafsu sebaliknya menegaskan niatnya adalah untuk membimbing serta memberi perlindungan, selain mengingatkan lelaki di luar sana supaya tidak menyembunyikan hasrat berpoligami kerana ia hanya akan memudaratkan hubungan rumah tangga. Kredit :- Harian Metro.

