Soalan yang paling sensitif, lagi-lagi buat pasangan yang dah lama berkahwin tapi belum dikurniakan zuriat adalah persoalkan bila mereka nak ada anak.
Kerana semua itu berkait dengan rezeki. Andai penanya faham akan konsep rezeki. Tak tergamak kot soalan-soalan sensitif tahap dewa ini keluar dari bibir mereka.
Mereka akan tutup rapat, jaga kemas-kemas.
Peniaga kasut ini, Cik Puan Ammy bukanlah mahu jadi busy body. Malah amat berhati-hati dan takkan sentuh bab-bab tanya pasal nak mengandung, nak ada anak dekat kawan-kawan. Sebab dia sendiri pernah diuji 9 tahun menanti cahayamata lagi.
Tapi itulah.. bila tuhan nak uji. Benda yang paling kita tak suka itulah yang jadi.
Belum Ada Rezeki Miliki Zuriat Sendiri..
Ya Allah.. Kenapa lah celupar sangat mulut saya ni, elok-elok ‘mood’ nak berniaga ‘datang’ tiba-tiba terus jadi satu malam yang muram untuk saya. Ketelanjuran kata-kata saya mungkin telah mengguris hati sepasang suami isteri ini. Saya tidak sengaja. Benar-benar tidak sengaja.
Saya melihat mereka membeli agak banyak kasut budak. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Seingat saya mereka pernah datang minggu lepas dan ini kali kedua.
“Anak buah ramai dik, minggu lepas dah datang beli, ni beli lagi..”
Terang si isteri tanpa saya bertanya. Benar sangkaan saya.
“Emmm.. Minggu lepas tu mesti untuk anak sendiri kan? Minggu ni ‘turn’ anak buah pulak. Moga murah rezeki akak.”
Saya membuat andaian sambil ketawa kecil.
Ads
“Eeeemmm.. Anak buah juga dik, yang minggu lepas belah akak, yang ni pulak belah abang, nak harap anak sendiri, entah bila la dik…”
Celah si suami sambil hulurkan duit dalam nada keluhan. Saya melihat wajah si isteri berubah terus air mukanya dari riang kepada suram. Senyum sendu pada saya sebelum ‘menonong’ keluar dari kedai tanpa menunggu si suami.
“Tak pa, ada rezeki tu nanti.”
Itu jer yang mampu saya balas sambil hulur baki RM5.
“Entah lah dik.. Dah 15 tahun tunggu. In sha Allah masin mulut kau dik bulan ramadhan ni.”
Sebenarnya ada diantara sahabat dan ahli keluarga saya masih belum dikurniakan anak. Mereka tanpa segan silu meluahkan pada saya betapa mereka berharap dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap keluarga kecil mereka. Pelbagai rawatan moden dan traditional telah mereka jalani, daripada kaedah urutan kampung, jamu-jamu dan IVF namun masih tidak berhasil. Akhirnya mereka redha.
Ads
“Kalau ada rezeki tu adalah. Kalau tak ada tu, mungkin Allah nak bagi kami rezeki lain.”
Kata-kata yang sering saya dengar daripada mulut sahabat saya. Bukan beliau sahaja, malah anak buah saya juga pernah ucapkan kata-kata yang sama. Saya tahu ianya hanya sekadar memujuk hati namun jauh di dasarnya, tidak putus berdoa dan tetap merindui kehadiran si kupu-kupu syurga itu.
Jadi, saya rasa tidak perlulah kita yang telah pun punyai anak ini bertanyakan soalan-soalan sinis sehingga ‘membunuh jiwa dan raga’ mereka pada tiap kali bertembung atau bertemu dengan mereka. Tidak perlulah bertanyakan soalan tentang anak kepada mereka kerana perasaan orang yang ‘masih menanti’ ini perlu dijaga lebih-lebih lagi buat pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.
“Berdua jer.. Bila nak bertiga?”
“Tak habis lagi ke nak berbulan madu? Usia dah meningkat bila lagi nak ada anak?”
“Kawin dah lama. Seorang anak pun tak ada? Apa lah kau ni..”
“Apasal bro. Aku dah 6 kau sorang pun tak ada? Kau tak power ni bro.”
9 Tahun Menanti Cahayamata Lagi
Walaupun niat kita sekadar bergurau, tetapi sedar kah kita bahawa kata-kata atau soalan kita itu akan menambah ‘remuk’ di hati mereka. Tahukah kita? Mereka telah puas berusaha. Meminta di setiap ‘sunat hajat’. Merintih di setiap ‘tahajud’. Sambung lagi pada setiap ‘dhuha’. Mohon dari Allah SWT supaya dikurniakan anak. Mengharap hadirnya kupu-kupu syurga itu ke syurgawi rumah tangga mereka. Kita tidak merasa kerana kita tidak berada di tempat mereka.
Ads
Malah tak kurang juga yang menghasut supaya si suami nikah lagi satu semata-mata untuk pewaris.
Wah! Hebat.. Betapa yakinnya bahawa yang bermasalah itu puncanya daripada pihak isteri. Bagaimana pula jika berkahwin lagi satu juga masih belum dikurniakan anak? Sebenarnya, Allah SWT mendengar doa mereka. Cuma masih berada di genggamanNya. Menanti masa yang benar-benar sesuai untuk dilepaskan satu persatu.
Pengalaman saya sendiri.. Walaupun saya tidak ada masalah untuk hamil, tetapi saya berharap untuk punyai seorang lagi puteri di penghujung usia 35 tahun. Sembilan tahun saya menunggu. Setiap sedekah yang saya hulurkan saya niat untuk hamil.
Tanpa segan silu saya minta di doakan supaya saya hamil ketika menghulurkan sedekah. Minta dari Allah SWT tanpa kenal putus asa. Bernazar jika ada rezki untuk saya. Alhamdulillah awal 34 tahun saya hamil. Allah SWT mendengar doa saya. Itulah dia Mahsuri orangnya.
Sayunya Pandang Wajah Anak-anak Makan Semasa Bersahur
Kerana itu saya faham dan hargai setiap perasaan mana-mana pasangan yang masih mengharap kehadiran ANAK. Meminta anak bukannya sama seperti membeli air nescafe di kedai, bancuh campur nescafe tambah susu terus jadi. Bukan juga semudah memasak nasi goreng ikan masin. Masukkan bahan-bahan, kacau-kacau… Terus jadi.
Punyai duit berjuta juga tidak mampu membeli nyawa seorang anak kandung jika Allah SWT tidak mengizinkan. Jadi siapa lah kita sebagai hamba Allah SWT mempersoalkan tentang rahsia dan ketentuanNya.
Bila pandang anak-anak saya yang sedang menyuap makanan untuk bersahur, sayunya hati kecil saya kerana kadang kala saya memarahi mereka di atas kesalahan yang amat kecil. Abaikan mereka ketika saya benar-benar penat dan lebihkan rasa untuk berihat berbanding melayan kerenah mereka untuk bermanja, berbual dan bergurau senda sedangkan di luar sana masih ramai yang menanti kehadiranya ANAK…
Peringatan untuk diri sendiri juga, cubalah untuk mendiamkan diri daripada bertanyakan soalan-soalan atau bergurau senda dengan pasangan yang masih menanti kehadiran cahaya mata, bimbang secara tidak sengaja akan ‘membunuh’ jiwa dan raga mereka.
Kepada kakak dan abang yang membeli selipar dan kasut di kedai saya semalam. Saya mohon maaf dan ampun. Saya benar-benar tidak sengaja. Jangan serik datang membeli lagi. Saya doakan kalian yang masih menanti kehadiran si ANAK akan perolehi yang terbaik dari Allah SWT di atas kesabaran kalian.
Sesungguhnya yang terbaik itu adalah amat payah untuk dilepaskan kecuali kepada hambaNya yang benar-benar layak.. Amin..
Jaga anak-anak ini akan terasa lelah kalau banyak fikir. Padahal anak-anak itu satu anugerah dariNya yang tak semua wanita ada peluang nak jadi ibu.
Benar, perempuan yang penat tak mampu berfikir sebaiknya. Lagi tertekan kalau jiwa tengah kacau, pasti ada ‘sesuatu’ yang suka datang berbisik untuk melepaskan amarah pada anak-anak hingga memukul.
Jangan sampai ibu melayan sangat emosi sedih jadi murung yang akhirnya depress dan tak sedar diri kelar anak macam kes di Kota Belud.
Allah… rabak hati untuk membayangkan macam mana keadaan anak-anak itu bila tengok seorang ibu berlumuran darah selepas mengelar adik bongsunya yang baru berusia 8 bulan.
Sebab itu lah pentingnya komunikasi suami isteri. Andai tengok isteri macam penat, suami kena bertanya dan tolong handle mana yang patut. Nak jaga anak bini ini, tak semudah tengok drama dalam kaca TV. Banyak ujian yang tanpa disangka datang menyinggah. Kalau IMAM di hati rapuh, maka gagal lah kaum wanita untuk mengawal emosinya sendiri.
Jadi, pentingnya suami isteri saling menjaga. Dan hargailah masa bersama anak-anak. Bentuklah keluarga dengan suasana yang indah-indah bila di depan anak. Untuk renungan, jemput baca perkongsian Puan Intan Dzulkefliini.
Anak-anak Bukan Beban
“Parenting is hard!”
Lalu dijawab teman, “since when it’s easy?”
Ada kala waktu kita mengeluh penat, mengantuk, tetapi anak-anak nak bermain walau dah menjengah pukul 2-3 pagi, tetap ceria berkejaran, menyepah mainan entah ke berapa puluh kali, bergaduh sesama sendiri, untuk ibu (terutamanya) yang menghadap 24 jam sehari, memang agak sukar untuk tetap senyum kan?
Sesekali akan terluah juga bebelan, keluhan.
Cuma kita selalu ingatkan diri, ingatkan pasangan, anak-anak bukanlah beban. Mereka adalah ujian, serta lubuk pahala.
Kalau kita anggap anak-anak beban, kita akan rasa terlalu lelah. Akan rasa tak puas hati bila pasangan enggan sama-sama take part menguruskan anak-anak.
Namun sekiranya kita anggap anak-anak ujian dan lubuk pahala, kita akan build up again selepas melepasi fasa-fasa stress, penat, letih semua itu.
Pahala Mudah Buat Mak Ayah
Peluk anak, sayang anak, ajar anak semuanya dapat pahala. Jangan sikit-sikit nak marah anak, tanpa sebab, apatah lagi puncanya sebab kita marah pasangan kita. Anak-anak pula jadi mangsa. Astaghfirullah.
Anak-anak tak selamanya ada dengan kita. Hargailah momen sementara mereka masih kecil. Lebih penting, kita tak tahu seberapa lama lagi Allah pinjamkan mereka kepada kita.
Peluk anak, dan ucaplah Alhamdulillah.
Robbana hab lana min azwajina wa dzuriyatina qurrotun a’yun, lil mutakina imama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bayangkan selama hidup berumah tangga, suami langsung tidak ambil peduli soal anak-anak, suami diuruskan isteri ATOZ. Tetapi setelah berpisah lain pula ceritanya, sikap suami tiba-tiba berubah menjadi sangat penyayang.
Dulu dibiarkan saja namun bila berpisah muncul tuntut anak, hentikanlah wahai suami, sebaiknya jangan diganggu emosi anak. Kasihan mereka menjadi mangsa keadaan penceraian mak dan ayah.
Ikuti perkongsian peguam syarie ini, Puan Rabiatul Adawiyah Ramlidan hadam apa yang cuba dirinya sampaikan:
Dulu Anak Dibiarkan, Ghaib
Masa ada ikatan sah suami isteri, anak dibiar langsung, ghaib tak nampak batang hidung.
Tapi bila berpisah mula muncul nak tuntut anak, acah-acah nak jumpa anak, konon-konon nak jalankan tanggungjawab dan tuntut hak sebagai bapa. Segala atuk nenek semua bagi kerjasama masa itu.
Dan masa itu akan nampaklah seolah-olah si ibu ni tadi ibarat ibu yang zalim pada pandangan mata orang sebab pertahankan anak tak nak bagi jumpa si ayah ni.
Benar, si ayah ada hak,
Ya benar si nenek ada hak,
Dan benar si datuk juga ada haknya
Tidak dinafikan itu semua.
Tetapi
Bagaimana dengan hak bahagia si anak?
Bagaimana pula dengan hak Emosi si anak?
Dan bagaimana dengan hak bersuara si anak?
Apakah anak-anak tidak berhak untuk menuntut hak?
Tahu sebab apa?
Derita si anak kecil ini tak bersuara.
Derita sengsara anak kecil ni tak tahu apa,
Yang dia tahu hidup dia cuma ada si ibu sahaja keluarga serta rakan-rakan sekelilingnya sahaja.
Hentikanlah Jangan Diganggu Emosi Anak
Cukuplah emosi anak-anak ini telah diganggu dek soalan-soalan DI MANA AYAH?
Dan cukuplah emosi anak-anak ini telah diganggu dengan sejuta persoalan DI MANA AYAH?
Cukuplah!!!!
Sudahlah terganggu di sekolah, di rumah, ini pula perlu hadir ke mahkamah kerana masalah ibu dan ayahnya.
Ditambah pula terpaksa berpisah dengan si ibu walau untuk sementara tapi kesannya kepada mental dan emosi anak-anak ini akan tetap kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
Jika perkara ini terjadi. Tanggunglah azabnya di sana nanti.
Isteri Terpaksa Bertahan Demi Anak-anak
Jadi sebab itulah ramai isteri yang sanggup bertahan walau hidup penuh derita dalam rumah tangga,
Sanggup bertahan walau hanya isteri di atas kertas yang tertera,
Sanggup sengsara menahan hiba kerana si anak yang tidak tahu apa-apa.
Jika perkara ini berlaku dalam rumah tangga mu duhai suami, jika kamu tidak bertaubat. Sesungguhnya azab yang amat pedih untuk mu dunia Akhirat.
Maka wahai suami, wahai ayah, wahai anak adam.
Jadilah sebenar-benar insan yang bertanggungjawab. Jika tidak mampu lagi untuk melayari bahtera dengan sebaiknya, serahkan kembali kepada ibu bapanya sebelum bahtera itu karam buat selamanya atau doakan sahaja agar diri tu ditarik nyawa buat selamanya agar tidak memudaratkan sesiapa.
Kemalangan yang meragut nyawa itu sememangnya menyakitkan. Lagi-lagi melibatkan seluruh ahli keluarga dan ada kematian dicatatkan. Sedikit sebanyak ia mengganggu emosi ahli keluarga yang terlibat. Pengalaman Dr. Dila Sulaiman, Doktor Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental, Hospital Bintulu, Sarawak ini menyedarkan kita betapa ubat bukanlah satu-satunya penawar untuk sakit yang melibatkan emosi.
Kami menerima satu rujukan seorang pesakit berumur 5 tahun yang terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.
Kemalangan yang melibatkan 6 orang itu turut meragut nyawa salah seorang ahli keluarga mereka.
Bila sedar dari bius, anak ini nampak cepat meragam, sering menangis dan asik bertanyakan di mana ayahnya.
Doktor di Jabatan Kanak-Kanak risau sekiranya dia mengalami PTSD (Kecelaruan Stress Pasca Trauma), lalu merujuk kes ke Jabatan Psikiatri.
Pihak keluarga anak ini pula masih tidak yakin untuk membawanya berjumpa dengan ayah yang juga berada di wad kerana kemalangan yang sama; ‘takut lemah semangat’ atau ‘terkejut’ katanya.
Namun kami percaya, dia cuma mahukan kepastian ayahnya masih ada, mahu rasa selamat.
Tidak mahu kehilangan.
Jadi kami sendiri pergi mengiringi adik ini berjumpa dengan ayahnya di dalam wad. Dan air mata ahli keluarga yang sama-sama berada di wad pun menitis menyaksikan seorang anak kecil menangisi ayahnya yang sakit, tetapi pada masa yang sama saya tau dia pastinya lega dapat melihat wajah ayah tercinta.
Hati saya tersentuh juga seketika kerana anak ini sebaya anak saya yang kedua. Dan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada kami (nauzubillàhiminzalik), saya pasti anak saya juga akan mahukan perkara yang sama.
Tidak semua kes memerlukan rawatan dari segi ubat-ubatan.
Tidak semua kes yang dirujuk ke Jabatan Psikiatri maknanya kes orang ‘gila’ (dalam buku perubatan tiada istilah gila ya).
Kadang-kadang, peranan doktor cukup mudah. Cuma fahami apa yang pesakit perlukan, dan beri apa yang diperlukan.
Dalam kes ini, dia cuma mahu berjumpa dengan ayah.
Dia juga faham ayah masih sakit, dah berharap ayah akan sihat nanti. Tangisannya juga terus reda setelah puas menatap wajah ayah. Semoga mereka berdua akan cepat sembuh dan dapat kembali bersama.
Post Traumatic Stress Disorder/Kecelaruan Stress Pasca Trauma
Kecelaruan emosi yang berlaku selepas seseorang individu mengalami/menyaksikan sesuatu tragedi/trauma yang sangat menakutkan, mengancam nyawa atau boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada individu itu sendiri atau keluarga/sahabat terdekat.
Antara simptom PTSD:
1) ‘Intrusion’ – mengalami ulangan memori mengenai kejadian eg: mimpi ngeri, ‘flashback’
2) ‘Avoidance’ – mengelak apa-apa perkara yang boleh mengingatkan kepada tragedi tersebut
3) Altered mood/cognition – perubahan mood dan pemikiran
4) ‘Arousal’- cepat marah, mudah tersentak/terkejut, sukar tidur, kurang konsentrasi
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan dari hospital/klinik terdekat dengan anda sekiranya anda mengalami simptom-simptom ini.
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...