Isteri Dr Taufiq Razif – “Alhamdulillah, sujud syukur…” Semoga semua aktivis pulang (ke tanah air) dengan selamat dan terpelihara,” ujar Dr Nabilah Mohd Rubani, 37, apabila mendapat perkhabaran mengenai pembebasan suaminya, Dr Taufiq Mohd Razif, 35.
Dr Taufiq merupakan salah seorang daripada aktivis yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza.
Berkongsi rasa syukurnya, Dr Nabilah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan, penganjur serta penaung misi yang telah memainkan peranan penting dalam usaha pembebasan kesemua tahanan.
“Terima kasih kepada pihak penaung dan penganjur atas strategi mantap. Ia disertai pertolongan Allah SWT yang datang daripada jalan yang tidak dijangka.
“Kami sentiasa menyokong perjuangan ini dan akan kembali jika diperlukan hingga Baitul Maqdis merdeka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel sudah pun dilepaskan.
Menurutnya, para aktivis akan dibawa terlebih dahulu ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye.
Anwar turut menyatakan bahawa kumpulan tersebut dijangka kembali ke tanah air sama ada pada malam esok atau lusa.
Sumber: Harian Metro dan Berita Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE