
Inkues dedah arwah Zara Qairina alami kecederaan otak teruk membawa kepada punca kematian. Saksi ke empat inkues Zara Qairina, Dr Pavankumar Balachandaran berkata, kecederaan otak yang teruk terjatuh dari tempat tinggi membawa kepada punca kematian pelajar tingkatan satu ini.
Jelasnya, pesakit dimasukkan ke Wad Neurosurgikal dengan diiringi oleh kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 16 Julai, jam 6.40 petang.
“Di wad, pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal pemulihan. Keluarga telah dimaklumkan secara terperinci mengenai ketiadaan refleks otak yang menandakan prognosis yang sangat lemah dan tidak menentu.
“Keadaan pesakit beransur-ansur merosot dan akhirnya meninggal dunia pada 17 Julai 2025, kira-kira jam 1.07 tengah hari.
“Punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati hipoksik-iskemik,” katanya ketika membacakan kenyataannya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika memberi keterangan sebagai saksi ke empat kes inkues mencari punca kematian arwah Zara Qairina yang ditemui di bawah asrama sekolahnya.
Jelasnya, mayat berada di wad sehingga pegawai penyiasat tiba.
Sebelum itu, pegawai penyiasat mengarahkan agar mayat Allahyarham Zara Qairina Mahathir dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik selepas berbincang dengan ibunya, Noraidah Lamat.
“Selepas perbincangan pegawai penyiasat dengan ibu si mati, pegawai penyiasat telah mengarahkan agar mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik,” katanya.
Dalam keterangan saksi terdahulu iaitu, Dr Janafer Voo yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, memaklumkan ketika arwah dibawa ke hospital, pemeriksaan doktor mendapati pesakit mengalami kesan tenaga kinetik yang kuat hingga menyebabkan kecederaan teruk berdasarkan penilaian awal yang dibuat selepas menerima pesakit.
Ditanya apakah dimaksudnya dengan kesan tenaga kinetik, Dr Janafer memaklumkan, mekanisme kecederaan membabitkan tenaga kinetik yang kuat atau laju atau hentakan yang kuat.
“Contohnya kes trauma, kami pegawai perubatan sentiasa menilai kecederaan pesakit yang dialami. Suspek pesakit mekanisme yang kuat atau ‘high impact’ seperti kemalangan membabitkan kematian semasa kemalangan itu atau mangsa terhumban jauh. Itu antara contoh, jatuh dari kawasan tinggi juga membabitkan impak yang kuat,” jelasnya semasa memberi keterangan hari ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI