Insiden Sultan Perak diserang, wanita didakwa lakukan kekerasan jenayah. Seorang wanita berusia 41 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, baru-baru ini.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos lalu di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.
Mengikut kertas pertuduhan, tindakan tertuduh merupakan kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, memohon supaya pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan diambil kerana tertuduh disahkan menghidap skizofrenia ketika ditahan dan selepas pemeriksaan awal dijalankan.
Pihaknya turut mengemukakan permohonan agar Nurhaswani Afni menjalani pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, susulan pemantauan awal yang dijalankan di bawah Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh ketika insiden berlaku serta kelayakan membuat pengakuan untuk dibicarakan.
Selepas mendengar permohonan, Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan memerintahkan tertuduh ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi rawatan serta pemerhatian lanjut selama sebulan.
Pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala pihak pembelaan dikendalikan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan. Mahkamah menetapkan tarikh 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes, manakala tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berpakaian serba hitam berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak berkumandang. Kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi pada 31 Ogos lalu.
Siasatan awal mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain sejarah rawatan psikiatri dan kini masih berada di bawah pemantauan pakar. Beliau kemudian direman tiga hari sebelum dirujuk ke HBUK, Tanjung Rambutan untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE