Izin suami perlu isteri dapatkan sebelum melakukan sesuatu perkara walau pun sekadar hendak pergi berkunjung ke rumah mak ayah sendiri. Bagi wanita Islam, izin suami wajib diperoleh, jika tidak boleh jatuh haram.
Suami pula janganlah sampai gunakan kuasa mereka itu untuk kawal isteri berlebihan. Asalkan isteri keluar bukan melakukan perbuatan maksiat, takkan tak boleh bagi izin kan?
Izin Isteri Ber’Me Time’
Tugas menjaga keluarga bukan mudah. Tak kira bagi isteri yang bekerja atau pun yang bergelar suri rumah tangga. Tugas mereka tak habis-habis. Penat fizikal dan penat mental. Tapi mereka melakukan dengan ikhlas kerana sedar itu adalah tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Walau bagaimana pun, suami kena faham, kalau asyik fokus dengan keluarga saja boleh buat isteri stres. Balik kerja, uruskan anak-anak dan rumah. Suami pula sebaliknya ada masa nak ‘ngopi’ dengan kawan, nak keluar jogging dan sebagainya.
Balik Kampung
Memang tak adil kalau suami hanya fikirkan dirinya saja. Bagaimana dengan isteri. Tidakkah terfikir isteri juga perlukan waktu untuk dirinya sendiri. Sebab itu, suami yang prihatin akan izin isteri untuk keluar melakukan aktiviti yang disukainya. Ada yang suka keluar bersenam, shopping dan sebagainya.
Ads
Tapi, pernah tak suami terfikir untuk izinkan isteri ber’me time’ dengan adik beradik dan ipar duai perempuan, bila kebetulan semua balik kampung? Kena ingat, bila bersama suami dan anak-anak, isteri biasanya takkan fokus pada dirinya. Masing-masing sibuk dengan anak-anak. Tapi kalau jumpa di luar, tentu berbeza. Mereka bebas berbual tanpa perku memantau anak-anak atau melayan suami yang minta itu dan ini.
Sesekali apa salahnya suami benarkan ‘geng isteri’ ini keluar bersama. Selain memberi ruang isteri melepaskan tekanan, dapat juga mengeratkan silaturahim dengan adik beradik dan ipar duai. Soal anak suamilah yang ambil alih buat beberapa jam. Takkan itu pun tak mampu kan?
Untuk isteri, usulkan pada suami rancangan anda itu lebih awal. Jadi suami ada masa untuk mengatur aktivitinya juga. Biasalah, kadangkala suami pun ada aktiviti sendiri, nak jumpa kawan lama dan sebagainya. Tapi, sebelum keluar rumah, pastikan masak dan bereskan segala kerja rumah terlebih dahulu. Pastikan anak-anak masing-masing sudah sedia mandi dan wangi.
Suami hanya perlu tolong tengokkan anak-anak. Tapi suami pula janganlah suruh isteri bawa bersama tiga empat orang anak. Itu bukan ‘me time’ namanya. Kecualilah ada bayi yang masih menyusu. Bolehlah isteri bawa sekali. Kalau anak-anak ikut bersama, dah tak jadi ‘me time’.
Mungkin suami-suami tak tahu, bila izinkan isteri mereka keluar, ia satu perkara yang amat dihargai oleh isteri. Contohnya adik beradik perempuan yang biasanya hubungan lebih erat sejak kecil. Mereka sedar, bila dah beranak pinak, susah nak keluar bersama macam zaman remaja. Jadi, bila suami benarkan mereka keluar bersama, ia membangkitkan kenangan lama. Tentu mereka gembira menghabiskan masa bersama tanpa gangguan. Tak kisahlah walau sekadar pergi ke spa, jalan-jalan di mall atau pergi cuci mata di kedai emas…
Bila balik, pasti mood isteri akan berubah ceria. Walau pun sekejap, percayalah ia sudah buat mereka happy. Mereka sangat menghargai peluang yang diberikan itu kerana sedar ia sukar nak diraih lebih-lebih lagi bila saling berjauhan dan komitmen pada keluarga masing-masing. Tak percaya? Cubalah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jangan main-main dengan wang nafkah untuk isteri. Mungkin ia nampak remeh tapi sebenarnya ia sangat penting buat suami. Jangan ingat isteri bekerja, wang nafkah bulanan terutamanya tidak perlu diberikan pada isteri dan masing-masing sama membantu menguruskan rumah tangga.
Memang zahirnya, isteri tidak kisah dengan wang nafkah bulanan pemberian suami terutamanya bila isteri sendiri bekerja dan ada pendapatan sendiri. Namun, sebagai suami yang bertanggungjawab, walaupun sedikit atau suami bergaji lebih rendah daripada isteri, itu sudah cukup menggembirakan isteri.
Sekurang-kurang, bila isteri bersama-sama dalam membantu menguruskan perbelanjaan rumah, ucapan terima kasih pun sudah cukup membuatkan hati isteri berbunga-bunga.
Perkongsian daripada Mahyuddin Mohamed diharap dapat membuka mata suami di luar sana dalam kewajipan seorang suami dalam memberi nafkah bulanan buat isteri.
Ramai suami yang pandang remeh Nafkah Bulanan buat isteri masing-masing. Ada yang TIDAK TAHU & ada yang BUAT-BUAT TAK TAHU. Ada juga LANGSUNG TAK AMBIL TAHU.
Jangan terkejut kita seorang lelaki yang bergelar suami tidak tahu yang memberi nafkah buat isteri itu WAJIB.
Ada yang tidak pernah beri wang kepada isteri. Jika isteri tidak memaafkan & menghalalkan, maka suami akan sentiasa berada dalam keadaan berdosa.
Berilah duit nafkah bulanan kepada isteri kita. Tak mampu banyak, beri sedikit. Tak mampu RM200, berilah RM100. Jika tak mampu juga, berilah RM50 atau RM10. Jika masih tidak mampu juga, suami perlu minta isteri halalkan perbelanjaan yang dibuat dengan menggunakan wang isterinya.
Biasa dengar tak dialog kat atas? Atau biasa buat? Sebenarnya, kalau kita nak bahagi-bahagikan pembayaran bil letrik, air, pinjaman kereta atau rumah sekalipun, kita kena minta isteri halalkan.
Aku takut berdosa dan pernah TIDAK TAHU mengenai wang nafkah buat isteri dan urusan perbelanjaan keluarga.
Malah, aku tidak malu mengakui yang kami sama-sama tidak tahu perkara ini waktu mula-mula mendirikan rumah tangga 18 tahun dahulu. Masa tu student lagi. Kat luar negara pulak tu. Bila mula bekerja pada 2002, kami belanja sendiri-sendiri. Perbelanjaan dan bil pula dibahagi-bahagikan.
Aku tidak beri duit nafkah kepada isteriku kerana waktu itu aku TIDAK TAHU mengenai perkara ini. Isteriku juga TIDAK TAHU. Lagi pun, sangkaku, gaji isteriku pun sama banyak dengan gaji aku. Kenapa nak kena beri lagi.
Tapi sangkaanku silap. Gaji aku hanya cukup-cukup sahaja. Cukup bulan gaji habis. Pernah terjadi, duit tinggal RM10 sahaja sehari sebelum gaji masuk.
Perkara ini berubah lebih kurang 10 tahun yang lalu (aku tak ingat tarikh sebenar) apabila kami mula TAHU mengenai duit nafkah seorang isteri ini. Duit untuk isteri belanja beli apa sahaja yang dia mahu & bila sahaja dia mahu.
Duit ini tidak termasuk duit belanja dapur, ikan, ayam, sayur. Tidak termasuk baju kain isteri. Tidak termasuk syampu, ubat gigi & toiletries lain. Perbelanjaan ini semuanya mesti ditanggung oleh suami. Tapi kalau isteri tersayang nak tolong, takde salahnya kan?
Aku mula memberi duit nafkah bulanan buat isteriku & aku mohon beliau halalkan setiap sen yang aku tidak lunaskan sebelumnya. AlhamdulilLah isteriku halalkan. AlhamdulilLah leganya hati. Lapangnya dada.
Pasti ada suami yang merasakan ia seakan tidak adil. Namun percayalah, terdapat keberkatan dalam memberikan duit nafkah isteri kita. Islam itu Adil. Percayalah.
Sejak memberi wang nafkah bulanan buat isteri, rezekiku bertambah & mencurah-curah. Kehidupan menjadi lapang & mudah. Segala keperluan sentiasa dalam kecukupan. Isteri apatah lagi, gembira sokmo. Bibir sentiasa dihiasi Senyuman manis.
Ada keberkatan dalam pemberian wang nafkah bulanan isteri kita.
A Happy Wife leads to a Happy Home & Happy Family. (A grumpy wife… Anda jawab sendiri…)
Jika anda belum lakukan, mulai dengan hari ini. Berilah duit nafkah belanja isteri anda. Nanti lihatlah perubahan positif dalam kehidupan anda sekeluarga, Insya Allah.
MW: Walaupun pemberian nafkah bulanan itu sedikit, ia sudah cukup menggembirakan isteri. Percayalah, isteri turut berdoa agar suami dimurahkan rezeki.
Seronok bila ajak tetamu datang dan buat acara makan-makan di rumah kita Tapi musim sekarang kenalah patuhi SOP ye). Kata orang, tetamu yang hadir akan bawa rezeki untuk tuan rumah. Tak kira acara makan-makan adik beradik atau rakan-rakan. Cuma, kena rancang betul-betul agar tak kelam kabut jadinya nanti!
Orang yang suka belanja atau jamu orang lain makan selalunya akan murah rezeki. Malah besar pahalanya bila kita kongsi rezeki dengan orang lain. Tak perlu tunggu kaya barulah nak ajak tetamu datang rumah dan buat acara makan-makan. Bahkan tak perlu dalam jumlah yang ramai pun…
Boleh mulakan dengan ajak adik beradik datang. Masaklah apa yang mampu dan tak perlu yang bajet mahal pun. Ikut kemampuan. Insya-Allah, tatamu yang datang pasti akan puas hati. Yang penting, masak daripada hati ye.
Nak ajak orang datang rumah, pastilah isteri yang akan paling sibuk dan penat nak urus itu dan ini. Ada suami yang suka ajak kawan-kawan datang makan. Memang bagus kerana isteri pun senang hati dapat kenal siapa kawan suaminya.
Yang tak bestnya jika ia secara tiba-tiba. Bukan apa, suami kena faham. Wanita ni lain sikit. Bagi lelaki mudah je; kita jemput orang akan datang. Simple. TAPI untuk isteri, dia akan lihat di sebalik semua itu. Kalau suami cakap nak ajak kawan makan, beberapa hari sebelum tu dia dah fikir menu apa nak masak. Belum lagi nak kemas rumah.
Bila tetamu nak datang, mestilah nak kemas rumah apa yang patut. Takkan nak biar rumah berselerak. Waduh, mana nak letak muka oi..Suami lain lah, boleh buat ‘dek’ je. Sebab itu wahai suami, tolonglah beritahu isteri walau pun dalam tempoh 24 jam. Percayalah, macam lipas kudung isteri kemas rumah dan buat persiapan.
Ada suami yang jenis nak hidangkan makanan panas buat para tetamu. Ye, memang tak salah. Tapi tengoklah pula apa yang nak dihidangkan. Ini, dah la masak masak macam-macam jenis, semua disuruh masak last minute hinggalah bila tetamu datang isteri masih lagi terkial-kial berpeluh sakan di dapur memasak.
Kasihan isteri, silap hari bulan, orang ingat dia bibik! Isteri pun tentu tak selesa nak sambut tetamu dengan tubuh bau dapur dan muka berminyak. Tak pasal-pasal mood isteri pula ke laut! Lagi satu, seeloknya bila tetamu datang, tuan rumah ada masa untuk duduk sembang sama-sama. Ini kalau isteri masih sibuk di dapur, macam mana dia nak layan tetamu berborak?
Seeloknya, biar isteri masak awal. Ada masa isteri nak mandi, bersiap dan berwangi-wangian. Barulah seronok dia nak raikan tetamu. Lebih-lebih lagi kalau yang datang kawan suaminya yang datang sekeluarga, yang mungkin pertama kali bersua. Tentu tak selesa pertama kali jumpa isteri tak semengah rupanya.
Tak bermaksud isteri nak bermekap tebal, cukup dia sempat mandi dan pakai elok-elok sikit. Selesalah bila nak berbual-bual dengan tetamu nanti. Tak gitu?
Suami kena ambil perhatian! Selepas tetamu balik, suami tolonglah bantu isteri kemas apa yang patut. Jangan harapkan isteri seorang saja mengemas. Kalau anak-anak dah besar, bolehlah juga bantu. Kalau anak-anak kecil? Setidaknya tolonglah lap meja dan sapu sampah.
Barulah isteri rasa seronok. Taklah dia rasa terpaksa kalau lain kali suami bagitahu nak ajak kawan dia datang makan di rumah lagi.
Kalau memang ada bajet lebih, boleh lah nak order makanan. Sekarang senang, ramai yang menjual makanan secara online di rumah. Taklah penat masak. Tak gitu? Cuma kepuasannya berbeza bila hidangkan para tetamu dengan makanan yang kita sendiri masak dengan yang kita tempah. Tapi, buat tambah menu tak salah. Asal ada hidangan yang kita sendiri masak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebelum ini tular kisah Adik Adam atau nama penuhnya Muhammad Adam Mikhael yang berumur 3 tahun demam rindu, pengasuh sanggup naik motosikal datang ziarah walau jarak jauh dari rumahnya.