Mendapat perkhabaran bahawa dirinya berbadan dua buat kali ketujuh membuatkan dia rasa cukup teruja, gembira dan bahagia kerana dapat merasai nikmat mengandung dan pertambahan ahli keluarga baru. Malah sepanjang perjalanan kehamilan Sity Warhana Sa’yan kelihatan normal dengan tiada komplikasi berat yang melanda. Keterujaan bakal menimang cahaya mata jelas terpancar pada pasangan ini, namun berita yang diterima ketika usia kandungan 36 minggu ternyata membuatkan pasangan ini sedikit gusar.
“Sepanjang hamilkan Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan Jannah dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat bayi dalam kandungan saya dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg. Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Saya mula rasa bimbang tetapi tetap yakin bahawa bayi yang saya kandung akan sihat,”ujar ibu kepada 7 cahaya mata ini.
Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan kelainan kromosom trisomi 18 atau turut dikenali sebagai Sindrom Edward. Sesungguhnya keajaiban itu kuasa Maha Pencipta, nyawa si kecil yang diberi nama Sity Nur Jannah yang sudah berusia setahun lebih masih lagi utuh hingga ke detik sekarang. Meskipun doktor pernah meramalkan hayat Jannah tidak lama namun benarlah ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa.
“Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, saya terpaksa lahirkan bayi yang dikandung dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan bayi yang berlaku setiap minggu. Syukur, mudah saya lahirkan Jannah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama.
“Bayi yang saya lahirkan terlihat sempurna, panjang dan lilit kepala bayi saya normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus bayi saya dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.”
Rawatan pakar
Ads
Melihat kepada keadaan kesihatan bayi yang semakin merosot, doktor menyarankan Jannah di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan pakar. Seakan lupa diri masih berpantang, demi bayi yang baru dilahirkan Sity Warhana dan suami membawa anak kecilnya untuk mendapatkan rawatan pakar yang sewajarnya.
“Seorang doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kondisi bayi saya agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga saya terus ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk bayi saya hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
“Syukur, pada hari ketiga Jannah masih lagi bernyawa, doktor cadangkan sampel darah bayi saya diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom Jannah trisomy 18. Menurut doktor hayat anak saya tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, saya dan suami mahu bawa pulang anak kami ke rumah kerana doktor jangkakan dia hanya boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Siapa tak sedih mendengar makluman doktor pada saat itu. Tapi saya dan suami perlu kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Perkembangan terkini Jannah
Ads
Sehingga kini Jannah masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa had umur dari Hospital Kajang di samping turut menjalani rawatan di Kardiologi Pediatrik, ENT Pediatrik, Ortopedik Pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai HUKM sebelum ini.
“Jannah masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau HUKM . Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur Jannah empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mm, Syukur!
Kuatnya si kecil Jannah ditambah dengan usaha dan semangat serta sokongan ibu dan ayah, perkembangan positif yang ditunjukkan Jannah sedikit sebanyak membuatkan hati Sity Warhana dan suaminya lega. Siapa sangka si kecil yang dahulunya dikatakan hanya mampu bertahan selama dua hari, diikuti dua minggu dan seterusnya dua bulan sehingga kini nyawanya masih dikandung badan. Namun menurut Sity Warhana, dia dan keluarga sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
Ads
“Alhamdulillah, Jannah kini semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi yang sebayanya, Jannah banyak tunjukkan perubahan positif. Dia sudah boleh meniarap. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Jannah hanya boleh makan dan minum menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung, kini dia sudah boleh makan dan minum menggunakan sudu atau shrink. Saya dan suami sangat bersyukur melihat perubahan tersebut.
“Ketika Jannah dilahirkan doktor ramalkan dia hanya mampu bertahan selama dua hari, kemudian dua minggu dan seterusnya dua bulan. Saya dan suami sebenarnya sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kepada Jannah suatu hari nanti. Apa yang kami tahu adalah untuk memberikan rawatan yang terbaik untuk anak kami selebihnya kami serahkan pada yang Maha Esa.
“Menjaga anak seperti Jannah memang memerlukan lebih pemerhatian. Jannah tak boleh dibiarkan selesema atau batuk. Bimbang keadaan tersebut akan memburukkan lagi kesihatannya. Jadi saya akan sentiasa pastikan pengudaraan dalam keadaan baik selain memastikan kebersihan dalam rumah. Anak-anak saya yang lain juga memahami keadaan adik mereka yang tidak sihat. Mereka sangat memahami dengan keadaan kami jadi anak-anak yang lain tak banyak bagi masalah buat saya dan suami,” ujarnya lagi.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka sihat dan membesar dengan baik. Sity Warhana dan suami juga tidak terkecuali. Namun dengan ketentuan Ilahi, dugaan yang sedang dialami dihadapi dengan penuh keredaan. Tidak pernah putus harapan dan semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang, setiap ujian yang menimpa dilihat dalam sudut positif oleh pasangan ini.
“Mempunyai anak seperti Jannah buat saya dan suami belajar banyak benda baharu. Sudah semestinya semua ibu dan ayah mahukan anak-anak yang sihat dan membesar dengan baik, tapi untuk Jannah kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi kami tak pernah putus asa dan doa untuk kesihatan anak kami itu. hadirnya dia bukan setakat seorang puteri buat saya dan suami tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga,”akhirinya sayu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai mak ayah tak semua permintaan anak itu harus ditunaikan. Kena tengok masa dan situasinya. Kalau diikutkan, boleh ‘naik lemak’ dan merasakan mak ayah mampu tunaikan.
Siapa yang tak sayang anak, darah daging sendiri. Sudah tentu tak sampai hati bila melihat anak sedih sebab tak ikut permintaan anak, lebih-lebih lagi kalau anak seorang, dialah buah hati pengarang jantung.
Tanpa kita sedar, selalu ikut permintaan anak inilah telah mengajar anak kita tidak merasa kekecewaan. Maklum saja, anak nak itu, mak ayah sanggup bagi. Kalau tak diberi, bimbang menangis dan merajuk.
Sebenarnya, kita sebagai mak ayah jangan terlalu mengikut segala kemahuan anak. Biarlah dia merasa kecewa waktu kecil. Sekurang-kurangnya dia ada pengalaman rasa kecewa.
Menariknya daripada thepickersbundle dalam video tiktok tentang perkongsiannya supaya latih anak rasa kecewa. Ini adalah berdasarkan kepada pengalamannya sendiri.
Situasi:
Si ayah berjanji untuk bawa anak-anak berkelah sambil mandi manda di sana. Memang jelas terbayang keseronokan anak-anak. Keesokkan harinya, janji ditepati. Tapi apa yang menyedihkan, tempat perkelahan itu penuh dengan orang ramai dan tidak sesuai.
Jadi, si ayah mbil keputusan untuk pulang saja. Dalam perjalanan, nampak raut wajah anak yang nak menangis. Tapi si ayah berpesan supaya tidak menangis. Jangan menangis sebab kecewa dan anggap semua ini sebagai pengalaman.
Pengajaran:
Dalam hidup kena ada rasa kecewa. Jangan ingat apa yang anak nak semua dituruti dan dapat. Sebabnya, bila dewasa anak-anak kan teua kekecewaan dalam hidup. Contohnya kecewa dalam percintaan, pekerjaan dan sebagainya.
Bayangkan kalau anak tak dilatih kecewa dari kecil, apa yang dia nak semua dapat. Kesannya bila dewasa nanti.
Latih anak untuk rasa kecewa. Sayang macam mana sekalipun, jangan bagi semua benda yang dia nak. Biarlah dia menangis waktu kecil.
Kalau ikut apa yang dia nak, dia tiada pengalaman kecewa. Jangan ingat, mak ayah tak bagi smasa kecil tanda tidak sayang tapi mengajar kita erti rasa kekecewaan sebab penjalanan hidup masih panjang.
Mingguan Wanita : Siapa tak sayang anak, semuanya bergantung kepada keadaan. Ajar dia rasa susah bukannya beri apa yang dia nak.
Tahniah buat pelakon Sharnaaz Ahmad dan isterinya Noor Nabila Mohd Noor yang baru sahaja menimang cahaya mata pagi tadi.Pelakon utama Cinta Bukan Kristal ini berkongsi berita gembira tersebut, bahawa dirinya kini bergelar ayah pada hari jadinya yang ke-33 menerusi posting terkininya di Instagram.
Dalam perkongsian itu, suami kepada Noor Nabila Mohd Noor,34 itu memuat naik gambar dirinya sedang memangku anak dengan membelakangkan kamera.
Berikut antara perkongsian tersebut;
“Alhamdulillah syukur pada Allah yang maha kuasa.Hari ini pada jam 9.01 pagi, 30/08/2018 lahirlah anak pertama kami @noornabila .. terima kasih kepada rakan rakan dan sahabat semua atas doa dan ingatan..maaf saya tak mampu balas mesej-mesej semua.Alhamdulillah baby sihat dan mommy pon sihat.#BabyJ”
Menerusi perkongsian yang lain, Sharnaaz turut berkongsi gambar pemberian bunga dan kad ucapan Hari Lahir daripada isteri tersayang. Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 ini, meluahkan rasa terima kasih pada isterinya diatas segalanya serta berterima kasih atas ‘hadiah istimewa’ iaitu dirinya menjadi seorang ayah.
“Thank you to my wife my everyting .. and today thank you for ur special gift for me as baba.. I love u always and forever.”
Terdahulu, menerusi majlis Baby Shower yang diadakan sebelum ini, pasangan ini dikhabarkan bakal menimang bayi lelaki.Meskipun belum mengumumkan nama bayi, pasangan ini memberi singkatan #babyJ buat anak mereka.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan ini. Selamat Hari Lahir Sharnaaz, selamat bergelar ayah dan semoga bayi membesar dengan sihat dan sempurna, serta menambahkan rezeki serta kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
Mengejutkan sungguh pendedahan yang dikongsikan guru ini. Tentang sikap segelintir mak ayah yang terlalu terbuka malah berani berkongsi komen ‘cerita dalam kain’ di media sosial.
Aduh! Tak perlu pun dikongsi pengakuan ‘lurus bendul’ kisah intim yang anda dan pasangan telah lalui. Bahaya kot..
Bila mana jurucakap Goodbye Pornography, Mohd Fadhli Bin Othman (Mualim Mohd Fadhli) ini mendedahkan tentang pemikiran ibu bapa yang konon up to date tetapi sebenarnya menjelikkan. Lagilah bimbang kita dibuatnya.
Sebab ada segelintir mak ayah yang tak sedar bahawa merekalah sebenarnya menjadi punca datangnya sifat ‘kelucahan’ dalam diri anak-anak itu.
Ini Bukan Pemikiran Up To Date, Tapi MENJELIKKAN
Mula-mula masuk dan terjun isu gejala sosial terutama ketagihan pornografi dan salah laku seksual berkobar-kobar aku buat modul dan program yang FOKUS pada murid sekolah rendah, menengah dan Mahasiswa.
Tapi, semakin hari semakin meleset. Kebanyakkan kes dan masalah yang aku jumpai terutama pelajar sekolah adalah bermula dengan perangai seorang ayah atau KHALIFAH KELUARGA yang kuat layan video lucah. Lebih menjengkelkan lagi layan dengan isteri !
Baru sebentar tadi, satu pengakuan seorang netizen telah aku baca di sebuah posting salah seorang public figure program realiti Clever Girl. Sahabat aku ini (peserta CLEVER GIRL) telah mengecam tindakan segelintir masyarakat terutama lelaki @ suami yang suka layan video lucah a.k.a Pornografi.
Telah Ada Anak Anggap Tengok Video Lucah Itu Kebiasaan
Tiba-tiba netizen itu buat pengakuan yang berani sebegini (seperti gambar di bawah). Maaf bukan untuk mengaibkannya. Aku pun dah padam segala namanya. Pengajaran ini untuk diri sendiri dan semua orang. Nak cakapkan kesedaran ini masih rendah walaupun terhadap MAK AYAH !
Cuma nak beritahu di luar sana masih ramai pasangan suami isteri yang telah ada anak menganggap tonton video lucah merupakan satu kebiasaan. Matlamatnya semata untuk dapatkan skill atau teknik yang baru bagi puaskan pasangan.
Bayangkan, jika kalian menontonnya melalui telefon bimbit dan gadget itu kemudiannya anak pula guna. Sebab itu kes-kes yang berlaku seperti masalah seksual di prasekolah, tadika dan sekolah rendah semakin menjadi.
Usah Terlalu Terbuka.. Jadilah Mak Ayah Bertanggungjawab
Ini semua berpunca daripada MAK BAPAK yang tidak bertanggungjawab. Bila disuruh datang oleh pihak sekolah untuk program kesedaran pemalas dan banyak alasan. Maaf jika ayat kasar tetapi itu yang berlaku di kalangan PIBG sekolah.
Datang mesyuarat pun sebab ada cabutan bertuah. Jika tahu ada program kesedaran atau ceramah keibu bapaan datangnya lambat dan sampai di akhir-akhir slot.
Hajatnya tak nak tulis panjang-panjang. Tetapi bila dah menaip sama seperti bila dan mula pegang mikrofon. Payah nak berhenti.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.