Kanak-kanak Dipukul Dengan Tukul Masih Kritikal, Suspek Disahkan Ada Rekod Dadah & Halusinasi

Share

Kanak-kanak dipukul dengan tukul masih kritikal, suspek disahkan ada rekod dadah & halusinasi. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Jelawat, Bachok, Khamis lalu masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.

Kanak-Kanak Dipukul Dengan Tukul Masih Kritikal, Suspek Disahkan Ada Rekod Dadah & Halusinasi

Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata anaknya hanya menunjukkan sedikit tindak balas ketika pertama kali tiba di hospital.

“Semalam, anak saya adalah gerakkan sedikit kepalanya macam nak beritahu ‘minta tolong’. Doktor maklumkan keadaannya sangat kritikal dan memerlukan pemantauan berterusan,” katanya pada Jumaat.

Menurut beliau, sebelum kejadian, dia menjemput anaknya pulang dari sekolah bersama seorang lagi anak suspek berusia lapan tahun. Namun, Muhammad Ammar meminta untuk tinggal di rumah bapa saudaranya bagi bermain dengan sepupunya.

“Masa tiba di rumah abang ipar saya itu untuk hantar anaknya, saya tanya anak saya, dia minta duduk di rumah itu sebab nak bermain dengan sepupunya. Saya tinggal dia di situ dan ke Kota Bharu atas urusan kerja, sebelum ini jarang saya tinggal dia di sana,” jelasnya.

Badrul berkata, sekitar jam 4.30 petang, kakaknya yang merupakan isteri suspek memaklumkan bahawa anaknya telah dipukul dengan tukul hingga parah.

Dia bergegas ke rumah berkenaan dan mendapati anaknya dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik stor kecil.

”Ketika kejadian, kakak beritahu dia sedang tidur manakala dua anaknya bermain di ruang tamu manakala seorang lagi anak mereka berusia 14 tahun sedang mandi,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu turut meluahkan rasa terkejut kerana abangnya itu tidak pernah menunjukkan sikap agresif sebelum ini.

“Abang ipar saya ini baik sahaja dengan anak-anak saudara dan tak pernah pun berkelakuan agresif,” katanya.

Selepas kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun melarikan diri menaiki motosikal sebelum ditemukan meninggal dunia di sebatang pokok ru di Pantai Melawi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman mengesahkan suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi ketika kejadian.

“Suspek mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan dipercayai berhalusinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, polis turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mayat suspek dihantar ke HPUSM untuk proses bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian 1 Sinar Harian 2 dan Kelab Info Malaysia

Baca artikel lain juga: Bapa Kanak-kanak Dipukul Dengan Tukul Mohon Doa Orang Ramai

Pukul Anak Saudara Dengan Tukul Besi, Suspek Gantung Diri Pada Pokok Di Pantai

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has