
Jam tangan RM3.4 juta dicuri anak, keberanian anak pulangkan harta mewah Ahmad Sahroni dipuji.
Meski menyedari dirinya akan menjadi sorotan media angkara perbuatan anak remajanya, seorang ibu nekad bertindak berani memulangkan kembali jam tangan mewah model Richard Mille RM 40-01 McLaren Speedtail, milik ahli Parlimen Ahmad Sahroni bernilai lebih kurang RM3.4 juta yang dicuri anaknya ketika perusuh memecah masuk rumah kediaman tersebut dalam kejadian di Tanjung Priok, Jakarta Utara baru ini.
Rusuhan tercetus selepas Ahmad Sahroni mengeluarkan kenyataan yang menyebut pihak yang mahu membubarkan DPR sebagai “manusia tolol sedunia”. Ucapannya mencetuskan kemarahan masyarakat, sehingga rumah mewahnya di Tanjung Priok diceroboh perusuh dan beberapa barangan berharga hilang.
Dalam suasana kelam kabut itu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, dikenali sebagai Mi turut mengambil kesempatan dengan mencuri jam tangan tersebut. Malangnya, tindakannya menjadi sorotan media selepas dia dilihat menayangkan jam mewah itu.
Namun tindakan ibu ini yang memulangkan kembali jam tangan mewah itu dilihat sebagai “simbol keberanian” dengan mengaku salah atas tindakan anaknya dan dirinya memilih untuk memulangkan kembali jam tangan tersebut.
“Saya tahu ini bukan milik kami. Lebih baik dipulangkan, biar anak saya belajar tentang kejujuran.
Beliau menambah bahawa dirinya sendiri tidak tahu cara mengendalikan jam tangan mewah tersebut.
“Memegang pun tidak pernah, apatah lagi tahu menggunakannya. Kami orang biasa sahaja,” kata si ibu kepada pihak berkuasa setempat.
Dengan penuh tanggungjawab, si ibu mendatangi Ketua RW 006 Kebon Bawang, Sugeng Riyanto untuk menyerahkan kembali jam tersebut. Proses pemulangan dijalankan secara rasmi bersama pihak Rukun Tetangga (RT) dan kelurahan sebelum akhirnya diserahkan kepada wakil Ahmad Sahroni, iaitu H. Imamudin.
Menurut Sugeng, langkah itu bukan sahaja memulangkan hak kepada pemilik, malah memberi contoh bahawa orang ramai juga boleh mengembalikan barang curi tanpa rasa takut. “Posko pemulangan barang telah dibentuk, dan beberapa barang lain juga telah dikembalikan,” ujarnya.
Bagi Sahroni, jam Richard Mille itu mungkin sekadar sebahagian daripada koleksi mewahnya. Namun bagi masyarakat, tindakan seorang ibu memulangkan kembali barang curi anaknya menjadi lambang kejujuran dan keberanian.
Kisah ini membuktikan bahawa di tengah kekacauan dan kontroversi politik, masih ada insan biasa yang berpegang teguh pada nilai moral mengajar bahawa kesilapan boleh diperbetulkan dan kejujuran akan sentiasa lebih bernilai daripada kemewahan dunia.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI