Realitinya mak ayah.. membesarkan anak dengan ’sad parenting’ itu sememangnya wujud. Watak Joker adalah jelmaan ‘sad parenting’. Iaitu sejak kecil, anak melihat malah melalui krisis kehidupan yang bermacam, dan akhirnya itulah yang membentuk keperibadiannya.
Puan Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) ini memberi penjelasan detail bagaimana krisis ‘sad parenting’ dalam diri seorang anak membuatkan masa depannya jadi lebih kelam.
Moga keluarga kita dijauhkan dari semua ini. Ambil ikhtibarnya ya.
KRISIS DALAM HIDUP SEORANG ‘JOKER’
Watak Joker bukanlah terhasil dari ‘BAD PARENTING’.
Ibu Arthur hidup dalam kesedihan dan kemurungan selama 30 tahun membesarkannya dan selama itu jugalah Arthur juga hidup dalam kesedihan dan kemurungan yang perlu dinafikan dan dipakaikan topeng.
1. KRISIS KETIADAAN BAPA
Dalam dunia realiti, Amerika Syarikat sedang mengalami krisis ketiadaan bapa (father absence crisis) yang buruk dalam sejarah negara mereka. Menurut U.S Census Bureau 2017, 19.7 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat, iaitu lebih dari 1 daripada 4 kanak-kanak, tinggal di dalam rumah tanpa figura seorang ayah, baik ayah kandung, ayah tiri ataupun ayah angkat.
Bukan itu sahaja, dalam hampir kesemua masalah sosial yang berlaku di Amerika Syarikat, faktor ayah menjadi penyebab utamanya.
Watak ‘Arthur’ yang akhirnya menjadi penjenayah tegar dikenali sebagai ‘Joker’ mewakili mereka yang membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Walau apa jua masalah kesihatan mental yang dihadapi Arthur, dia mendambakan kehadiran figura ayah yang memeluknya, yang prihatin tentang dirinya, seperti yang diluahkan kepada Thomas Wayne: yang menghargai, dan yang sanggup berkorban apa sahaja kerananya seperti yang diucapkan Murray Franklin dalam delusi Arthur.
“You know this stuff, the lights, the show, the audience, all that stuff, I’d give it all up in a heartbeat to have a kid like you.”
Ads
Seumur hidupnya semua ini tidak pernah dirasainya sehingga membawa kepada kesakitan yang tidak mampu diluahkan.
Krisis sebegini bukan hanya masalah di Amerika Syarikat ataupun dalam dunia fiksyen komik DC semata-mata. Ketika Wacana Khas Gejala Sosial: Isu Anak Tak Sah Taraf yang diadakan di tanah air kita pada tahun 2011, pengukuhan kepemimpinan bapa atau golongan lelaki dalam keluarga menjadi fokus utama wacana kerana faktor kelemahan kepimpinan seorang ayah adalah penyumbang utama gejala anak luar nikah di negara kita.
2. KRISIS PENAFIAN EMOSI
Apabila ibu Arthur menceritakan kepada Pakar Psikiatri tentang Arthur yang sentiasa gembira semasa kecil dan dia tidak pernah melihat anaknya menangis, saya terus terfikir itu bukanlah sifat seorang anak yang seharusnya melegakan bagi seorang ibu.
Anak yang tidak menangis belum tentu menggambarkan anak yang sihat perkembangan mental dan emosinya. Setiap kanak-kanak akan menangis dan perlu menangis. Menangis bukanlah sesuatu yang negatif baik bagi anak perempuan ataupun anak lelaki.
Menangis bukanlah lambang kelemahan tetapi menangis adalah luahan emosi yang perlu diizinkan dan dibimbing kerana anak sedang membina kekuatan dalaman.
Bagi saya, menggelarkan Arthur dengan nama panggilan ‘HAPPY’ adalah satu cubaan oleh ibunya untuk memaksa Arthur supaya menyembunyikan perasaan dan memendam kedukaannya.
Ads
Memendam perasaan tidak akan menyahkan perasaan itu, sebaliknya memendam perasaan hanya akan merobek-robek jiwa dan kewarasan secara perlahan-lahan dari dalam diri.
Penafian emosi akan melahirkan masyarakat yang tiada empati, yang tidak dapat memahami perasaan orang lain, yang tidak peduli dengan kesengsaraan dan kedukaan orang lain yang akhirnya akan meruntuhkan masyarakat sebagaimana yang berlaku di Gotham City.
3. KRISIS KEPERCAYAAN
Arthur mengalami krisis kepercayaan yang sangat kritikal dalam hidupnya. Arthur diabaikan dan didera fizikal, mental dan emosi oleh individu yang rapat dengannya sewaktu kecil. Usia awal adalah fasa di mana seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekelilingnya dan membina kepercayaan kepada kemampuan dirinya sendiri. Penderaan semasa kecil akan meninggalkan kesan yang berpanjangan sekiranya anak yang didera tidak mendapat bantuan dan intervensi yang sewajarnya.
Seumur hidupnya dia tercari-cari individu yang boleh dipercayainya.
Hilangnya kepercayaan ini jugalah yang menyebabkan dia membunuh ibunya sendiri iaitu satu-satunya insan yang dipercayainya selama ini dan telah mengkhianatinya.
Kemarahan Arthur memuncak menjadi satu kegilaan apabila Murray Franklin, individu yang dibayangkan sebagai figura seorang ayah dan dikaguminya selama ini juga telah mengkhianati kepercayaannya. Arthur dimalukan oleh Murray di kaca tv untuk tontonan semua.
Ads
Plot ‘PUBLIC SHAMING’ sebegini mengingatkan saya kepada kejadian di tanah air kita sendiri di mana seorang ayah tergamak memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah anak itu dipukulnya. Begitu juga seorang ibu yang sanggup memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah ‘mengajarnya’ dengan melukis mata panda.
Tiada bezanya public shaming di dunia realiti di tanahair kita ini dengan public shaming dalam filem Joker ini.
4. KRISIS PERHATIAN
In my whole life, I didn’t know if I even really existed. But I do. And people are starting to notice.” Luah Arthur.
Apabila kewujudan seseorang diberikan perhatian hanya setelah dia melakukan kesalahan (atau jenayah), maka individu tersebut akan terus melakukan jenayah kerana hanya dengan cara itu dia menjadi perhatian dalam masyarakat.
Anak-anak kita juga begitu.
Sekiranya dengan melakukan kesalahan, kesilapan, tidak mendengar kata, sepah, melawan, degil anak mendapat perhatian kita sedangkan apabila dia berbuat kebaikan kita langsung tidak hargai dan endahkan, maka dia akan terus melakukan perkara yang negatif itu kerana hanya dengan begitu dia mendapat perhatian.
NEGATIVE ATTENTION IS ATTENTION
Semoga krisis ketiadaan bapa, krisis kepercayaan, krisis penafian emosi, krisis perhatian dan ‘sad parenting’ tidak berlaku dan berleluasa dalam negara kita ini kerana kita belum tentu dapat melahirkan BATMAN untuk berhadapan dengan Joker tersebut.
Sungguh menyayat hati, apabila pergaduhan suami isteri disaksikan anak-anak hampir meragut nyawa. Isteri melecur dibakar suami menggunakan petrol, malah anak sendiri yang melihat badan ibunya terbakar tolong memadamkan api kebakaran.
Berlaku Perselisihan Faham
Hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga, seorang lelaki bertindak membakar isterinya dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, semalam.
Kejadian jam 9.30 malam mengakibatkan mangsa berusia 35 tahun itu melecur 27 peratus pada anggota badan susulan dibakar menggunakan petrol.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada jam 10.45 malam berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi.
Nampak Badan Ibu Terbakar
Katanya, hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri itu merupakan pekerja ladang tersebut dan ketika kejadian keempat-empat anak mereka berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun berada di rumah.
“Remaja itu cuba keluar untuk melihat kejadian sebelum menyedari pintu bilik dikunci dari luar. Dia cuba menarik pintu dan berjaya membukanya.
“Susulan itu, dia nampak ibunya (mangsa) berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badannya terbakar manakala suspek cuba padamkan api itu dengan kain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Asri, suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa merebak serta semakin besar.
Minta Anak Padamkan Api
Katanya, susulan itu, mangsa sempat meminta bantuan anak lelaki mengambil air untuk memadamkan api tersebut.
“Remaja lelaki itu mengambil air dari bilik air berdekatan dan memadamkan air pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran untuk menghubungi pihak polis.
“Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan semakan pegawai perubatan mendapati dia melecur 27 peratus pada anggota badan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk pernah mencederakan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Mingguan Wanita: Suami isteri bergaduh dan berselisihan faham macam mana sekalipun jangan sampai mencederakan diantara satu sama lain. Apatah lagi disaksikan anak-anak, buruk kesannya.
Bila anak bertambah, suami jangan biar isteri buat semua kerja, bantu, jangan malas. Perkahwinan bukan hanya berlandaskan cinta dan kasih sayang, tetapi juga melibatkan tanggungjawab, kerjasama, dan saling memahami antara pasangan.
Bila Anak Bertambah, Suami Jangan Biar Isteri Buat Semua Kerja, Bantu, Jangan Malas
Bahagia dalam perkahwinan bukan semata-mata terletak pada kemewahan atau kekayaan, tetapi lebih kepada sikap dan usaha untuk memahami antara satu sama lain. Salah satu elemen penting dalam perkahwinan yang bahagia ialah kesediaan suami untuk membantu isteri dalam menguruskan rumah tangga, lebih-lebih lagi apabila keluarga semakin bertambah.
Peranan suami dalam perkahwinan
Pada permulaan perkahwinan, apabila hanya ada suami dan isteri, segala perhatian isteri mungkin tertumpu kepada suami. Isteri mungkin melakukan segala-galanya untuk suami, seperti membantu suami membasuh tangan, memotong kuku, dan menyuap makanan. Ini kerana tuntutan hidup pada waktu itu hanya berfokus kepada hubungan suami isteri.
Namun, apabila keluarga mula berkembang dengan kehadiran anak-anak, situasi berubah. Isteri kini mempunyai tanggungjawab baru yang memerlukan perhatiannya. Dia bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada suami, tetapi juga kepada anak-anak yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang lebih. Dalam keadaan ini, adalah penting bagi suami untuk memahami perubahan ini dan turut serta dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan semoga kita muhasabah diri.
Masa hidup berdua, basuh tangan pun isteri boleh tolong. Potong kuku pun isteri boleh buat. Nak disuap makan pun tak ada halangan.
Sebab tuntutan isteri ketika itu, saat itu, hanya untuk suami.
Namun bila ahli keluarga itu sudah makin bertambah, sudah ada kehadiran si anak, maka sebagai suami, kita kena faham situasi.
Isteri ada perkara baru untuk dia bagi perhatian, isteri ada perkara baru untuk dia dahulukan, isteri ada perkara baru untuk dia uruskan. Jika seorang suami itu terlibat sama dalam urusan ini, maka dia akan faham.
Kenapa isteri lambat buka pintu, kenapa isteri lambat memasak, kenapa isteri tak sempat mengemas, kenapa isteri nampk serabut dan sebagainya.
Tapi sekiranya dia membiarkan isteri keseorangan dalam menguruskan pertambahan ahli dalam keluarganya, maka dia TAKKAN FAHAM…dia nak makanan ada on time, dia nak rumah sentiasa kemas dan teratur, dia nak semua kerja-kerja rumah selesai sebelum dia balik…jika tidak, akan keluar ayat…
“Awak duduk rumah goyang kaki…?”
Ya, goyang kaki sebab anak-anak pergi sekolah, jiran yang hantar…anak-anak makan tengahari, ketua kampung yang masak…pakaian yang penuh sebakul, siak masjid yang jemur dan lipatkan…rumah yang bersepah, adik beradik yang datang kemaskan.
Rumah tangga yang baik ialah bila kita faham apa yang dilalui pasangan kita dan kita boleh bersama-sama dengannya untuk melaluinya.
Kesimpulannya, kebahagiaan dalam perkahwinan bukan hanya tentang wang ringgit, tetapi lebih kepada bagaimana kita memahami, menghargai, dan menyokong pasangan kita.
Suami yang ringan tulang dan sanggup membantu isteri dalam menguruskan rumah tangga adalah contoh suami yang memahami tanggungjawabnya dalam perkahwinan.
Dengan sikap saling melengkapi dan memahami, perkahwinan akan menjadi lebih harmoni dan penuh kebahagiaan.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam rumah tangga memang perlu ada sabar dengan sikap pasangan. Apa juga yang dilalui dalam rumah tangga, kena ada reda.
Namun, bagaimana pula andai sabar dan reda itu diletakkan bukan di tempat sepatutnya? Ikuti perkongsian satu kisah pasangan muda yang dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga penulis ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.
Usianya 27 tahun, rupanya cantik, tutur katanya lembut tapi tegas. Berstatus isteri selama hampir 16 bulan malangnya sejak awal perkahwinan, suami tidak mengendahkannya.
Suka Sama Suka
Suami sering balik awal pagi dengan alasan kerja dan waktu hujung minggu, suami akan balik tika azan Subuh hampir dikumandangkan. Isteri tertanya-tanya, apa yang tak kena? Nak kata suami tak cinta, kahwin memang atas dasar suka sama suka. Lebih bersyukur lagi, perkahwinan diterima baik oleh kedua-dua keluarga dan sejak selepas kahwin, si isteri betah tinggal bersama suami di rumah mentua. Ibu mentua yang turut menyedari sikap anaknya sendiri, meminta si isteri bersabar dan cuba faham kerjaya suami sendiri.
Foto: 123 Royaltyfree.
Tak Sayang
Bulan demi bulan, setahun berlalu. Suami bersikap serupa. Hinggalah satu hari, isteri dengan tegas bersuara: “Kalau tak suka, cakaplah terus terang.” Mungkin terasa dengan kata-kata si isteri, si suami bersuara: “Saya tak boleh nak sayang awak lagi. Sebelum kahwin dengan awak, saya baru sedar saya tak betul-betul sayang awak. Saya sukakan orang lain tapi mak suruh saya batalkan niat saya sebab kita dah bertunang, sebab awak pun baik. Saya cuba tapi saya tak boleh.”
Ibu mentua mengakui, tapi memintanya bersabar. Demi menghormati mentua yang melayannya dengan baik, N bersabar. Hinggalah pecah tembelang mengenai hubungan si suami dengan seorang wanita, layak suami isteri tak sah menurut syarak dan undang-undang. Suami juga minum dan kerap mengunjungi kelab malam.
Isteri bagaikan pembantu rumah sahaja. Hati yang kecewa diluahkan kepaa ibu mentua. Kata ibu mentua: “Sabar je lah. Mak pun tak tau nak buat macam mana lagi dah. Sabar jelah. Ayah dulu pun macam tu jugak tapi sebagai isteri, kita sabar je lah. Lambat laun, dia akan balik kat kita jugak.” Ayat ibu mentua dipanjangkan kepada saya; “Betul ke Kak Su, saya perlu terus bertahan dan bersabar?”
Kena Faham Konsep
Betul ke? Mmm… memang betul lah tapi perlu fahami konsep sabar. Fahami juga konsep reda. Sabar memang perlu dalam setiap perkara tapi sabar juga perlu ada batasnya. Kalau kepala diketuk sekali, wajar lah bersabar, buat diam je tapi kalau dah berkali-kali diketuk, dihenyak, dihentam tapi masih boleh diam atas nama sabar, itu maksudnya membenarkan diri sendiri dibuli dan dianiayai.
Tak ke bodoh namanya tu? Perlu reda dengan takdir Allah! Betullah tapi reda bukan tunggu saja tanpa apa-apa tindakan. Bukan juga dengan berdiam diri menyerah saja kepada keadaan menunggu apa yang akan terjadi.
Tanggungjawab
Perkara paling penting; perkahwinan adalah satu tanggungjawab. Pasangan yang dikurniakan oleh Allah pula adalah amanah. Tak kiralah anda menerimanya sepenuh hati, separuh hati atau tak ada hati langsung, bila anda bernama suami malah juga isteri, anda bertanggungjawab untuk menyayangi pasangan anda sejujurnya, seikhlas hati dan berusaha untuk melaksanakan segala peranan dan tanggungjawab yang wajar menurut syariat dan undang-undang.
Tabiat pasangan sebagai ujian? Betul tapi tanya diri sendiri; bolehkah anda bersabar dan redha tanpa ada sedikit pun rasa kecil hati atau rasa marah atau dendam atau sakit hati dengan segala perlakuan tersebut?
Hak Isteri
Islam tak menganiaya sesiapa termasuk isteri. Andai suami bersikap seperti suami N, syariat dan undang-undang tentukan si isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan menggunakan fasakh. Prinsip asas perkahwinan adalah mawaddah wa rahmah. Perkahwinan perlu ada kasih sayang, perlu ada perlaksanaan tanggungjawab agar setiap individu merasai nikmatnya sebuah perkahwinan.
Hikmah
Perlu difahami juga, ketentuan syariat termasuk hukuman mempunyai hikmah tersendiri. Berkemungkinan jika anda ‘meninggalkan’ pasangan yang tak tahu menghargai kewujudan anda, barulah si dia betul-betul sedar kepentingan wujudnya anda dalam hidupnya. Sebab itu jugalah wujudnya tempoh eddah, sebagai tempoh masa bertenang dan membuat keputusan muktamad.
Berikan peluang memang perlu tetapi biarlah tempoh masanya bersesuaian. Sikap yang sebati dengan diri memang sukar diubah tapi tak susah jika individu tersebut benar-benar ingin berubah, berkehendak dan berusaha ke arah yang lebih baik.
Aplikasikan juga tempoh eddah ketentuan syarak dalam memberi peluang, minimum tiga bulan dan maksimum sembilan bulan. Kalau seseorang benar-benar berkehendak untuk berubah, sembilan bulan cukup lama untuk menjadi lebih baik. Doa orang sekeliling mungkin membantu tetapi janji Allah pasti; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” – surah ar-Ra’du ayat 11.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.