Memang tak mudah menjadi suri rumah. Apatah lagi jika sebelum ini pernah bekerja, boleh jumpa kawan-kawan di pejabat dan ada duit sendiri untuk beli apa yang disukai.Bergelar suri rumah sering dipandang ‘sebelah mata’ oleh masyarakat walaupun memiliki pendidikan tinggi dan tugas yang mulia berkorban demi anak-anak serta keluarga.
Perkara sebegini membuatnya wanita yang menjadi suri rumah sering berperang dengan emosi sendiri. Menjadikan diri mudah murung, rasa sedih, hilang keyakinan diri dan sebagainya.
Buat para suri rumah hilangkan keresahan ini dan bangkitlah lawan emosi tersebut.Pujuk hati dan jemput baca perkongsian oleh Puan Sri A’jilah Mohd Samsir ini sebagai renungan.
Orang kata, Eh best la ko jadi suri rumah.
Pada saya, kalau tak bersedia mental fizikal, tak best langsung jadi suri rumah.Sebab jadi suri rumah lah saya down, frust, murung.
Betul.
Ni kesah lama.
Tapi betul-betul sarat dengan pengajaran untuk saya.
Dari ada duit sendiri, nak beli apa-apa tak payah nak berkira.
Boleh jumpa kawan, boleh ada kawan berborak. Tapi, bila jadi suri rumah, saya hilang semua tu. Saya hilang keyakinan pada diri saya sendiri.
Paling teruk, saya rasa sakit hati pada suami saya sendiri. Saya rasa, dialah penyebab saya jadi macam ni.
Saya jadi depress sebab dia.
Saya rasa useless sebab dia.
Saya hilang diri saya sebab dia.
Lamanya saya berada kat fasa ni. 3 tahun. Bukan sekejap kan? Betapa banyaknya masa yang saya dah bazirkan. Sampai kan Kadang-kadang saya rasa menyesalnya kahwin awal ( maafkan saya, abang).
Betulla kan,Allah datangkan seseorang dalam hidup kita pasti bersebab.
Saya kenal seorang perempuan ni. Dia niqabis. Saya suka tengok niqabis ni dan suka nak tengok life style dia macam mana.
Saya selalu rasa niqabis ni mesti hidup dia best, sempurna, tinggi iman, tinggi kesabaran.
Ads
Kesahnya, kawan saya ni ada anak 2.Sepasang.
Yang sulung perempuan, darjah 2.Yang kecik tu baru 4 tahun.
Rupanya, dia penghidap mental disorder. Major mental disorder.
Siap ada anxiety disorder,Borderline personality.
Dia besarkan anak-anak sendiri sambil buat bisnes online sikit-sikit. Seriously, dia cukup tabah.
Bila datang sakit dia, dia macam mayat hidup yang terbaring je sambil tengok kipas pusing. Seharian tak bangun. Solat, mandi, masak, memang dia tak buat langsung.
Dia jadi kosong.
Anak-anak dia?
Kakak yang sulung tu akan uruskan si adik. Mandikan, bagi makan, main, tidurkan. Hebat sungguh anak sulung dia boleh buat semua ni pada usia 8 tahun.
Allah bantu dia dengan hadiahkan seorang anak yang cukup hebat kan?
Ads
Suami dia?
Dia jarang bercerita pasal suami dia.
Tapi suami dia memang tak bagi nafkah pada dia dan anak-anak.
Tolong uruskan anak-anak, lagi la jauh panggang dari api.
Sedar Diri
Allahuakbar!
Saat ni saya macam baru sedar diri.Baru jadi manusia waras.
Selama ni,walau susah macam mana pun,Suami saya tak pernah abaikan saya.
Tak pernah berkira pun untuk tolong saya buat kerja-kerja rumah.
Tak pernah lupa bagi duit belanja pada saya tiap-tiap bulan.
Tak pernah balik dengan tangan kosong setiap kali dia keluar.
Apa lagi yang saya nak?
Apa lagi yang perlu saya rungutkan?
Sungguh!
SYUKUR TU TAK MUDAH
TAPI BOLEH DIDIDIK.
Betapa banyaknya benda yang kita boleh syukuri.
Ads
Mungkin, suami kita jenis menghadap henfon je bila kat rumah. Tapi dia tak pernah lupa bagi nafkah. Bersyukurlah!
Mungkin,suami kita tak bantu hal-hal rumah, tapi boleh bantu tengok anak-anak . Bersyukurlah!
Mungkin,suami kita tak amik tau pun urusan rumah dan anak-anak, tapi tak pernah berkira soal duit. Brsyukurlah!
Saya belajar sesuatu.
Kalau kekurangan yang buat kita merungut, yang buat kita sakit hati,Sampai bila-bila pun kita cuma akan nampak kekurangan tu.
Sebabnya, kita fokus pada kekurangan.
Walaupun kebaikan tu cuma satu, tapi kalau kebaikan yang kita fokuskan, yang kita sebut, kebaikan jugaklah yang kita akan nampak. Yang kita akan rasa.
~terima kasih , abang. Maafkan saya untuk semuanya.
Sri A’jilah Samsir,
Allah bagi kita ujian untuk kita belajar menghargai apa yang kita ada, bukan apa yang orang ada❤️
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat wanita yang menjadi suri rumah, jika ada kalanya rasa down, murung, mahupun hilang kenyakinan diri, jadikan perkongsian ini sebagai rujukan dan panduan dalam menguruskan kehidupan seharian.
Wanita amat takut untuk menghadapi kenyataan diri akan mengalami menopaus.
Apa itu menopaus? Menopaus menunjukkan pengakhiran haid bulanan dan berakhirnya tempoh reproduktif wanita. Ia juga adalah tanda folikel dalam ovari telah berhenti menghasilkan dua hormon utama wanita iaitu estrogen dan progesterone.
Wanita menopaus apabila mereka tidak mengalami haid selama 12 bulan.Umur sebenar peralihan ke menopaus ini berbeza daripada antara wanita. Walaupun purata umur 50 tahun kebanyakan wanita sudah mula mengalami menopaus tetapi itu tidak bermakna semua wanita akan mengalaminya pada umur yang sama.
Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran, menjelaskan ramai wanita yang tidak dapat menerima hakikat diri mereka sedang berada dalam fasa untuk menopaus.
“ Daripada melawan menopaus seharusnya wanita perlu menerima hakikat diri akan menopaus. Ada yang berfikiran apabila diri menopaus mereka sudah jadi tua. Saya selalu beritahu wanita agar melihat pada diri saya. Saya sudah menopaus dan tidak pernah terfikir diri sudah tua.
Kami pengamal perubatan perlu beri banyak motivasi kepada wanita yang beranggapan menopaus itu adalah menjadi tua. Sebenarnya sokongan daripada para suami, anak dan kawan-kawan adalah penting juga.
Ada antara wanita ini rasa risau terhadap penerimaan suami apabila mereka telah menopaus. Mereka risau suami akan mencari wanita lain. Jadi kita perlu mendidik wanita dan juga lelaki apa sebenarnya menopaus dan kesannya pada wanita dan kehidupan mendatang.”
5 cara hadapi menopaus ikut saranan doktor
Berikut adalahb saranan Dr. Premitha kepada wanita apabila merasakan diri mula menopaus.
1-Wanita perlu melihat apa yang mereka makan kerana apabila menopaus, berat badan akan naik. Jika makan, mereka perlu makan sikit-sikit. Wanita boleh makan apa sahaja tetapi kurangkan pengambilan karbohidrat dan lemak. Makan lebih banyak protein dan sayuran. Jangan makan lebih dari 8.00 malam.
2-Wanita juga perlu minum lebih banyak air kosong. Boleh juga minum teh dan kopi tetapi kurangkan had pengambilannya dalam sehari.
3-Wanita juga perlu ada masa untuk berehat dan masa untuk diri sendiri yang boleh membuatkan diri rasa lebih gembira. Tanamkan dalam fikiran bahawa inilah masa untuk diri sendiri. Tidak ada orang lain boleh menganggu masa untuk diri sendiri ini.
4-Wanita juga perlu bersenam. Tidak perlulah mendaftar di gim untuk melakukan senaman kerana bila pergi ke gim sudah pasti anda dapat mengurangkan berat badan. Tetapi sebaik anda tidak pergi ke gim, berat itu akan mula naik. Lebih baik buat senaman yang boleh anda lakukan secara berterusan seperti berjalan-jalan, menari atau senaman meregang yang mudah. Tanamkan dalam diri agar berjalan 10,000 langkah sehari.
5-Wanita juga boleh mengambil vitamin-vitamin yang diperlukan tubuh. Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambilnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ketika kanak-kanak lain di usianya bebas bermain di sekolah, pergerakan Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, Kota Bharu agak terbatas dek kerana penyakit Epidermolysis Bullosa atau kulit rapuh yang dihidapinya. Kanak-kanak ini perlu berhati-hati dengan setiap pergerakan yang dibuat, dia tidak boleh jatuh mahupun terluka kerana itu akan memudaratkan lagi penyakit yang dialami sejak bayi lagi.
Derita Penyakit Sejak Lahir
Menurut Ruziah Ismail, 38, ibu kepada Muhammad Alif, penyakit kulit rapuh itu dihidapi oleh anaknya sejak bayi lagi. Ketika dilahirkan, Alif kelihatan sama seperti bayi lain yang normal. Namun, apabila berusia dua hari, kulitnya menunjukkan tanda-tanda kemerahan dan gelembung seperti kesan terkena air panas.
Alif ketika masih kecil
“Alif dilahirkan normal seperti bayi-bayi lain. Cuma ketika usianya dua hari dia sudah menunjukkan tanda-tanda penyakit kulit yang teruk. Kulitnya akan kemerah-merahan dan timbul gelembung air seperti kesan terkena air panas. Saya memang tak tahu apa-apa dan terus membawa anak ke klinik kesihatan berhampiran. Saya ingatkan ia penyakit kulit biasa sahaja, tapi lama-kelamaan ia semakin merebak dan teruk.
“Saya diminta meirujuk kepada Hospital Besar Kota Bharu. Rupanya Alif menghidapi penyakit kulit rapuh dan menurut doktor penyakit ini berpunca daripada faktor genetik atau keturunan,” ujarnya tentang penyakit yang dihidapi Alif.
Kini, Alif sudah pun berusia lapan tahun dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak seusia dengan dia tetapi dengan penyakit yang dihidapinya itu turut memberi kesan kepada tumbesaran dan perkembangan anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Penyakit kulit rapuh yang dialami oleh Alif masih tiada penawar
“Selepas mengetahui penyakit Alif, hospital memang kerap kami lawati. Alif memang memerlukan penjagaan rapi, kulitnya sangat sensitif. Walaupun hanya jatuh sedikit, ia akan memudaratkan kesihatan anak saya. Masih lagi saya ingat ketika dia mula-mula belajar berjalan, kerap sangat terjatuh. Setiap kali terjatuh kulitnya akan terkoyak dan merebak ke tempat lain. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, apa yang saya boleh buat hanya memantau dia sebaik mungkin untuk tidak terjatuh atau terluka kerana itu akan membuatkan dia lebih sakit.
“Sehingga kini setiap dua bulan Alif akan dibawa ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan rapi. Bukan sahaja berjumpa dengan pakar kulit, malah Alif turut dirujuk kepada pakar Peadiatrik, pakar mata, klinik gigi dan beberapa lagi. Apa yang saya lihat dengan penyakit yang dihidapi oleh Alif turut memberi kesan kepada tumbesarannya juga. Alif memang lebih kecil berbanding rakan-rakan seusianya yang lain, malah dia turut menghadapi masalah dengan beberapa bahagian badan yang lain termasuk gigi dan mata. Pendek kata keadaan yang dialami oleh Alif sedikit sebanyak menyebabkan tumbesarannya turut terbantut,” ujarnya penuh sebak.
Belum Ada Ubat Sesuai
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu mana yang tegar melihat anak yang masih kecil menahan kesakitan setiap kali luka-lukanya dibersihkan dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Rutin ini penting buat Alif untuk memastikan luka yang ada tidak semakin teruk dan merebak ke bahagian lain.
“Setiap kali nak buat dressing atau bersihkan luka di badan dan tangan, Alif pasti menangis. Memang masa tu Allah sahaja yang tahu sedihnya perasaan saya. Tapi saya perlu reda dan kuat untuk Alif,” katanya dengan nada sedih.
Menurut doktor tiada ubat khusus dapat menyembuhkan penyakit kulit rapuh seperti yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah Ruziah dan suami mencuba rawatan alternatif, tetapi semua itu tidak menunjukkan kesan yang positif. Malah ada antara ubat yang diambil memburukkan lagi keadaan kulit Alif.
“Sehingga kini memang tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah saya dan suami mencuba rawatan lain selain ke hospital tapi tiada yang berkesan untuk Alif. Rawatan Islam, suplemen, produk-produk yang disarankan memang sudah banyak kami cuba. Mungkin masih tiada yang serasi untuk Alif. Ada satu ketika kami beri dia makan produk yang disarankan oleh kenalan, tapi lukanya semakin teruk, lalu kami berhenti dan sejak itu memang kami serik untuk mencuba produk atau ubat melainkan hanya atas saranan doktor,” tambahnya yang sanggup lakukan apa sahaja untuk anak.
Setelah hampir lapan tahun menghidapi penyakit kulit rapuh ini, keadaan Alif masih lagi sama. Malah menurut Ruziah, semenjak dua tahun yang lalu, keadaan itu semakin teruk apabila jari tangan dan kaki anaknya itu melekat antara satu sama lain. Justeru kaki dan tangan Alif serta bahagian badan yang teruk terpaksa dibalut setiap hari bagi mengelak lukanya bertambah teruk.
Kuat Semangat
Meskipun diri tidak seperti kanak-kanak lain, semangat Alif tetap tinggi. Menurut Ruziah setiap pagi ketika dikejutkan untuk ke sekolah, jika tidak sakit Alif sangat bersemangat dan seronok untuk ke sekolah.
“Pergerakan Alif di sekolah terhad, dia tidak dibenarkan bermain dengan rakan-rakan kerana keadaannya itu. Dia tidak menyertai perhimpunan serta tidak makan di kantin sekolah. Setiap kali waktu rehat saya akan bawa makanan ke sekolah dan anak saya ini juga perlu memakai lampin pakai buang kerana sukar untuk membersihkan diri berikutan jarinya yang sudah melekat. Memang setiap kali anak saya membuang air besar, pihak sekolah akan memaklumkan kepada saya untuk hadir ke sekolah menukar lampin pakai buangnya.”
Tambah Ruziah lagi, rakan-rakan Alif tidak pernah membezakan anaknya itu. Malah mereka sayang dengan Alif dan sering datang bermain bersama di kelas kerana Alif hanya duduk di dalam kelas sahaja.
“Saya hantar dia ke sekolah supaya dia boleh belajar bersama rakan-rakan di samping dapat belajar berdikari. Saya tak selamanya ada dengan dia, jadi saya perlu persiapkan dia dengan ilmu pelajaran dan yang lain-lain. Syukur guru-guru dan pelajar lain faham dengan keadaan Alif, jadi saya tak bimbang tentang Alif apabila dia berada di sekolah,” katanya lagi.
Alif dan keluarga
Kos Tinggi
Bagi memastikan luka-luka yang ada di badan Alif sentiasa dijaga dan tidak merebak atau bertambah teruk, Ruziah membutuhkan kos peralatan luka yang agak tinggi. Setiap bulan RM2,000 ringgit diperlukan untuknya bagi menampung kos tersebut.
“Setiap bulan kos untuk peralatan luka Alif mencecah RM2,000. Jumlah tersebut memang agak tinggi buat keluarga kami memandangkan suami yang hanya bekerja sebagai buruh. Saya pula tidak mampu bekerja kerana Alif memerlukan perhatian yang lebih dari saya. Tapi saya bersyukur memang sentiasa ada rezeki untuk Alif, malah saya turut menerima bantuan daripada pihak berwajib.
“Saya reda dengan semua ini, tapi ibu manalah yang tak sedih melihat anak membesar dengan penyakit sedemikian. Harapan saya agar semua dapat mendoakan Alif untuk sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa, Insya Allah,” ujarnya penuh harapan.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga Muhammad Alif Firdaus bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7611159603, Ruziah Ismail.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Percaya tak dengan satu panggilan yang baik-baik untuk anak kecil, mak ayah akan rasa bahagia dengan kesan panggilan baik lagi manis itu kelak. Inilah bak kata Khairul Hakimin Muhammad, Bapa Viral Kebangsaan yang sedang mendalami pembacaan buku keibu bapaan, ‘Propethic Parenting For Girls’.
Betapa hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Lalu, dia mencuba mengubah panggilan untuk anak perempuannya, Ain kepada SAYANG. Setiap hari dia memanggil Ain dengan panggilan itu. Selepas sebulan, kesayangannya itu menyedarkannya tentang sesuatu.
Suatu hal yang selama ini tak disedari kerana kesibukannya bekerja. Dan inilah yang membuatnya terpanggil untuk berkongsi dengan para followernya.
Tukar Reward Anak Dengan Panggilan SAYANG
“Sebabkan saya lebih sibuk berbanding orang rumah, anak saya memang banyak melekat dengan mama dia.”
“Nak tidur, nak susu, nak makan, nak tanya tentang kerja mewarna, mengeja dan belajar, semua dengan mama dia. Semua.”
“Saya hanya dapat momen ‘reward’ seperti ajak pergi kedai, pergi taman dan berjalan bersama. Itu pun jika beliau ada mood.”
Baru-baru ini saya terbaca tentang menukar panggilan nama anak-anak kepada perkataan yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.
Jadi dalam sebulan ini saya cubalah tukar dari panggil ‘Ain kepada sayang.
Setiap kali dia panggil “abah,” saya jawab “ya sayang.”
Dan ianya berlarutan hingga ke hari ini.
Abah Selalu Tak Ada, Tapi Selalu Cakap SAYANG
Kelmarin, hari lahir beliau. Saya sengaja cakap “‘Ain sayang, ciumlah pipi abah, kan hari ini birthday ‘Ain.”
Lalu dia cakap “‘Abah, ‘Ain baru tahu abah sayang ‘Ain.”
Saya pun pandang muka dia. Dia tersengih-sengih. Budak kecil yang baru masuk 6 tahun ini masih dengan lagak kanak-kanak yang comel.
“Aik, memang abah sayang ‘Ain, ‘Ain kan anak abah.” Saya jawab lagi.
“Itulah. Abah kan sibuk, selalu tak ada. Tapi abah selalu cakap sayang, sayang, ‘Ain jadi rindu dekat abah.”
Saya terdiam. Lalu dia datang ke pipi saya dan cium. Saya membalas dengan ciuman yang sama di pipinya.
Hebatnya Kuasa Memanggil Di Hati Seseorang
Sehingga hari ini saya terfikir hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Patutlah dalam agama kita pun, memanggil (atau panggilan) mesti (atau wajib) datang dalam bentuk kebaikan atau kesenangan kepada yang dipanggil. Tak boleh sebarang.
Kesannya mendalam. Memberi titik istimewa yang berbekas dalam sebuah hubungan. Lebih lagi ianya dalam bentuk keluarga.
Saya habiskan membaca ‘Propethic Parenting For Girls’ dengan gembira. Sesungguhnya, nak melawan rasa bersalah terhadap ketidakmampuan kepada sesuatu adalah dengan ilmu.
Kadang-kadang, sebab saya terlalu sibuk, saya pulang ke rumah kemudian meluahkan dengan melihat anak tidur. Esoknya beliau bangun, kami bersalam, itu sahaja. Hari ini saya bersyukur dapat belajar sesuatu tentang cara memanggil.
Sungguh, pada zaman ibu ayah kita dahulu, panggilan manja dalam bentuk kasih sayang ini sudah terbiasa. Kita sahaja yang tidak mahu sambung-sambungkan kerana canggihnya nama anak-anak.
Dan paling saya teruja ialah ada beza mendidik yang lelaki dengan perempuan. Supaya kasih sayang yang terluah kepada mereka itu menjadikan mereka ini jejaka dan juga wanita hebat di luar sana.
Kawan-kawan,
Keluarga ini anugerah. Tak dapat kita nak beli di mana-mana pasar atau kedai. Ianya pemberian dari Tuhan. Jaga, simpan, pelihara, didik dan asuh supaya ia kekal jadi hadiah yang diberi baik-baik kepada kita.
Begitulah.
Semoga selepas ini mak ayah akan memanggil anak-anak dengan panggilan yang baik-baik. ‘Sayang’, ‘comel’ ‘manja’.. Ini antara contoh. Selebihnya, terpulang pada mak ayah mahu pilih panggilan yang mana.
Dua beranak yang menjadi mangsa kes bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru disahkan maut akibat luka parah di leher ditetak senjata tajam jenis pisau pemotong daging. Polis masih menyiasat motif kejadian tragis ini.