Berita Sosial

Isteri Orang Dicekup Berkhalwat Dengan Lelaki Bujang Ketika Suami Ditahan Penjara

Share

Isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki bujang ketika suami ditahan penjara.

Seorang isteri orang dicekup berkhalwat bersama seorang lelaki bujang dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah teres dua tingkat di sini selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang awam.

Menurut penguatkuasa daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) (FB Lampu Suluh Operasi Maksiat JAINJ), sepasukan anggota penguat kuasa tiba di lokasi kira-kira jam 12.40 tengah malam dan mendapati pintu pagar rumah berkenaan dalam keadaan tertutup tetapi tidak berkunci. Pemeriksaan di halaman rumah menemukan sebuah kereta dipercayai milik wanita terbabit serta sebuah motosikal kapcai yang dipercayai milik lelaki berkenaan.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, beberapa anggota ditempatkan di bahagian belakang rumah bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri, manakala anggota lain mengetuk pintu hadapan sebelum ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia 26 tahun.

Pemeriksaan di dalam rumah kemudian membawa kepada penemuan seorang lelaki berusia 27 tahun sedang berada di tingkat atas berhampiran sebuah bilik tidur.

Isteri Orang Dicekup Berkhalwat Dengan Lelaki Bujang
Pasangan ini berbuat maksiat ketika suami wanita ini ditahan penjara

Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua individu mengaku tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri.

Lelaki terbabit merupakan seorang bujang yang menetap bersama keluarganya di Kluang, manakala wanita itu masih berstatus isteri sah, namun tinggal bersendirian selepas suaminya menjalani hukuman penjara sejak beberapa bulan lalu. Pasangan berkenaan juga dilaporkan tidak mempunyai anak.

Menurut JAINJ, kedua-duanya mengakui sudah saling mengenali sejak beberapa tahun lalu dan hubungan mereka menjadi semakin rapat selepas wanita tersebut tinggal bersendirian.

Serbuan Hasil Aduan Orang Awam

Siasatan turut mendapati lelaki berkenaan datang ke rumah wanita itu sekitar jam 10 malam selepas mereka berhubung menerusi aplikasi WhatsApp. Tidak lama kemudian, seorang pengadu yang melihat lelaki terbabit memasuki rumah berkenaan menghubungi pihak JAINJ untuk membuat aduan.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mendapati hanya sebuah bilik digunakan, manakala dua lagi bilik dijadikan ruang simpanan.

Susulan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah bagi tindakan selanjutnya.

Difahamkan, pengadu kemudian menghubungi pihak penguat kuasa bagi merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas JAINJ selain memuji profesionalisme anggota yang tidak mendedahkan identiti pemberi maklumat sepanjang operasi dijalankan.

JAINJ turut mengingatkan masyarakat supaya menjauhi sebarang perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan undang-undang, di samping terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku kesalahan jenayah syariah di kawasan masing-masing. Sumber: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Published by
Almaswa Haji Che Ros