Inkues Zara Qairina Bermula 3 September 2025, Seramai 195 Saksi Dirakam Percakapan

Share

Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, bermula 3 September ini dan dijangka berlangsung selama 19 hari.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah bersidang sebagai koroner, Azreena Aziz, menetapkan tarikh prosiding iaitu pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September.

Prosiding tersebut diadakan susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos lalu untuk menentukan punca kematian remaja itu serta sama ada wujud unsur jenayah. Difahamkan, seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan dan dijangka dipanggil sepanjang prosiding berkenaan. Namun menurut peguam keluarga, Shahlan Jufri jumlah saksi dijangka akan dikurangkan.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes berkenaan mendapat perhatian meluas selepas timbul dakwaan ia berkait dengan kejadian buli, sekali gus mendorong siasatan menyeluruh oleh pihak polis dan pasukan khas.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri, sebelum ini memaklumkan pihaknya akan memohon untuk terlibat secara aktif dalam prosiding inkues sebagai pihak berkepentingan, termasuk berhak menyoal balas saksi.

Selain prosiding inkues, polis turut menjalankan siasatan jenayah secara serentak bagi meneliti kemungkinan wujudnya unsur kecuaian atau salah laku sehingga menyebabkan kematian pelajar tersebut.

Published by
Almaswa Haji Che Ros