Jaclyn Victor juara All Stars Gegar Vaganza

Share
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu! Jaclyn Victor telah dinobat sebagai juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dalam pertandingan akhir yang berlangsung malam tadi.
Bertempat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, penghibur berusia 45 tahun itu membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000, trofi, pakej percutian ke Switzerland sumbangan Kaki Jalan, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London sumbangan Royale Chulan Hotels & Resorts dan saucer dekorasi ruangan sumbangan Ritz Reka.
Pemilik nama Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu turut menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan produk Adabi bernilai RM500.
Jaclyn memukau para juri dengan persembahan mantap menerusi lagu When You Believe, Sandarkan Pada Kenangan (duet bersama Datuk Jamal Abdillah) dan Let’s Kill This Love bergandingan dengan Siti Nordiana, Liza Hanim serta Tomok)  di pusingan battle. Ia sekaligus menawan hati para juri dan meletakkan dirinya di tangga pertama persembahan pada malam itu.
Terdahulu, ibu kepada dua cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 7, dan Molly Marguerite Rivera, 5, itu bergelut dengan masalah laryngitis pada minggu kelapan ASGV hingga mengakibatkan beliau menghadapi kesukaran untuk bertutur.
Mula bertapak dalam industri seni suara tanahair sejak 2003, penyanyi ini mula menempa nama dalam seni suara apabila  menjadi juara Malaysian Idol
musim pertama pada tahun 2004.
Jac mempunyai kemampuan vokal yang  lunak sekaligus meletakkan dirinya sebagai salah seorang penghibur terbaik Malaysia .
Pelantun Di Bawah Pohon Asmara telah mengumpul 10 trofi Anugerah Industri Muzik, lima trofi Anugerah Juara Lagu, dua trofi Anugerah Bintang Popular dan dua trofi Anugerah Planet Muzik.  Jaclyn juga telah memenangi satu trofi Anugerah Skrin, Festival Filem Malaysia, Anugerah Shout! dan Anugerah Era.

Semua finalis tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima wang tunai bernilai RM10,000, trofi dan hadiah sampingan lain.

Untuk kategori Khas Anugerah Pilihan Boss Susu, ia dimenangi oleh penyanyi Naqiu.

Pengkritik dibarisi juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan juri undangan, Ratu Rock, Ella.

Sementara menunggu keputusan diumumkan, penonton dihiburkan dengan persembahan Hael Husaini.

ASGV dikendalikan pasangan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

IKLAN