Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesan media sosial ke atas kesihatan mental remaja di Malaysia kian mendapat perhatian. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, satu daripada empat remaja dilaporkan mengalami tekanan emosi, manakala satu daripada lapan remaja berumur 10-19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental, dan yang lebih membimbangkan, satu daripada 10 mempunyai niat untuk membunuh diri.
Angka-angka ini telah menunjukkan peningkatan berbanding lebih sedekad yang lalu. Apabila penggunaan media sosial di kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan. Kajian menunjukkan bahawa ini boleh mengakibatkan buli siber (cyber bully), keresahan dan kemurungan.
Dr Tee Bee Chin
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini, Dr Tee Bee Chin, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway berkongsi secara mendalam impak ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Sebagai seorang yang menitikberatkan kesihatan mental kanak-kanak, Dr Tee Bee Chin menekankan kepentingan mengesan tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian yang boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.
Katanya, “Ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian ini boleh mengakibatkan satu tindakbalas negatif dengan pantas. Ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah yang utama seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya, serta perbalahan keluarga. Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin, dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian. Kami menggunakan asas piawaian untuk mendiagnosis ketagihan, seperti mempertimbangkan faktor-faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian, serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin.”
Ads
Dr Tee menekankan kesan ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia, terutamanya terhadap kesihatan mental, dan berkata, “Ketagihan kepada aktiviti dan permainan dalam talian boleh mengakibatkan kesan negatif kepada seseorang. Penggunaan internet secara berpanjangan boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, dan isu-isu kesihatan mental yang lain. Ini juga akan menjejaskan kehidupan seseorang kanak-kanak secara fizikal dan mental.”
Dr Tee juga berkata penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial, dan serta simptom fizikal yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan. Tambahnya lagi, “Saya juga telah melihat hubung kait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak. Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif boleh mencetuskan tindak balas yang ganas dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.
Gambar hiasan
Satu kajian terbaharu juga telah menunjukkan remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap, boleh menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, penglibatan dalam pergaduhan fizikal yang lebih kerap, dan prestasi sekolah yang merosot.
Dr Tee menjelaskan punca-punca yang menyebabkan terjejasnya kesihatan mental di kalangan remaja:
Buli siber: Platform media sosial boleh menjadi tempat bercambahnya kegiatan buli siber, yang kemudian membawa kepada keresahan, kemurungan, dan kurang keyakinan diri.
Takut ketinggalan (FOMO): Pendedahan berterusan terhadap aktiviti orang lain yang kelihatan lebih menarik boleh mendorong perasaan FOMO, dan kemudiannya menyebabkan pengasingan diri dan keresahan.
Ketagihan dan Perilaku Kompulsif: Media sosial yang mendorong kepada ketagihan boleh menyebabkan penggunaan yang kompulsif dan membuatkan seseorang memerlukan perakuan daripada orang lain (validation), mengakibatkan keresahan dan kemurungan apabila tidak mendapat perhatian.
Kurangnya Interaksi secara Bersemuka: Terlalu bergantung pada media sosial untuk berkomunikasi boleh mengurangkan interaksi dalam kehidupan harian, menyebabkan kesunyian dan pengasingan sosial.
Informasi yang Berlebihan (Information Overload): Pendedahan yang berterusan kepada berita yang membimbangkan, kandungan yang mengerikan atau yang mencetuskan panik di media sosial boleh meningkatkan tahap tekanan dan menjejaskan kesihatan mental.
“Pesakit sering kali mengalami stigma apabila mereka mendapatkan rawatan untuk kesihatan mental lantas menambahkan lagi penderitaan mereka. Saya pernah melihat kes remaja yang pada awalnya semakin pulih dengan terapi dan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun dia mengalami masalah kesihatan semula setelah tidak meneruskan rawatan. Walaupun ini bukanlah penyebab secara langsung, ia berpotensi untuk menjadi masalah kepada remaja, terutama mereka yang mahu mendapatkan bantuan tetapi takut kepada stigma,” tambahnya.
Ads
Pelbagai Pendekatan Menangani Kesihatan Mental Kanak-Kanak
“Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan kepada keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah (coping skills), ciri-ciri peribadi, serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka,” kata Dr Tee.
Gambar hiasan
Pilihan rawatannya termasuk:
Kaunseling untuk menangani stres
Terapi tingkah laku kognitif (cognitive-behavioral therapy) untuk menangani pemikiran yang tidak membantu yang dikaitkan dengan gangguan kemurungan dan kegelisahan
Terapi menghadapi kesedihan (grief therapy) untuk tekanan emosi akibat kehilangan orang tersayang
Terapi trauma untuk mereka yang menghadapi trauma pada zaman kanak-kanak atau eskapisme yang tidak sihat melalui ketagihan internet
Terapi bermain untuk kanak-kanak kecil untuk membolehkan mereka meluahkan fikiran dan perasaan mereka
Terapi keluarga untuk menangani konflik keluarga yang mengakibatkan tekanan emosi
Ubat-ubatan seperti antidepresan dan antikegelisahan untuk simptom yang teruk
Dr Tee menekankan bahawa pengesanan awal terhadap ketagihan dapat memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak. Beliau berkata pengesanan dan rawatan yang tepat pada masanya boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme untuk menghadapi tekanan (coping mechanism) terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan, serta kesepian semasa menjalani rawatan. Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk mendapatkan bantuan daripada pakar kesihatan.
Ads
“Ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini. Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka.
“Untuk memastikan keberkesanannya, kumpulan sokongan khusus yang terdiri daripada pakar psikologi kanak-kanak yang terlatih dengan teknik kaunseling yang betul boleh memberi manfaat tambahan kepada rawatan untuk pesakit yang mungkin lebih selesa untuk berada antara mereka yang mengalami masalah yang sama. Meskipun media sosial adalah antara punca isu kesihatan mental di kalangan remaja, ia boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dengan mendidik masyarakat mengenai situasi-situasi ini serta menyediakan pilihan yang boleh memberikan sokongan semasa krisis,” kata Dr Tee.
Tambahnya lagi, “Internet boleh digunakan, tetapi adalah penting untuk orang dewasa memberikan panduan. Mari kita bersama-sama menggalakkan penggunaan internet secara konstruktif – platform yang membolehkan kita berkongsi idea, menyelami seni dan kraf, mencari dan menjalankan hobi, serta mempertingkatkan kemahiran.”
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Dr Tee menekankan akan pentingnya kita melindungi kesihatan mental kanak-kanak pada era digital ini. Mengenali tanda-tanda gangguan emosi, mendapatkan bantuan awal, serta memupuk persekitaran yang positif adalah penting untuk memastikan kesihatan mental bagi generasi anak muda ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak dinafikan tempoh masa PKP yang lama banyak meninggalkan kesan negatif pada sebahagian kita. Tekanan hidup yang mencabar dan tak tertanggung getirnya menjadikan kita stres sehingga menyebabkan tertekan, murung dan akhirnya alami tekanan mental.
Pelbagai stigma timbul apabila kita berbicara tentang sakit mental ini. Malah apabila seseorang mengalami masalah sakit mental pula, ramai yang sering mengaitkannya dengan perspektif negatif iaitu ‘gila’.
AWAS! Stress PKP, Sakit Mental Menjadi-jadi, ini merupakan topik pilihan dalam LIVE Sembang Wanita sempena kempen Mingguan Wanita Prihatin, baru-baru ini.
Sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan sakit mental,bagaimanakah pengertiannya?Adakah mengalami pesakit mental berpeluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain?
Untuk menjawab persoalan tersebut, Puan Anita Abu Bakar selaku pengasas dan Presiden MIASA (Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) yang turut pernah melalui situasi getir sakit mental dalam hidupnya, ada menjelaskan mengenai definisi sakit mental ini.
“Persepsi negatif penyakit mental dikalangan masyarakat adalah ‘gila’ dan berbahaya. Penyakit mental berlaku apabila ia mengganggu fungsi harian dan tidak dapat berfungsi sebagai seorang individu normal. Seperti tidak dapat membuat keputusan dengan baik, tidak dapat menangani stress dan sebagainya.”
“Namun perkara positifnya, penyakit mental ia boleh sembuh, ada rawatan berkesan namun memerlukan pendekatan yang menyeluruh.” jelas Anita.
Simptom Tanda-Tanda Awal Penyakit Mental
Perlu tahu, individu yang mengalami penyakit mental mempunyai simptom dan tanda-tanda awal yang perlu diambil berat. Ianya pelbagai dan bergantung pada keadaan individu tersendiri. Antaranya:
1.Perubahan pola tidur.( Kurang Tidur/Terlebih Tidur)
2.Kurang makan atau terlebih makan.
3.Tidak suka bersembang dengan kawan-kawan dan keluarga.
4.Suka mengasingkan diri.
5.Kerap tak sihat, seperti demam, batuk, sakit kepala.
Penting Luahkan Dengan Orang Lain
Jelas Anita lagi, sebenarnya apabila mengalami stres dan tekanan, adalah penting untuk mendapatkan bantuan dan meluahkannnya pada orang terdekat yang boleh dipercayai. Ia dapat membantu mengurangkan tekanan sekaligus dapat memberi perspektif berbeza dalam masalah dan tekanan yang dialami.
“Apabila rutin seharian tidak dapat lakukan dengan baik, kerap rasa stres minimum 2 minggu seeloknya melakukan sesuatu dan mendapatkan pertolongan.”
“Ia tak semestinya kena berjumpa dengan Pakar Psikitari, namun mungkin seperti meluahkan dengan individu yang boleh dipercayai seperti rakan dan keluarga juga boleh membantu bagi mengurangkan tekanan dan stres.”
“Apabila berkongsi dan meluahkan dengan orang lain, mungkin kita dapat melihat kehidupan atau masalah kita dari perspektif yang berbeza. Malah mungkin individu tersebut dapat memberikan jalan keluar pada permasalahan kita dan solusi yang dapat dicapai bersama.” ujar Anita.
Ini antara intipati penting yang dikongsikan dalam LIVE Sembang Wanita sempena kempen Mingguan Wanita Prihatin. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai topik ini dan pelbagai perkongsian menarik, saksikan video berikut.
Apa perasaan anda, jika gambar anak-anak anda disebarkan melalui media sosial sebagai bahan seksual? Tentulah marah dan terkejut. Itulah yang dialami oleh selebriti media sosial dan pelakon, Mek Yun yang terkejut apabila mendapat tahu gambarnya ketika zaman persekolahan telah disebarkan dalam sebuah kumpulan Facebook yang dipercayai menyasarkan kanak-kanak sebagai bahan seksual.
Dalam perkongsian video di akaun Instagram miliknya, Mek Yun meluahkan rasa marah dan mengakui tidak sanggup membaca komen-komen yang disifatkannya sebagai menjijikkan dan melampaui batas.
Susulan daripada itu, Mek Yun menyeru orang ramai untuk bersama-sama membuat laporan terhadap kumpulan tersebut agar ia dapat ditutup segera.
“Jom kita semua report group ni. Kita musnahkan group ni. Jangan biarkan diorang buat apa yang diorang suka. Sebab ini tak patut jadi normal.
Benda ni bukan lawak. Ni jenayah. Ni penyakit. Dan banyak sangat kes budak-budak jadi mangsa lepas tu trauma seumur hidup,”ujarnya.
Mek Yunn juga berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung perkara terbabit.
“Saya bersuara sebab benda ini tak boleh dibiarkan. Kita semua kena jadi suara kepada budak-budak yang tak mampu bersuara.”
Saya mohon pihak PDRM, MCMC dan YB Fahmi Fadzil tolong siasat dan hentikan semua ini.
Akaun Ditutup
Hasil daripada laporan beramai-ramai oleh netizen yang prihatin tentang masalah ini, kumpulan Facebook ‘Budak-Budak Sekolah Rendah’ akhirnya telah ditutup.
Mek Yun merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang telah bertindak pantas dan bersama-sama menunjukkan solidariti dalam melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan ini belum selesai. Usaha melindungi anak-anak daripada sebarang bentuk eksploitasi perlu diteruskan dengan lebih tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak boleh leka. Pengawasan harus diperkukuh dan tindakan undang-undang mesti terus dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap golongan yang paling mudah terancam ini,” tegas Mek Yun dengan penuh komitmen.
Info: Pedofilia merujuk kepada gangguan psikoseksual di mana seseorang dewasa atau remaja yang lebih tua mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh, biasanya berumur 12 tahun ke bawah.
Penting untuk Diketahui:
Pedofilia bukan sekadar tarikan, tetapi ia sangat berbahaya kerana melibatkan penderaan terhadap kanak-kanak yang belum cukup matang secara fizikal dan emosi.
Ia boleh berlaku secara fizikal atau melalui alam maya –termasuk melalui gambar, video, atau komunikasi dalam talian.
Pencegahan, pendidikan dan pengawasan digital adalah antara cara penting untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa.
Sama tapi tak serupa, “Memang susah nak bezakan serangan sakit jantung vs serangan panik”. Begitulah perkongsian yang dinyatakan oleh Pakar Kardiologi, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr. Muhammad Imran Abdul Hafidz.
Malah Dr Imran juga menjelaskan setiap pesakit adalah berlainan dek kerana itu juga kadang-kadang susah untuk membezakan antara serangan sakit jantung dan serangan panik.
Sama Tapi Tak Serupa
Untuk pengetahuan, serangan jantung merupakan tanda-tanda awal bagi seseorang itu disahkan menghidap penyakit jantung dengan rasa sakit di dada seperti dihimpit sesuatu dan berkemungkinan akan sukar bernafas, loya serta pening kepala.
Hakikatnya serangan jantung atau penyakit kardiovaskular boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil berat kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan secara berkala.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, Dr Imran berkongsi bagaimana untuk mengenalpasti perbezaan antara pesakit yang mengalami serangan jantung dan juga serangan panik.
SERANGAN JANTUNG VS SERANGAN PANIK?
1) Tempoh masa simptom
Serangan sakit jantung – lama, biasanya >30 minit
Serangan panik – sekejap
2) Sakit dada
Serangan sakit jantung – dada berat, seperti ditekan
Serangan panik – pun boleh berat
3) Sakit di tempat lain?
Serangan sakit jantung – boleh dirasai di leher, belakang, bahu/lengan kiri
Serangan panik – biasanya di dada saja.
4) Kebas?
Serangan sakit jantung – jarang
Serangan panik – boleh kebas/semut2 di sekeliling mulut, jari, kaki.
5) Kesukaran bernafas?
Serangan sakit jantung – ada, macam tak cukup nafas, tak puas tarik nafas
Serangan panik – pun ada, pernafasan laju
6) Senaman atau aktiviti berat
Serangan sakit jantung – akan bertambah teruk
Serangan panik – simptom biasanya akan kurang
“Semua pesakit adalah berlainan, jadi kadang-kadang memang susah saya nak bezakan serangan sakit jantung vs serangan panik.
“Ujian yang basic seperti ECG atau stress test (treadmill) biasanya akan membantu.
“Sekiranya stress test dan ECG itu normal, biasanya saya akan menasihati yang simptom-simptom itu besar kemungkinan, bukan dari masalah jantung,” terang Dr Imran yang penuh dengan info terbaik.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas suami Jahidah Nordin yang membelasah isterinya hingga koma. Keputusan ini menjadi peringatan tegas terhadap keganasan rumah tangga.