Bila direnungkan, sebenarnya terlalu banyak hikmah di sebalik musibah yang melanda negara kita sekarang. Termasuk soal hubungan antara suami isteri. Ini bukan merujuk kepada layanan di bilik tidur. ye Tapi hal-hal kecil yang mungkin isteri tak perasan tapi ia mampu membuatkan hati suami kembang kempis bahagia tau!
Hati suami pasti girang bila lihat isteri sentiasa ada di depan mata. Kalau tak, masing-masing sibuk kerja hingga masa nak sembang bersama pun susah. Jadi diharapkan tempoh PKP ini, dapatlah suami isteri rebut peluang untuk mantapkan kasih sayang antara satu sama lain.
Dalam Tak Sedar Ramai Isteri ‘Lupa’ Suami
Namun, ramai isteri yang sibuk uruskan anak-anak dan buat kerja rumah hingga ‘lupa’ suami juga perlukan perhatian. Sama macam anak-anak, suami juga mengharapkan isteri akan lebih mengambil tahu tentang dirinya.
Janganlah asyik 24 jam duduk dapur dan layan anak-anak je! Dia pula umpama tunggul bernyawa! Bukan mengada-ada, tapi suami pun nak layanan dan perhatian isteri tersayang. Tak salah kan? Kalau dulu alasan sibuk, ni bila 24 jam di rumah, takkan tak ada langsung masa untuk suami?
Foto sekadar hiasan.
Buatkan Air Minum Suami
Bagi isteri yang bekerja, selama ini, bila balik kerja tentu sibuk uruskan hal anak dan rumah tangga pula. Jadi, suami pun faham situasi itu dan tak kisah jika air minum pun isteri tak buatkan.
Ads
Tapi, bila dah ada di rumah sekarang, apa salahnya buatkan air minuman untuk suami. Ya, memang suami boleh buat sendiri, bukan susah pun. Tapi cuba tanya pada suami. Pasti dia kata, air minum bancuhan isteri sedapnya lain macam. Terasa dirinya disayangi!
Masak Makanan Kegemaran Suami
Kadangkala tak boleh salahkan suami juga bila ‘cemburu’ pada anak-anak sendiri. Kalau 100% perhatian isteri untuk anak, mesti rasa diri mereka terpinggir. Jadi, isteri kena bijak main peranan.
Bila dah seluruh masa di rumah, inilah saatnya cuba ambil hati suami. Tanya apa dia nak makan hari tu. Jangan asyik tanya apa anak-anak nak makan saja. Suami pun mesti ada keinginan. Tentu suami rasa bahagia bila isteri masih pentingkan dia. Suami kot!
Ads
Potong Kuku
Dah berapa lama agaknya anda tak potong kuku suami? Kalau selama ini tak ada masa, sekarang ini bolehlah lakukannya. Misalnya pada pagi Jumaat, potongkan kuku suami, dapat pahala tau. Sambil itu, bolehlah berborak-borak santai.
Picit Suami
Tak boleh salahkan isteri juga, bila dah penat kerja dan balik kerja bergegas masak untuk malam makan malam. Akhirnya ‘bateri’ pun makin lemah. Jadi, bila suami minta picitkan badan, mulalah berdolak dalih sebab dah penat sangat. Sekarang, ada banyak masa untuk picit suami. Sambil sama-sama tengok tv pun boleh lakukan picitan manja. Kadangkala suami ni nak belaian isteri je..nak bermanja.
Ini hanya sebahagian kecil contoh yang anda boleh lakukan untuk mengeratkan hubungan dengan suami. Sebenarnya ada banyak lagi. Kena ingat ye, walau dah berapa lama anda kahwin, suami tetap ingin dirinya dihargai isteri. Barulah dia tak pandang perempuan lain dah!
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak dan ayah merupakan anugerah dan rezeki Allah berikan kepada manusia. Berapa ramai manusia di dunia yang mana Allah takdirkan dia sebagai anak yatim. Tanpa ayah, tanpa ibu.
Dan berapa ramai di dunia ini yang Allah takdirkan dia sebagai anak tanpa ayah. Ramai juga umat manusia di dunia ini yang Allah takdirkan dia tidak merasai sentuhan kasih sayang seorang ayah dan ibu.
Tiba-tiba kita yang Allah berikan kurniaan nikmat, sentuhan kasih sayang mak ayah sejak kecil, mensia-siakan kehidupan mereka. Lagi-lagi bila mereka telah berumur dan tak memiliki daya kekuatan malah harta.
Jangan sampai jadi macam itu ya. Sebenarnya tak susah mana pun nak bahagiakan hati mak ayah. 5 pesanan inilah yang dikongsikan kaunselor Mohd Taufiq Bin Mahmod.
Sebab bila mak ayah dah tiada, tip yang dikongsikan ini dah tak ada maknanya. Menangis air mata darah pun dah tak guna. Kerana mak ayah itulah sebenarnya satu-satu harta yang paling berharga dalam hidup anak-anak.
5 Tip Bahagiakan Mak Ayah
1. Bekalkan Mak Ayah Pemakanan Dan Vitamin Yang Baik
Sentiasa menjaga pemakanan ibu dan ayah agar mereka sentiasa memperoleh nutrien makanan yang seimbang terutamanya zat besi seperti kalsium, vitamin dan mineral.
Berhati- hati dengan produk kesihatan yang tidak mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bimbang lain pula jadinya nanti.
2. Bawa Mak Ayah Ke Masjid Agar Mudahkan Urusan Ibadah Mereka
Jika dapat bersama dengan ibu ayah dengan menjalani aktiviti kerohanian berjemaah adalah sangat baik.
Misalnya seperti menghadiri majlis ilmu di surau/masjid, solat berjemaah bersama, membaca Yasin berjemaah atau bertadarus al-Qur’an dalam keluarga.
Jika dilakukan sebulan sekali bagi anak –anak berjauhan dan seminggu sekali bagi anak –anak yang tinggal bersama.
3. Mak Ayah Tak Nak Duit Kita Pun, Cuma Nak Anak Luangkan Masa Je
Golongan yang dikenal sebagai warga emas mempunyai banyak pengalaman dalam hidup. Mereka sangat suka berbual panjang apabila ada orang muda yang sudi mendengar celoteh pengalaman mereka.
Dalam situasi ini, sebagai anak perlu mendengar dan menghormati mereka walaupun boleh jadi cerita mereka adalah cerita berulang.
4. Yang Jauh Di Mata Mak Ayah Tu, Call Lah Mereka Selalu
Setiap detik dalam hati dan perasaan setiap ibu dan ayah, selepas Allah dan Nabi Muhammad SWA, anak- anak adalah sebahagian hidupnya.
Sebaiknya hubungilah mereka seperti mana kita berhubung dengan Allah sebanyak 5 kali sehari.
Dari Abdullah bin Amr radliallahu & #39;anhuma dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Redha Allah terdapat pada redha seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa.” (HR Tirmizi no:1821) Status: Hasan .
Justeru itu, berikan komitmen untuk sentiasa menghubungi mereka pastinya hikmah amalan tersebut
akan dinikmati oleh anak yang soleh.
5. Minta Restu Mak Ayah Kalau Nak Buat Apa-apa.. Penting Ni!
Sentiasa mendapatkan nasihat yang baik daripada ibu dan ayah kita. Yakin dan percayalah bahawa nasihat yang diberikan oleh ibu dan ayah merupakan senjata doa yang mustajab untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat.
Insyaallah
Sebab Itu Tak Boleh..
Kepada anak-anak yang masih ada mak dan ayah, jangan biarkan mereka bersendirian di bilik, jangan biarkan mereka hidup tanpa sentuhan kasih anak.
Hindari diri mereka daripada berasa perasaan terguris perasaan kepada anak –anak.. Dakaplah mereka, berikan ciuman kasih sayang sebaiknya dan doakanlah mereka dengan kebaikan.
Semoga amalan kita menjaga ibu dan ayah dengan baik di dunia ini pastinya Allah memberikan sebuah istana di syurga kelak.
Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Reda Apa Yang Terjadi
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Dibaringkan Berdekatan Suami
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Berkat Kuasa Doa
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Kerja Baru
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Seronok Sertai Persatuan
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.
Syukur anak-anak mampu dibesarkan dengan sebaik mungkin
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tular satu video di facebook…mengenai isi perbualan antara sepasang suami dan isteri. Rata-rata komen yang ditinggalkan mencemuh tindakan suami yang seolah-olah merendah-rendahkan maruah isteri dengan sengaja mencari isu demi isu, atas nama ‘prank’.
Menurut Ustazah Isfadiah Ahmad Dasuki yang dihubungi MW petang tadi, sebenarnya gurauan antara suami isteri itu ada waktunya berbunyi agak kasar dan kedengaran menyakitkan hati. Walau bagaimanapun ianya adalah gurauan normal dikalangan mana-mana pasangan suami isteri.
Gurauan ini akan menjadi sebaliknya, sekiranya dirakamkan dan dimuat naik ke platform media sosial. Sekaligus ia membuka ruang untuk orang luar meninggalkan komen, membuat penilaian dan menghentam perbuatan itu.
Tambah Ustazah Isfadiah lagi, jangan kerana mahu mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai jadi manusia yang lupa mengejar ‘like’ Allah SWT.
“Pada pandangan saya ini merupakan perkara yang berkaitan suami isteri yang sepatutnya tak perlu pun didedahkan kepada umum. Ia termasuk dalam perkara yang harus dihijab atau ditutup oleh pasangan suami isteri dan bukan untuk bahan pengisian dalam media sosial. Mungkin bahasa gurauan tersebut hanya difahami oleh pasangan itu sahaja.
“Sebaliknya apabila dikongsikan di media sosial, kita khuatir ia menjemput penyakit hati, mengundang emosi marah dan menjadi perkara yang mengaibkan. Janganlah kerana mengejar ‘like’ dari manusia, kita sampai terlupa mengejar ‘like’ dan keredhaan dari Allah SWT,”pesan beliau.
Berpada-padalah berkongsi hal rumah tangga di media sosial kerana ia perkara yang perlu disimpan dan bukan untuk tatapan umum
Elakkan mengikut budaya negatif
Budaya prank ini adalah satu bentuk gurauan melampau bertujuan untuk menunjukkan perangai dan sisi lain seseorang. Elakkanlah terikut-ikut dengan budaya yang tak memberi manfaat. Sebaiknya dalam mengejar redha Allah, suami mahupun isteri haruslah saling sakinah, rahmah dan mawaddah dalam sesebuah perkahwinan.
Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, benarlah firman Allah SWT:
Maksudnya:“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.
(Surah Al-Rum: 21)
Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman.
Menurut Ustazah Isfadiah lagi, suami haruslah menjadi pelindung dan pemimpin yang baik kepada isteri serta rumah tangga. Kita berkahwin untuk dapatkan redha Allah, bukan hanya cinta semata-cinta. Berhati-hatilah dalam bergurau.
“Budaya ‘prank’ kan pasangan masing-masing ini telah menjadi popular sejak akhir ini. Budaya gurauan melampau ini perlu dielakkan. Elakkan melakukan perkara yang lagha, sia-sia sama ada di dunia mahupun akhirat. Sebaiknya sama ada suami atau isteri kedua-duanya haruslah menjaga aib yang sepatutnya dalam rumah tangga dan bukan sebaliknya. Berpadalah dalam bergurau,”ulasnya.
Elakkan mengecam
Budaya berkongsi perkara lagha terutamanya mengenai hal ehwal serta isu rumah tangga ke media sosial ini sangat tidak baik dan menakutkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah keluarga sendiri. Melakukan perkara lagha (perkara sia-sia yang tak membawa faedah) demi nak popular di media sosial bukanlah perkara yang diunjurkan dalam Islam.
“Sebaiknya jadikan isu ini sebagai panduan. Elakkan mengecam, sebaliknya titipkan nasihat yang baik-baik. Apa yang membimbangkan orang yang kita kecam itu, mana tahu satu hari nanti…Allah pula akan mengangkat darjat mereka dan menjadikan mereka manusia yang lebih baik dari apa yang kita sangka. Wallahualam,”ulas Ustazah Isfadiah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...