Anak-anak dah mula cuti sekolah! Haaa… mesti ada yang gigih mencari tempat yang sesuai untuk bawa anak berjalan. Ibu ayah, rancanglah aktiviti anak-anak dengan bijak. Banyak pengisian yang bermanfaat di musim cuti sekolah boleh diberikan kepada anak-anak. Banyak kem-kem motivasi yang boleh dihadiri. Ada juga kelas intensif belajar Al-Quran. Ada juga kelas-kelas tahfiz Al-Quran. Hantarlah mereka untuk mendalami ilmu tersebut.
Tetapi kalau ada bajet lebih boleh bawa ke lima tempat ini…
1. Kidzania Damansara
Bawalah anak ke sini sebabnya kidzania mendedahkan anak-anak dengan suasana kerja yang sebenar. Di sini nanti anak-anak akan membuat dan diberi tugasan mirip kerja sebenar. Jadi anak akan jadi biasa dengan pekerjaan yang diorang akan buat.
Kerja anak kat dalam tu siap ada gaji. Anak akan dapat duit khas Kidzania bila diorang dah buat task untuk kerja yang dipilih. Duit ni boleh ditukarkan dengan barang kat kedai khas dalam tu. Duit ni kalau tak habis belanja boleh disimpan dalam bank khas Kidzania. Next time kalau datang lagi boleh withdraw dan ambik duit tu untuk campurkan dengan duit terkini.
2. Genting Strawberry Leisure Park Genting
Ads
Antara tarikan pengunjung ke Genting Highland. Best juga pergi petik strawberry kat sini. Fefeeling duduk luar negara!
3. Farm in the City
Tempat ini sesuai untuk anak kecil dan sesuai yang pra sekolah atau anak yang baru nak kenal binatang. Tempat tak besar macam zoo negara, jadi tidaklah penat nak berjalan.
Ads
Lagi best, binatang dia jinak-jinak. Boleh bawa selfie sekali. Ada banyak kura-kura kat situ dan pengunjung bebas untuk memberi makan daun yang disediakan.
Tapi awas..! Jangan biarkan anak kecil bagi makan kura-kura gergasi ni sendirian. Risau berlaku perkara yang tak diingini, sila pantau!
4. Sunway Lagoon
Banyak benda boleh layan kat sini. Ada permainan adventure, ada permainan air siap dengan tempat luncur air, ada juga mini zoo kat sini.
5. Sekinchan
Ads
Tak ramai yang tahu Sekinchan ini menarik untuk dilawati. Mana nak cari tempat berdekatan dengan KL ni yang ada pantai dan sawah padi. Kombinasi ini memang menjadikan Sekinchan sebagai tarikan utama.
Makan seafood murah kat sini. Nak tengok sawah padi yang menghijau luas pun boleh. Wishing Tree dan melihat kunang-kunang di waktu malam juga jadi point menarik untuk ke sini.
Pilihan bajet tapi bagus untuk anak-anak…
Atau paling kurang bawalah mereka ke perpustakaan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Galakkan mereka meminjam buku di perpustakaan untuk dibaca diantara kunjungan ke perpustakaan seminggu sekali itu. Galakkan mereka habiskan pembacaan sebelum lawatan yang seterusnya.
Sediakan buku log untuk catitkan buku-buku yang telah dibaca, beserta penulis, tarikh mula dan habis baca dan sedikit sinopsis. Jadikan ini sebagai pertandingan diantara adik beradik. Nanti diakhir cuti sekolah, bagilah sedikit hadiah untuk menyukakan hati mereka.
Apa-apa pun rancanglah cuti anda dan cuti sekolah anak-anak anda dengan bijak!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kisah anak-anak dan barangan sekolah mewah ini memang takkan habis kalau nak dikongsikan. Kalau tak anak-anak menangis sebab barang hilang, atau tertukar dengan kawan, mak ayah lah yang ‘penasaran’. Lagi-lagi barang sekolah tu bukan seringgit dua punya harga.
Ini termasuklah beg sekolah, bekal makanan anak, malah kasut pun.. tak perlulah belikan yang mewah-mewah selagi, anak belum faham sangat macam mana nak pelihara barang miliknya dari tertukar, atau tercicir di sekolah.
Sebab sudahnya nanti, kecohlah satu wasap grup kelas yang kesudahannya, buat orang lain resah sama. Kalau dah sampai tak boleh bawa bincang itu, dah lain jadi kisahnya.
Betul sangat apa yang dikongsikan Khairul Kamilin ini, bila mana kes keciciran, kehilangan malah tertukar barang anak-anak sekolah ini.
Sebelum Nak Bekalkan Anak-anak Dengan Barangan Branded
Ceritanya gini je.
Korang kalau nak bekalkan anak-anak ke sekolah dengan barang-barang branded, mahal-mahal, tak kisah lah tupperware ke, smiggle ke, smuggle ke,
pastikan korang beli barang-barang tu dengan perasaan macam dato vida beli barang.
“Oh, ini harganya dua ratus pat puluh ribu JER”
ha, gituh.
Kalau hilang pun jawab gini je,
“hilang? tak pe, esok kita gi pavillion, mama belikan lagi ya nak”
gitewwh.
Jadi idok ler cikgu bising.
Sudahnya Jadi Satu Kerja Dekat Cikgu..
Ini tidak.
Kau dah bagi anak bawa barang mahal-mahal ke sekolah, setiap sejam wasap cikgu tanya
si Daniel masih sangkut tupperware kat leher ke tak, beg smiggle ada tetas benang ke tak,
pastu bila hilang, kau meroyan dekat seminggu dalam group wasap tuduh cikgu, tuduh parent, tuduh anak orang lain, tuduh pakcik jaga yang ambil,
menyirap bandung lah cikgunya.
Faham?
Kalau takut disapu orang, jangan bersmiggle di depan kawan.
Gitu falsafahnya.
Bising bising, Smiggle tengkuk satu kali baru tau.
MW : Baca macam lucu kan.. tapi realiti ini benar-benar jadi.
Bergelar ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi buat wanita yang mempunyai enam orang cahaya mata. Selepas berpisah dengan suami sememangnya hidup wanita ini cukup menderita. Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Namun dia tidak mahu terus dibuai perasaan dan melepaskan jiwa yang gundah itu sejauh yang mungkin. Demi anak-anak dia bangkit dan mengharungi kehidupan yang sememangnya sukar untuk dilalui.
“Alhamdulillah Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Namun sekarang Allah pilih saya untuk menjadi seorang peniaga. Dengan usaha yang dijalankan saya nekad untuk berniaga dan semuanya dilakukan demi masa depan anak-anak. Melalui perniagaan saya juga punya masa yang lebih dalam menguruskan anak-anak,” ungkap Nor Hafizah Abdul Aziz, 50 yang juga kini sudah bergelar nenek kepada dua orang cucu.
Nor Hafizah yang cukup peramah ini juga menerangkan dalam mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dia melakukan pelbagai perniagaan seperti berniaga nasi lemak, menguruskan majlis artis, menjual baju dan sebagainya untuk mencari sesuai nasi demi membesarkan anak-anak.
“Saya cukup beruntung kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya. Semua saya lakukan untuk mereka. Anak pertama Mohammad Azwan, 27, diikuti kedua Emiza Ezyln, 25, Alfian Akimi, 22, Mohmmad Amirul, 19, Asril Zhuri, 16 dan yang bongsu Ammar Yasin.
“Bagi membesarkan anak-anak saya berusaha sendiri. Jika terkenang masa dulu saya kerap menangis kerana sering melihat nasib yang tidak seberapa baik seperti orang lain. Malah ada kala saya cemburu dengan kebahagiaan yang dikecapi insan lain. Cuma pada masa yang sama saya kumpulkan kekuatan dan semangat untuk saya berjaya dan hidup senang seperti orang lain.
“Saya melihat satu persatu wajah anak ketika itu, timbul rasa semangat dan dari situlah munculnya kekuatan yang luar biasa. Pada masa itu anak-anak semua masih kecil dan perlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan persekolahan,” terang Nor Hafizah yang cukup tenang tatkala berbicara.
Pendam Masalah
Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan namun itu semua sedikit pun tidak mencarikkan semangat Nor Hafizah. Malah dia bersyukur kerana Allah sentiasa membuka luas pintu rezekinya terutamanya dalam bidang perniagaan.
“Walaupun hidup susah namun saya tidak suka susahkan sesiapa terutama keluarga. Ini kerana mereka punya tanggungjawab masing-masing. Tapi saya sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada saya untuk saya bangkit. Malah mereka juga antara tulang belakang yang penting dalam mendorong saya berniaga.
“Kini saya sudah mempunyai kios menjual Kuih Keria Gula Merah dan minuman di Shah Alam. Syukur alhamdulillah, dengan ilmu yang saya ada dalam bidang masakan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menjana pendapatan. Malah anak-anak juga akan membantu saya berniaga di kios,” ungkap Nor Hafizah sambil tersenyum.
Sokongan Padu Dari Mentor
Nor Hafizah juga turut menerangkan dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari rakan baiknya yang juga mentor buat dirinya iaitu Puan Rodiah. Malah kini Nor Hafizah juga sudah terlibat dalam bidang urutan dan bergelar Penasihat Kecantikan di RIAS Kosmetik.
“Saya beruntung dapat berkenalan dengan Puan Rodiah. Dialah orang yang selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya senang kata dia saya anggap sebagai seorang mentor. Dia juga bertanggungjawab menjaga rupa bentuk badan saya, supaya tak nampak gemuk dan lesu.
“Puan Rodiah merupakan seorang pengusaha bisnes kecantikan yang memiliki produk jenamanya sendiri di samping mempunyai jumlah pengedar produknya yang ramai. Rakan saya ini juga merupakan Pengarah Urusan merangkap pengasas produk jenama sendiri, RIAS KOSMETIK, yang mesra dipanggil sebagai Kak Rodi juga mempunyai salun kecantikan sendiri.
“Di salun ini lah saya akan membuat urutan jika punya masa luang. Malah Kak Rodi juga mengajar saya sehingga saya pandai mengurut dan terlibat dalam bidang kecantikan. Pada saya bukan senang nak senang dan bukan sesah hendak susah. Pucuk pangkal terpulang kepada hati,” terang Norhafizah yang tidak pernah patah semangat dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Bijak Kendalikan Masalah
Ditanya apakah nasihat yang akan diberikan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal di luar sana, Nor Hafizah menerangkan mereka perlu bijak dalam mengendalikan masalah yang mendatang.
“Dalam perkara ini, wanita yang bergelar ibu tunggal perlu bijak mengendalikan maslalah yang dihadapi. Dalam masa yang sama terus berusaha serta berdoa agar segala urusan dipermudah oleh Yang Maha Esa. Jangan malu dengan status diri dan jangan sesekali putus asa dalam hidup dan fikirkan semuanya demi kebaikan diri dan anak-anak,” akhiri Nor Hafizah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...