
Hukuman 14 tahun penjara yang dikenakan terhadap Rosmaini Abd Raof hari ini oleh Hakim Mahkamah Rayuan atas kesalahan membelasah bekas isteri, Jahidah Nordin lima tahun lalu tidak setimpal dengan dosa dan kekejaman dilakukan.
Kak Jahidah Menjadi “Pengantara” Kepada Semua Wanita Dianiaya Rosmaini
Inilah yang diluahkan oleh Fauziah Nordin yang sejak lima tahun lalu menjaga kakaknya, Jahidah yang terlantar koma akibat pecah tempurung kepala akibat dipukul suami sendiri (ketika itu). Dan lebih menyayat hati, doktor turut menyerahkan sebahagian tempurung kepala kakaknya untuk ditanam kerana sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Menulis penuh ringkas di media sosialnya tapi cukup memahami isi hatinya yang penuh marah kerana kecacatan perlu ditanggung seumur hidup oleh kakaknya, kata Fauziah, hukuman 14 tahun itu tidak setimpal sama sekali.
“Bertambah ke 14 tahun dan bayar ganti rugi 25k. Ada duit ke bayar..? Hukuman ni pun tak setimpal sangat dengan keadaan kakak aku yang seumur hidup cacat koma ye. Mereputlah kau dalam tu…” kata Fauziah Nordin, 45 tahun yang memikul tanggungjawab menjaga kakak serta anak buahnya, Eshan Nufail, 5 tahun yang berstatus OKU.
Dalam pada itu, Fauziah turut mengucapkan syukur di mana menurutnya walaupun hukuman berkenaan tidak mampu mengembalikan kehidupan normal kakaknya, dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.
“Saya gembira, sedih, semuanya bercampur baur dalam hati ini apabila tahu keputusan hukuman ke atas lelaki itu. Waktu baca berita itu, saya menangis, sebak.
Dia berkata, ketika membaca berita itu, dia sedang berada di dalam kereta dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Saya segera pulang dan terus dapatkan kakak. Walaupun dia tidak beri respon, tetapi saya beritahu dia mengenai hukuman yang dihadapi bekas suaminya. Saya nampak perubahan pada mukanya, kakak nampak lega, tenang dan secara tiba-tiba air matanya menitik. Saya juga tidak dapat menahan perasaan,” katanya.
Jika ibu-ibu lain dapat memeluk dan menjaga anak kandung dengan tangan mereka namun kerana kezaliman Rosmaini Abd Raof sehingga ke hari ini Jahidah sekali pun belum dapat memeluk darah dagingnya sendiri.
Dalam pada itu, di status seorang lagi adik beradik Jahidah Nordin iaitu Fazariah Nordin, dirinya turut meluah rasa benci malah mengikuti kes perbicaraan ini dengan rapat. Selepas mengetahui lelaki durjana itu dijatuhi hukuman penjara dari 10 tahun dinaikkan ke 14 tahun serta diperintah membayar RM25,000 terhadap keluarga Jahidah, Fazariah mencoret coretan penuh makna ini.
“Mungkin ini adalah doa-doa orang-orang yang teraniaya disebabkan jantan durjana. Berapa ramai wanita-wanita dah jadi mangsa dia sampai trauma seumur hidup? Berapa ramai anak-anak yang jadi mangsa? Anak-anak yang hanya berbinkan nama dia saja tapi sama juga umpama tiada bapa. Tidak mendapat kasih sayang dan didikan yang sewajarnya..
Hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan dibuat oleh peguam mewakili Rosmaini Abd Raof terhadap sabitan dan mahu mengenetepikan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah dan dianggotai Datuk Noorin Badaruddin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak RM25,000 (penjara enam bulan jika gagal bayar).Mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa hari ini.