
Isi Kandungan
ToggleBagi mak-mak pastinya risau bila anak ada batuk, selsema mahupun berkahak.Selain menggunakan perubatan moden, sebenarnya mak-mak juga boleh cuba petua tradisional semula jadi untuk atasi penyakit ini, iaitu dengan menggunakan Minyak Bawang Putih.
Bergelar ibu muda, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 35,tidak terkecuali mencuba petua tradisional ini bagi merawat batuk, selsema dan kahak yang dihidapi anaknya, Ungku Arsalan Haq Ungku Hariz Faizal, 4 bulan yang juga digelar sebagai ‘babyninja’.
Menurut pengacara Gegar Vaganza ini, rawatan petua tradisional ini khusus untuk bayi, diperolehi daripada kawan-kawannya dan dikongsikan didalam laman instagramnya baru-baru ini.Jihan turut berkongi cara serta kaedah rawatan yang dilakukan untuk anaknya.
Berikut antara perkongsian oleh Jihan;
Untuk bayi sahaja. Sebab saya dah jadi mak jadi hidup saya lebih teruja bincang pasal anak. So hari ini dapat ilmu baru dari kawan-kawan.
Petua hilang batuk, selsema, kahak.
Kaedahnya :
Bakar 2 ulas bawang putih. Campur 2 sudu minyak zaitun. Ganyang bawang putih sehingga sebati. Selepas itu sapu dekat dada, belakang badan dan tapak kaki bayi. Boleh simpan 2 hingga 3hari.
Kongsi apa petua & cara korang pula. Mungkin boleh cuba dan lebih mujarab. Lain orang lain caranya. Kita bawak berbincang, kongsi pengalaman & ilmu memasing.
Terdahulu, Jihan mendirikan rumahtangga dengan pelakon Ungku Hariz Faizal, 32, pada 20 Mac 2016 dan pasangan selebriti ini menimang cahaya mata lelaki pertama pada 25 Januari lalu.
Jadi buat mak-mak yang anak mengalami masalah batuk, selsema dan berkahak bolehlah cuba petua tradisional yang diamalkan oleh Jihan ini buat anaknya. Semoga bayi cepat sembuh dan sihat seperti sedia kala.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Jihan Muse
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenapa Ayah Kena Usahakan, Jadi Yang Pertama Dalam Carta Hati Anak Perempuan..

Isi Kandungan
ToggleAda sebab kenapa seorang ayah itu kena ada dalam hati seorang anak perempuan. Bukan saja-saja meminta, atau mengada. Sebab alasan ini kuat untuk menjauhkan anak perempuan dari sebarang musibah kekusutan jiwa remaja hari ini.
Cikgu Hussayn, Guru Bimbingan & Kaunseling ini berkongsi pandangan sebab utama yang ayah perlu ambil kira. Mengapa penting meletakkan diri ‘seorang ayah’ itu dalam hati anak perempuan.
Ayah Kena Jadi Carta Pertama Di Hati Anak Perempuan
“A son is a son until he got married, but a daughter is a daughter for all your life.”
Begitulah bunyi kata-kata yang diberikan oleh seorang yang saya hormati. Ia sangat menyentuh hati saya sebagai ayah kepada 4 orang anak perempuan.
Inilah yang pernah Cikgu Hussayn kongsikan dalam ceramahnya kepada ibu bapa di sekolah. Terutama perihal anak perempuan.
1. Ayah-ayah, ketahuilah melalui pemerhatian dan pengalaman saya bersama mereka. Saya dapati anak perempuan (remaja) ini, sekiranya dalam diri mereka tiada seorang lelaki bernama AYAH. Maka akan ada seorang lelaki dalam hidupnya bernama KEKASIH.
2. Daripada pemerhatian beliau. Anak perempuan yang kurang rapat dengan ayahnya pada waktu kecil. Pasti akan lebih mudah jatuh cinta dengan lelaki lain apabila berganjak usia remaja.
Ada yang dalam pengetahuan saya, mereka sudah bermain cinta ketika di bangku sekolah rendah lagi.
3. Berbeza dengan anak yang rapat dengan ayahnya waktu kecil. Mereka lebih terjaga dan terpelihara sampai dewasa.
Sebab Itu..
Sebagai seorang ayah, saya berusaha menjadi seorang PUTERA di mana puteri-puteri saya. Marilah ayah-ayah lakukan perkara yang sama.
Jangan biarkan ada lelaki lain merampas kasih sayang dan berhatian mereka daripada kita sebelum waktunya. Ini kerana merekalah anugerah terindah yang Allah SWT berikan kepada kita.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Diharapkan akan ada lebih ramai ayah yang mampu berada dalam carta hati anaknya sebagai seorang lelaki yang disayangi dan disanjungi.
Bukan menjadi lelaki yang dibenci dan dimusuhi anak perempuan.
Semoga anak-anak perempuan kita terpelihara dari sebarang musibah dan akhirnya kita dapat bertemu pula mereka di Syurga apabila mata terpejam rapat buat selamanya.
Rasulullah SAW bersabda :
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke Syurga.” [HR Al-Bukhari].”
Air Mata Seorang Ayah
Allahu.. mengalir juga airmata seorang ayah hari ini. Apapun syukur dapat abadikan memori bersama anakanda tercinta. Moga dia berjaya mencapai cita-citanya.
“Pergilah nak! Terbanglah setinggi yang kau mampu. Selagi terdaya abi akan pastikan dirimu tidak jatuh tersungkur dibumi. Abi yakin dirimu mampu terbang jauh lebih tinggi daripada abi.
“Sekiranya lelah, turunlah kemari pada abi disini. Abi menerima dirimu seadanya kerana dirimu adalah anugerah Ilahi yang begitu bermakna. Ketahuilah abi begitu menyayangi akan dirimu.” Iloveu!
Sumber/Foto : Cikgu Hussayn
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Walau Penat Balik Kerja, Mak Ayah Tolong Dengar Apa Anak-Anak Nak Cakap

Isi Kandungan
TogglePernahkah anda berada dalam situasi ini. Pulang dari kerja, terkejar-kejar nak memasak hidangan makan malam. Bila anak-anak nak bercakap dan berkongsi sesuatu, akan diabaikan saja. Lagi teruk jika anak itu dimarahi kerana menganggu fokus anda yang tak menang tangan nak buat itu dan ini. Tanpa sedar, ia memberi kesan tidak elok untuk perkembangan diri anak-anak. Ayuh hayati perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia yang juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari, tidak dapat dinafikan kita letih dan amat penat. Keberadaan kita di rumah terkadang hanya tinggal jasad yang longlai dan tidak ada tenaga. Sedangkan pada ketika itulah anak-anak ingin mendapatkan perhatian kita bagi mengubat rindu setelah seharian tidak bertemu. Suara manja mereka sentiasa kedengaran inginkan perhatian, pelbagai persoalan yang diajukan, pelbagai cerita ingin diberitahu.
Begitulah hakikat kehidupan yang kita jalani sehari-harian. Hanya pada Allah tempat mengadu kelelahan dan tempat memohon bantuan. Ya benar, sememangnya kita keletihan namun, usah lupa ada Allah bersama kita yang mampu meringankan bebanan yang kita tanggung. Justeru, bermunajatlah dan mengadulah segala kesukaran itu kepada-Nya yang Maha mendengar. Usah dilemparkan rasa letih dan penat itu kepada anak-anak yang tidak bersalah pasti kita lebih sakit melihatnya menangis kesayuan akibat herdikan kasar ibu yang dinanti sedari pagi. Pasti itu memeritkan.
Tulus
Usah kita lupa bahawa anak-anak kita memiliki hati yang tulus. Kasih sayangnya juga tulus tiada berselindung. Panggillah dia dengan namanya dengan penuh kasih sayang pasti itu amat menggembirakannya. Hadiahkan dia sekuntum senyuman yang manis walaupun kita sudah tidak berdaya untuk memberikan respons kepada ceritanya yang panjang. Ketahuilah juga anak-anak kita amat memahami. Dia juga tidak mahu kita kelelahan cuma berikan dia sedikit masa untuk memberitahu kita tentang perkara itu.
Ayah dan ibu yang dihormati, respons bukan sekadar dengan perkataan, boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan dan senyuman. Malah respons seperti ini memiliki auranya yang tersendiri. Apabila anak memanggil kita, jawablah panggilannya dan jika dia sedang memandang kita angguk dan senyumlah kepadanya. Ini menunjukkan kita amat mengalu-alukan dirinya.
Dalam banyak hal, kita harus terlebih dahulu membuat komitmen untuk tampil sebagai contoh kepada anak. Jika kita gagal menjawab panggilan anak dengan baik, maka contoh tersebut yang kita tunjukkan kepada mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka juga menggunakan cara yang kasar atau lambat menyahut sapaan dan panggilan kita.
Jadi Contoh
Tambahan pula di zaman ledakan teknologi. Di mana aktiviti di dalam telefon bimbit tidak pernah berhenti. Ada sahaja mesej yang masuk, ada sahaja kerja baru yang sedang menanti. Ketika ini lebih lagi kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Dengan apa yang kita praktikkan, pastikan anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan teknologi dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana mereka adalah generasi high-techonology. Jika tidak diberikan panduan sudah tentu mereka akan hanyut di dalam arus derasnya yang deras.
Dalam pada itu, mereka masih lagi sedang belajar untuk membina perisai diri dengan agama. Maka bantulah mereka dengan menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Agar mereka dapat menyeimbangkannya dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Ayah dan ibu sekalian, bagi meneguhkan hal itu, kita harus berperanan sebagai pemandu arah dengan menggunakan sentuhan insaniah yang baik bagi menyentuh rohani mereka. Antaranya ialah dengan mengusik emosi mereka dan merantai sanubari mereka dengan agama. Mereka harus didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diutamakan sebagai umat Islam. Maka keperluan emosi mereka harus disantuni dengan baik. Mereka perlu rasa diri mereka disayangi dan dihargai kemudian, insya-Allah pendidikan dan nasihat kita mudah untuk menyelinap di dalam hati.
Akhirnya, sebagai orang kepercayaan dan kesayangan mereka, penuhilah impian mereka untuk berbual mesra, bergelak ketawa dan bergurau senda sementara kita diberikan peluang dan ruang itu. Ketepikanlah sebentar keletihan kerana apa yang sedang kita lakukan dalam menyantuni mereka hakikatnya ada Rahmat dan Kasih sayang Allah di dalamnya. Jadi, jawablah panggilannya dengan baik dan penuh kasih sayang, insya-Allah kita juga bakal menerima keadaan yang sama di waktu kita memerlukannya kelak. Wallahualam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Semua Harapkan Isteri, Suami Belajarlah Uruskan Anak Kecil Sendiri

Isi Kandungan
ToggleTidak dinafikan terdapat sebahagian para suami yang terlalu bergantung dan harapkan isteri dalam menguruskan anak-anak. Dari anak-anak yang masih kecil hinggalah besar dengan alasan ‘tak pandai menguruskan mereka’. Perkara sebegini, suami memang perlu belajar sejak anak masih bayi lagi.
Mula-mula memang takut, kekok dan tak biasa, tapi lama kelamaan ia akan menjadi rutin dan terbiasa menguruskan anak-anak.Bukan apa, dalam situasi kecemasan seperti isteri sakit, perlu bertugas luar kawasan mahupun meninggal secara tiba-tiba, tidaklah suami mati akal dan buntu untuk menguruskan anak-anak.
Jemput baca dan hadam perkongsian daripada Dr Asmi Syabil ini;
SUAMI KIRIMAN TUHAN
“Puan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut”, ujarku kepadanya.
“Boleh saya berbincang dengan suami saya dahulu tak doktor? sebabnya saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga dirumah”,pintanya kepadaku.
“Tiada masalah puan.Sekejap ye saya panggilkan suami puan”, beritahuku kepadanya.
Dia merenung ke lantai.Wajahnya kelihatan sugul.Mungkin risau memikirkan jika dia dimasukkan ke wad,siapa yang ingin menjaga anak-anaknya yang masih kecil? Ditambah pula dengan anak yang masih menyusu.
Dia baru sahaja mengungkapkan keresahannya itu kepadaku jika dia ditahan di wad.Anaknya empat orang semuanya dan yang paling kecil baru berusia 9 bulan.
“Jika dimasukkan ke wad,selama berapa hari doktor?”
“Itu belum pasti lagi untuk berapa lama puan,bergantung kepada keadaan puan sendiri dan juga doctor yang akan merawat puan di dalam wad”, jawapan yang biasa aku berikan kerana setiap pesakit itu berbeza-beza.
Aku pasti,jawapanku itu tambah meresahkan jiwanya.Sudahlah perlu dimasukkan ke wad, untuk berapa lama itu juga masih belum pasti. Adakah hanya sehari dua? ataupun seminggu?atau mungkin lebih lama.
Pesakit dihadapanku ini pada mulanya dimasukkan ke Zon Merah kerana tekanan darahnya rendah dan nadinya sedikit laju (tachycardic) disebabkan dehidrasi.Selepas resusitasi (fluid resuscitation) dijalankan,pesakit menunjukkan respon yang positif dan kembali stabil.Disebabkan kapasiti Zon Merah agak terhad,lalu pesakit di-triage ke Zon Kuning untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.
“Berdasarkan symptom-simptom dan keputusan darah yang ada,isteri encik mungkin menghidap demam Denggi dan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut kerana dia sudah menunjukkan tanda-tanda bahaya denggi seperti muntah-muntah dan cirit birit”
“Selain dari itu,darahnya juga pekat berdasarkan FBC yang diambil dan juga platelet,iaitu sel pembekuan darah juga sangat rendah yang mana boleh menyebabkan pendarahan spontan berlaku secara tiba-tiba.Dalam kata mudah,dia dalam fasa kritikal demam denggi sekarang dimana keadaan pesakit boleh merosot dengan sangat drastic”,ujarku kepada lelaki dihadapanku menerangkan keadaan isterinya.
“Keputusan darah juga menunjukkan fungsi hati turut terjejas dan perlu kepada pengambilan darah secara bersiri untuk monitor keadaan dia”, tambahku panjang lebar.
Minta Discaj Atas Risiko Sendiri
Dia hanya mendengar dengan tekun.Selepas beberapa ketika dan juga perbincangan dengan isteri,dia memandangku,
“Doktor,boleh tak kalau kami nak minta discaj atas risiko sendiri?”
“Boleh saya tahu sebab mengapa puan tidak mahu dimasukkan ke wad?”, tanyaku inginkan kepastian daripada pesakit memandangkan segala risiko sudah diterangkan termasuk kematian.
Demam denggi bukan boleh dibuat main-main.Tanya sahaja kepada pegawai perubatan yang pernah dipanggil menghadiri Mortality Meeting apabila ada pesakit denggi meninggal dunia,boleh murung dibuatnya.
Wanita 30-an dihadapanku ini hanya mendiamkan diri.Matanya hanya tertacap pada permukaan lantai.Enggan bersuara dan hanya membiarkan si suami yang berkata-kata.
“Kami masih ada anak kecil doktor,kalau dia masuk wad,siapa yang nak jaga anak-anak?”, balas suami.
“Encik kan ada.Keadaan isteri encik sangat merbahaya jika dibenarkan pulang sekarang.Boleh merisikokan nyawa”, tegasku.
Si suami tetap berkeras mahu isterinya dibenarkan pulang.
Alasannya:
“Saya tidak pandai nak urus budak kecil, susahlah saya nanti doktor”
Allahu,aku mengucap panjang di dalam hati.
Isterinya hanya menunduk dan mendiamkan diri.Entah apa perasaannya sekarang tidak dapat aku bayangkan.Dihidap demam denggi yang mungkin boleh meragut nyawa,tetapi suami mahu berkeras untuk membawanya pulang, atas alasan sukar untuk menguruskan anak-anak.
Suami Tak Pandai Uruskan Anak Kecil
Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi sebegini dimana masalah akan timbul apabila si isteri perlu dimasukkan ke wad dan si suami pula sukar membenarkan atas alasan tidak pandai mengurus anak-anak.
Sama juga keadaannya apabila salah seorang anak perlu dimasukkan ke wad atas sebab-sebab tertentu tetapi si ayah tidak membenarkan atas alasan susah untuk menguruskan anak-anak yang lain kerana si ibu sudah pasti akan menemani dan menjaga anaknya yang sakit itu di hospital.
Tanyalah kepada mereka yang bekerja di dalam sektor kesihatan, acapkali berlaku situasi sebegini.Ini hanya satu sahaja kisah daripada beribu kisah yang hampir sama cuma dilakonkan watak yang berbeza.
Susah sangatkah untuk para suami di luar sana untuk belajar menguruskan anak-anak?
Atau semenjak dilahirkan sampai merangkak kemudiannya berjalan hanya sang isteri yang bertekah memandikan anak?
Hanya isteri yang menjirus dan menukarkan lampin anak setiap kali?
Hanya isteri sahaja yang tahu menyediakan makan minum anak-anak?
Hanya isteri sahaja yang tahu sukatan membancuh susu anak?
Sampai tahap nyawa isteri menjadi taruhan pun persoalan begini yang bermain di fikiran?
Ini tidak termasuk lagi bagi kes-kes isteri menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi hati,buah pinggan,kanser dan sebagainya, bukan kata nak menguruskan anak,siap ada yang bermain kayu tiga pula dibelakang isteri.
Na’uzubillah.
Bayangkan jika jawapan suami kepada isteri sebegini:
“Tak apa sayang,jika itu yang terbaik,masuk sahaja kedalam wad.Anak-anak jangan risau,pandailah nanti abang uruskan,bukannya abang tak biasa”
Sudah semestinya perit sakit yang ditanggung secara fizikal akan terasa ringan,apatah lagi beban emosi,pastinya rasa bahagia mendakap jiwa.
Ingatlah wahai para suami,melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan KESIHATAN juga tanggungjawab kita.
Belajarlah bagaimana menguruskan anak kecil sedari bayi yang baru lahir.
Ya,memang pada awal akan ada yang berasa takut,tetapi selepas kerapkali dilakukan,ia akan menjadi rutin yang kita sudah terbiasa dengannya.
– Seawal mendukung si kecil kali pertama dan mendendangkan azan di telinganya
– Belajar menguruskan dan menanam uri
– Usah takut memandikan anak yang baru lahir
– Belajar mencukur rambut anak jika ingin lakukan sendiri
– Belajar bagaimana menukarkan lampin
– Belajar memahami tabiat tidur dan penyusuan anak terutamanya 6 bulan pertama,yang mana seringkali menjadikan ibu bapa stress kerana anak kerap kali menangis di tengah malam dan sebagainya.
– Bangunlah di tengah malam untuk membancuh susu atau menukarkan lampin anak.
– Dan banyak lagi yang perlu dipelajari ,tidak termasuk lagi mengemas rumah,memasak,membasuh kain dan sebagainya.
Ini hanyalah secebis contoh daripada apa yang boleh kita lakukan,sekurang-kurangnya apabila isteri kita tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut di hospital,atau pergi berkursus bagi yang bekerjaya,atau apa-apa jua situasi, tiada lagi persoalan :
“Siapa mahu uruskan anak-anak”
Barulah kita boleh digelar Suami Kiriman Tuhan.
Semoga bertambah sakinah dan mawaddah apabila suami isteri bergandingan dan berpimpinan tangan menguruskan rumahtangga bersama-sama.
Tidak hina seorang suami menguruskan anak dan melakukan kerja-kerja rumah, bahkan lebih mulia dan selari dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.
Asmi Syabil
Coretan hujung minggu.
Suami dan bapa yang masih bertatih.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, tak salah suami turut membantu dan ambil peduli menguruskan anak-anak dan rumahtangga dengan tidak terlalu mengharapkan pihak isteri sahaja. Sekurang-kurangnya apabila isteri tiada disisi, suami tahu bagaimana menghadapinya.
Sumber: Asmi Syabil
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI