Suami Ismanira Emosi – “Semoga Allah Melaknat Kau. Kau Tunggu, Botak”

Share

“Semoga Allah melaknat kau. Kau tunggu, botak (menunjukkan jari ke arah pegawai penyiasat, Deputi Superintendan Mohd Hafizee Ismail).”

Itulah kata-kata yang dilontarkan oleh suami kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari, selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan peguam bela, Haresh Mahadevan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap isterinya.

Zaim Ikhwan dilihat gagal menahan emosi sebaik keputusan diumumkan, sebelum beberapa ahli keluarga termasuk ibu bapanya yang berada di galeri awam tampil menenangkannya dan mengiringinya keluar dari mahkamah.

Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh Hukuman

Terdahulu, peguam bela Haresh Mahadevan memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Ismanira Abdul Manaf

selepas wanita itu didapati bersalah atas tuduhan mengabaikan anak autistiknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.

Menurut beliau, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi pada hari sama.

Kredit foto: Sinar Harian

Hukuman Penjara Dan Arahan Tambahan

Dalam keputusan itu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira Abdul Manaf dan memerintahkan tempoh hukuman bermula dari tarikh sabitan. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tempatan serta cagaran RM3,000.

Selain itu, Ismanira juga perlu menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Latar Belakang Kes

Untuk rekod, pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira Abdul Manaf membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan yang ketika itu berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikan anaknya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Kredit foto: Sinar Harian

Peruntukan Undang-undang Dan Pendakwaan

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili oleh pasukan pembelaan yang terdiri daripada Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Kes ini terus menjadi perhatian umum kerana melibatkan isu tanggungjawab ibu bapa terhadap anak autistik, selain memberi pengajaran penting kepada masyarakat mengenai keperluan empati dan sokongan terhadap keluarga yang mempunyai anak istimewa.

Sumber: Berita Harian 

 

Artikel sebelumnya: Ismanira Menangis Teresak-esak Bila Peguam Petik Nama Adik Bongsu Zayn Rayyan, Rayu Hukuman Lebih Ringan

Ismanira Didapati Bersalah Abai Zayn Rayyan

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has