Jenazah Syamsul Haris Selamat Dikebumikan Semula Selepas Bedah Siasat Kedua. Jenazah Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah selamat disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih pada jam 6.30 petang, Sabtu.
Proses itu berlangsung sebaik sahaja selesai prosedur bedah siasat kedua yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bedah siasat yang bermula pada pagi Sabtu itu mengambil masa hampir tujuh jam dan berakhir sekitar jam 4 petang. Seusai proses tersebut, jenazah Allahyarham dibawa keluar dengan kawalan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diiringi untuk urusan pengebumian.
Suasana di tanah perkuburan menyaksikan ahli keluarga serta rakan terdekat Allahyarham setia menunggu di luar kawasan sehingga pengebumian selesai dijalankan.
Terdahulu, pada Jumaat, kubur Allahyarham digali semula kira-kira jam 8.15 pagi berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang meluluskan permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun. Permohonan itu dibuat bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dilaksanakan.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet dalam keputusannya pada 19 Ogos lalu membenarkan permohonan tersebut bagi membuka jalan kepada pelaksanaan inkues untuk menyiasat punca kematian anak bongsu Ummu Haiman.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Jasad Syamsul Haris Masih Utuh, Ibu Mahu Lihat Proses Bedah Siasat
Kes Syamsul Haris: Bedah Siasat Kedua Kesan Kecederaan Mencurigakan-Peguam Keluarga
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE