
Dalam video yang dikongsikan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) lelaki tersebut yang terlalu kecewa berkata, “Kau aku tak tumbuk kau dah baik tau, lagi kau nak ‘langsi’ dengan aku ek,” luahnya sambil dirinya disabarkan oleh anggota penguatkuasa.
Isteri ditangkap sedang berdua dengan lelaki bukan muhrim
Dalam satu tangkapan khalwat oleh JAIM itu, isteri ini ditangkap bersama seorang lelaki lain dalam serbuan di sebuah rumah di Krubong pada jam 10.00 pagi.
Menerusi video yang dimuat naik, tangkapan ini dilakukan oleh imam yang bertugas bersama pihak penguat kuasa JAIM selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di rumah berkenaan.
“Tangkapan dilakukan oleh imam bersama penguat kuasa JAIM menahan isteri orang berkhalwat di siang Ramadan.
“Namun kekecohan berlaku antara si isteri (orang yang disyaki) dan si suami yang berada di tempat kejadian kerana kecewa dengan perbuatan isterinya yang memalukan itu.
“Video ini bukan untuk mengaibkan, tetapi memberi kesedaran kepada masyarakat sebagai kempen ‘amal makruf nahi munkar’,” menurut kenyataan itu.
Rakaman itu turut menunjukkan anggota penguat kuasa terpaksa meleraikan pertelingkahan antara pasangan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pegawai penguat kuasa kemudiannya menerangkan kesalahan yang dilakukan pasangan itu yang ditahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak.
Kedua-dua individu terbabit kemudian dibawa ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan sebelum dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Kredit :- Harian Metro.