Di sebalik kejayaan sesebuah organisasi, ada insan-insan yang saban hari berjuang di meja kerja, di tapak projek, mahupun di bilik mesyuarat. Namun tekanan, keletihan melampau dan masalah kesihatan mental sering kali menjadi ancaman senyap yang melemahkan tenaga kerja.
Menyedari hakikat itu, Pusat Kesihatan, Fisioterapi dan Rehabilitasi Bersepadu (IDEAL) bersama perusahaan sosial Thrive Well melangkah setapak ke hadapan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di IDEAL Bangsar baru-baru ini.
Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, menegaskan bahawa kesejahteraan pekerja perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tubuh badan, tetapi juga ketahanan psikologi.
“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah burnout, serta meningkatkan produktiviti. Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya,” katanya penuh keyakinan.
Bagi Ellisha Othman, Pengarah Urusan Thrive Well, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
“Syarikat korporat perlu lebih peka terhadap kesejahteraan pekerja. Melabur dalam program kesihatan fizikal dan mental bukan sekadar menjaga pekerja, tetapi juga menyediakan organisasi untuk lebih tahan menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya.
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan wakil daripada syarikat korporat ternama seperti PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings dan Energise Sdn. Bhd. Kehadiran mereka menandakan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya kerja yang sihat di Malaysia.
Kerjasama antara IDEAL dan Thrive Well ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi diyakini bakal menjadi penanda aras baharu dalam kesejahteraan korporat. Ia menegaskan bahawa kesihatan pekerja adalah satu pelaburan strategik kerana dari tubuh yang sihat dan jiwa yang stabil, lahirlah produktiviti, inovasi dan kejayaan jangka panjang.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE