Perubahan sikap anak sulung yang disangka sekadar mahu menarik perhatian rupa-rupanya menjadi petanda kepada ujian besar buat seorang ibu di Kampung Binjai apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal.

Perubahan Sikap Anak Jadi Petanda Awal Kanser Pangkal Otak

Nik Nur Atiqah Rusdi, 34, berkata anaknya, Nur Elyana Umairah Mohd Khairul Nizam, pada mulanya sering kelihatan lemah, berjalan tidak stabil dan kerap mengadu pening kepala sejak sebulan lalu.

Katanya, dia menyangka keadaan itu hanyalah alasan anaknya enggan ke sekolah atau mahu mendapat perhatian lebih kerana dirinya sibuk menguruskan anak bongsu, Nur Eleena Huwaina, enam bulan, yang mengalami sumbing bibir dan lelangit serta perlu disusukan menggunakan tiub khas.

Disangka Manja, Rupanya Tanda Kanser Pangkal Otak

Menurut Nik Nur Atiqah, Elyana yang merupakan murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Mentuan pernah mengadu sakit kepala di sekolah hingga guru meminta dia segera menjemput anaknya pulang.

“Dia pernah cakap, ‘mama sayang adik sahaja’. Masa itu saya fikir dia merajuk.

Kanser Pangkal Otak: Ujian Berat Seorang Ibu Apabila Anak Sulung Disahkan Sakit Kritikal
Kredit foto: Sinar Harian

“Apabila dia jalan tak betul dengan mata kuyu, saya ingatkan dia nak tarik perhatian tapi lepas bawa ke hospital memang terkejut doktor sahkan kanser pangkal otak,” katanya sebak.

Pengesahan Doktor Dan Rawatan Radioterapi

Elyana pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Binjai sebelum dirujuk ke Hospital Kota Bharu. Hasil imbasan CT scan menunjukkan terdapat ketumbuhan berukuran tiga sentimeter di pangkal otaknya.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kemudian mengesahkan Elyana menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal. Kedudukan tumor yang berisiko tinggi menyebabkan pembedahan atau rawatan kemoterapi tidak dapat dilakukan.

Ads

Kini, kanak-kanak itu hanya mampu terlantar dan menjalani rawatan radioterapi setiap hari sejak 15 hari lalu bagi memperlahankan pertumbuhan tumor tersebut.

Keadaan Kesihatan Elyana Semakin Lemah

Keadaan kesihatannya semakin merosot apabila sejak minggu lalu dia tidak lagi mampu makan secara biasa dan hanya bergantung pada tiub khas untuk mengambil susu serta ubat.

“Dulu dia ceria dan suka ke sekolah, tapi sekarang hanya mampu sebut satu, dua perkataan saja.

“Doktor beritahu tiada harapan sembuh dan minta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya pilu.

Keluarga Berdepan Ujian Berat

Dalam masa yang sama, keluarga ini turut berdepan ujian lain apabila adik Elyana, Nur Eleena Huwaina, perlu menjalani pembedahan membetulkan bibir sumbing yang sepatutnya dilakukan bulan lalu namun ditunda ke 22 November ini kerana faktor kesihatan.

Ads

Suami Nik Nur Atiqah, Mohd Khairul Nizam Ghazali, 32, bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, jauh daripada mencukupi untuk menampung kos rawatan, susu khas dan lampin pakai buang yang dianggarkan mencecah RM3,000 sebulan.

Nik Nur Atiqah yang berhenti kerja di restoran makanan segera sejak Mei tahun lalu kini tinggal menumpang di rumah ibunya, Maheran Tengku Jusoh, 55, yang juga tidak lagi bekerja.

Mereka pernah menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bantuan Diperlukan Segera

Kini, Nik Nur Atiqah menumpukan sepenuh perhatian kepada dua anak yang sakit serta dua lagi anak normal masing-masing berusia empat dan enam tahun.

Ads

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03018021725015 atas nama Nik Nur Atiqah Rusdi.

ISejahtera Hulur Bantuan Kepada Keluarga Elyana

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah, yang menziarahi keluarga berkenaan, telah menyerahkan kerusi roda boleh laras, susu, lampin serta bantuan kewangan kepada mereka.

Kanser Pangkal Otak: Ujian Berat Seorang Ibu Apabila Anak Sulung Disahkan Sakit Kritikal
Kredit foto: Sinar Harian

Beliau turut memaklumkan bahawa keluarga tersebut akan dijadikan keluarga angkat ISejahtera bagi memastikan mereka terus menerima bantuan sewajarnya.

“ISejahtera akan terus bantu dan pantau supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel lain: Pesara Guru Rayu Bantuan RM70,000 Untuk Biaya Pembedahan Jantung Anak Bongsu Di IJN

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI