Jadi suami, bila isteri kata, ‘Sayang penat bang, boleh tak sayang nak rehat sekejap?’ maka tunaikanlah permintaannya. Bagus benar suami ini, Saiful Bahari yang begitu memahami emosi penat isteri.
Penting sebenarnya suami fahami hal ini. Jangan sesekali kau kata ini cerita mitos nak menakut-nakutkan suami pulak. Hadamkan realiti yang suami ini terang.
Bila Penat Isteri, Suami ‘Double Standard’ Kan
Lelah isteri, penat isteri kadang dianggap “double standard” bagi pihak lelaki. Maaf ya, tak semua tapi kebanyakkan.
Bagi lelaki, mereka rasakan penatnya isteri tu tak sepenat dirinya sebagai ketua keluarga.
Itu tanggapan salah ya abang abang semua. Kalau anggap kerja suri rumah masak, sidai baju, kemas rumah, bagi anak makan, tidurkan anak adalah kerja mudah. Silakan ambil tugas mereka sehari.
Belum tentu bang kau dapat urus dengan baik, masa nak masak masa tu lah anak kau main kat dapur juga. Nak sidai baju kat luar, anak kau dah tunggang terbalik dekat depan, nak bagi anak makan, masa tu la anak kau meragam tak nak makan sambil berlari-lari. Penat bang.
Ads
Isteri kau bang baru nak sandar rehat, tiba tiba anak terjaga nagis nak susu. Bangun lagi cuba tidurkan anak. Kena anak tidur balik takpe, kalau terus mata dia segar nak main? Nahh! Bergelanggang ufc lah mereka.
Jangan Persoal Bila Isteri Minta Rehat Sebab PENAT
Ini belum masuk lagi isteri kau sekali kerja. Fuh dia punya penat bang, hanya Allah yang tahu. Kau balik kerja fikir rehat harap dibelai isteri. Dia balik kerja fikir nak rehat tapi kena belai kau bang. Nampak beza tak bang?
Jadinya bang, andai kata isteri kau satu hari tu dia kata “sayang penat bang, boleh tak sayang nak rehat sekejap?”
Ads
Kau jangan cuba persoal bang, kau hanya perlu angguk dan jawab “baik sayang, rehatlah”
Dekat sini 50% hati isteri kau dah lega. Perasaan seronok dia tu macam kau dapat kereta baru bang. Huhu.
Jadi bila kau dah benarkan isteri kau rehat, INI PENTING. Jangan persoal BAGAIMANA mereka rehat.
Cara Rehat Isteri Dengan Suami Tak Sama
Definisi rehat isteri dengan suami tak sama bang. Kita fikir rehat confirm terbongkang bang, berdengkur sampai jiran sebelah dengar. Bagi isteri, definisi rehat mereka ialah mereka akan buat apa mereka suka. Ya itulah “me time” bukan mee goreng ya.
Isteri kita nie akan buat apa je, tengok shoppe ke, layan movie ke, baring baca novel ke, share segala post resepi masakan ke, ada pulak mintak izin berjalan window shopping! Fuh! Kau pun mesti heran punya kan?
Ads
“Awak nie kata nak rehat, tapi saya tengok tak rehat pun?!” Itulah 50% lagi jangan kau persoal bang mereka punya rehat. Sekali kau soal maka habislah mood mereka. Sedihnya tu macam kereta baru kau orang calarkan body. Berdedai bang sedihnya.
Nie petikan dari satu ayat post tuan Akhi Fairuz Al-Jengkawi mengenai rehat si isteri [ Dulu aku tak faham, geram jugalah dibuatnya. Siap cakap lagi pada isteri, “kata tadi nak berehat, yang dok mengadap handphone bagai ni kenapa? Pi lah tidoq.”]
Ya begitulah fikiran suami seperti kita, susah nak faham. Huhu. Tapi berbekalkan pengalaman sebagai suami. Insyallah kita boleh faham.
Kita lawan bang. Kita jadi #suamipower
Boleh boleh?
Nota tepi: Masak tetap aku out, memang harap isteri masak juga. Kikiki. Bersyukur dapat #superwife
Sumber/Foto : Saiful Bahari, Berpengalaman menjadi surirumah 2 tahun
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai yang sensitif bila menyebut isu poligami. Sukar untuk menemui keluarga yang bahagia dan harmoni dalam menyatukan kesemua anak-anak dan isteri-isteri.Lebih-lebih lagi sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri.
Namun bagi Mohd Fazil Mohd Dali, 44, setiap tahun, keluarga besarnya merayakan Hari Lebaran secara beramai-ramai tanpa timbul sebarang masalah.Malah begitu seronok dapat meraikannya bersama-sama 4 orang isteri dan 14 orang anak serta menganggapnya ia rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Memang seronok dapat beraya dengan empat isteri dan 14 anak, dan saya menganggap ia rezeki diberikan Allah SWT.”
Mohd Fazil bersyukur menyambut Aidilfitri bersama empat isteri, iaitu Harlinda Suparman, 44; Suhana Mokhtar, 40; Nur Izzati Mad Wazi, 33; dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36, serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun daripada enam perkahwinannya.
Beliau berkata, mereka lazimnya berkumpul di rumah isteri pertama pada malam raya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain memenuhi amalan akhir Ramadan dengan pengisian keagamaan yang menjadi kunci kebahagiaan.
“Selepas bertakbir raya, kami berkumpul di ruang tamu untuk membaca kitab taalim fadilat amal selama 90 minit sebelum mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan saling bermaafan,” katanya yang juga pemilik gimnasium ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, di sini.
Mohd Fazil berkata, persiapan wajib seperti baju raya untuk semua isteri dan anak sudah dibuat dari awal Ramadan bagi membolehkan ahli keluarganya memberi tumpuan kepada amalan 10 malam terakhir Ramadan.
“Ramai yang bertanyakan rahsia kebahagiaan saya dan jawapannya ialah bergantung pada sejauh mana amalan serta tanggungjawab ditunaikan sebagai seorang ketua keluarga dan bapa.
“Saya menyatukan semua isteri dan anak bukan melalui kekerasan atau paksaan tetapi secara berhemah serta kasih sayang, selain mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
“Selain solat berjemaah dan membabitkan semua isteri serta anak dengan majlis ilmu agama di masjid, amalan makan di dalam talam dan saling menyuap juga antara rahsia pengikat kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.
Setiap tahun, Mohd Fazil berkata, mereka sekeluarga akan beraya di rumah mentua secara bergilir-gilir di Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Walaupun kami beraya bersama, saya tidak mewajibkan isteri atau anak berpakaian sedondon. Mereka bebas memilih warna mengikut cita rasa masing-masing.
“Biasanya, kami akan berkonvoi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum berkunjung ke rumah saudara terdekat selepas bersarapan,” katanya.
Sementara itu, Harlinda berkata, beliau seronok beraya bersama tiga madu dan semua anak, malah mereka saling membantu dalam segala urusan keluarga.
“Setiap anak dilayan sama rata dan isteri juga tiada iri hati terhadap satu sama lain kerana keutamaan kami ialah muafakat, kerjasama dan saling menghormati serta membahagiakan.
“Kami bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keselesaan keluarga, terutama anak, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab mencurah kasih sayang kepada kami,” katanya.
MW: Bukan mudah untuk sepakat dan hidup dalam keadaan harmoni apabila berpoligami. Tanpa pegangan agama yang kukuh, sikap suami yang bertanggungjawab dan adil dalam mengemudi rumahtangga.
Seorang insan yang bergelar sahabat adalah orang yang sentiasa mengingati temannya terhadap perkara-perkara yang baik. Bukan itu sahaja malah sahabat juga akan berasa bahagia apabila melihat teman mereka berjaya dan akan merasa sedih apabila melihat rakannya berduka. Dek kerana hubungan persahabatan yang cukup erat, tujuh orang sahabat yang terdiri daripada Norseyha Sugeharto (Seyha), Salwani Mohd Khaidzir (Wani), Nor Roshaidah Mohd Thith (Ieda), Che Hazrina Che Hamzah (Sue), Nik Syahirah Hamizah Nik (Nik), Suhaila Shahrul Annuar (Lala) dan Nurul Huda Zakaria (Huda) telah memberikan nama kumpulan mereka ‘7 Petala Cinta’.
Baru-baru ini bagi meraikan persahabatan mereka, kumpulan ‘7 Petala Cinta’ ini telah mengadakan sebuah majlis reunion bertempat di VERDI Eco-Dominiums Cyberjaya bertujuan untuk membina semula keakraban dan melepaskan rindu antara mereka. Malah semasa mereka mengadakan reunion anak-anak dibawa suami jadi suami bolehlah rileks di rumah.
Menurut Seyha mewakili rakan-rakannya sewaktu ditemubual Mingguan Wanita, perkenalan mereka bermula ketika masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti.
“Kami mula berkenalan ketika berada di zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada tahun 2007-2010. Masa tu kami sama-sama mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media dan duduk dalam satu kelas yang sama. Selepas itu, kami satu hati untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Masa ini kami tidak lagi duduk kelas yang sama kerana masing-masing memilih jurusan yang lain pada 2010-2012.
“Biasanya kalau geng yang mempunyai ahli ramai, wajib ada nama kumpulan. Kami beri nama kumpulan ini ‘7 Petala Cinta’. Ia diambil sempena dengan nama filem yang pada masa itu tengah popular pada 2012. Kebetulan pula nombor tujuh itu merupakan simbolik bagi jumlah ahli kumpulan kami,” ungkap Seyha mulai bicara.
Reunion Erat Hubungan
Selepas tamat pengajian, Seyha memaklumkan mereka terlalu sibuk membina kerjaya dan ada yang memberikan tumpuan pada keluarga selepas mendirikan rumah tangga.
“Ada yang mendirikan rumah tangga sehingga kami tiada masa untuk berjumpa walaupun hakikatnya semua duduk dekat sahaja dalam kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Biasanya kami berjumpa tiga atau lima bulan sekali. Ikut kelapangan masing-masing. Tapi tidak pernah lengkap tujuh orang. Kadang-kadang hanya dapat berjumpa seorang dua saja untuk setiap kali pertemuan. Jadi sebab itu kami cadangkan untuk buat reunion supaya ketujuh-tujuh kami ada bersama,” akui Seyha yang turut memberitahu sewaktu majlis reunion berlangsung mereka turut membawa anak-anak bersama yang digelar ‘Junior Petala Cinta’.
Seyha juga menerangkan majlis reunion mereka telah diadakan selama tiga hari dua malam dan mereka turut menempah homestay.
“Pada hari Pertama, kami semua daftar masuk homestay. Macam biasa, ada yang masuk tengah hari dan ada yang masuk malam. Masa tu pula bermula pada hari Jumaat. Jadi ada sebilangan daripada kami yang masih bekerja pada waktu itu.
“Hari kedua merupakan hari kejadian di mana kami menghias homestay yang disewa mengikut tema yang dipersetujui iaitu, Pink, Mint and White. Selain deko, kami turut menempah kek dan kek cawan sebagai kudapan. Majlis tidak lengkap kalau tiada sesi bergambar. Kami sewa juru foto untuk ambil gambar kami sebagai kenangan.
“Pada waktu petang pula, kami meneruskan aktiviti mandi kolam renang bersama anak-anak. Waktu malam, selepas anak-anak dah tidur, kami bermain permainan Bean Boozled (coklat busuk). Permainan ini kena ikut giliran untuk membuat putaran pada bekas berbentuk bulat. Siapa yang kurang bernasib baik, akan dapat coklat busuk dan kena makan! Itu salah satu cabarannya. Hari Ketiga pula kami bersiap-siap untuk daftar keluar,” cerita Seyha.
Bagi merealisasikan perjumpaan ini Seyha turut menerangkan mereka sepakat menabung dan setiap ahli kumpulan perlu membayar RM50 sebulan.
“Sebenarnya, sebelum deadline reunion, kami akan ada tabung bersama untuk dikutip setiap bulan. Setiap daripada kami akan menyumbang RM50 sebulan. Kos ini bagi menampung perbelanjaan ketika berlangsungnya majlis tersebut. Sebagai contoh, sewa homestay, makanan (tengah hari dan malam), sewa juru foto dan dekorasi.
“Alhamdulillah. Majlis berjalan dengan lancar semuanya, walaupun ada anak yang meragam. Demi menjayakan majlis tersebut, kami gagahi juga untuk mendapatkan sesi fotografi terbaik sebagai kenang-kenangan ‘7 Petala Cinta’ walaupun masa tu anak-anak sedang meragam.
‘Inilah keunikkan reunion kami, bawa bersama dengan anak-anak. Jadi masa ni, geng-geng suami bolehlah rileks di rumah.
Meneruskan perbualan, Seyha dan rakan-rakannya cukup gembira apabila ketujuh-tujuh ahli berjaya dikumpulkan pada reunion kali ini.
“Ya. Sebenarnya, ini kali kedua kami mengadakan reunion. Pertama kali kami buat pada tahun 2017, di Regalia Residence. Tapi masa itu kami kekurangan seorang ahli, Nik Syahirah. Dia ketika itu memilih berpantang di kampung bagi cahaya mata kedua.
“Apabila bertemu masing-masing cukup gembira, sudah tentu yang paling best bila masa bergosip. Nak tahu perkembangan masing-masing, kehidupan berumah tangga, melayan keletah anak-anak yang masih kecil dan kerjaya yang dibina.
“InsyaAllah, kalau ada rezeki dan umur yang panjang, kami memang tetapkan reunion setahun sekali wajib buat dan mesti kesemua tujuh ahli perlu hadir. Itu sudah pasti,” luah Seyha sambil tersenyum manis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Satu tragedi kebakaran di Taman Rathna, Butterworth pagi Rabu semalam cukup menyayat hati bila mana seorang ibu ditemui rentung bersama anak angkatnya berusia sekitar 4-5 tahun. Lebih menyedihkan, kedua-duanya ditemui di ruang tamu rumah berhampiran pintu keluar dalam rumah yang hampir terbakar keseluruhannya.