Ismanira Menangis Teresak-esak Bila Peguam ‘Petik’ Nama Adik Bongsu Zayn Rayyan, Rayu Hukuman Lebih Ringan

Share

Suasana sebak menyelubungi Mahkamah Sesyen pada Jumaat apabila ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak mampu menahan air mata ketika mendengar hujahan mitigasi bagi merayu hukuman lebih ringan terhadap dirinya.

Ismanira menangis teresak-esak sebaik peguam bela, Haresh Mahadevan, mula membacakan rayuan hukuman selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan mengabaikan anak autisme itu dua tahun lalu.

Ibu Zayn Rayyan Menangis Ketika Rayuan Hukuman

Tangisan Ismanira semakin kuat apabila peguamnya menyentuh tentang perkembangan kesihatan anak bongsu — adik kepada Zayn Rayyan — yang kini dijaga oleh ahli keluarga mereka. Suasana bertambah hiba apabila ibu mentua tertuduh, iaitu ibu kepada suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilihat menghulurkan tisu untuk menenangkan menantunya.

Dalam hujahannya, Haresh memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman denda sahaja dan tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana ia akan memberi kesan besar terhadap anak kedua pasangan itu yang juga merupakan kanak-kanak autisme.

Peguam Pohon Denda Sahaja Demi Anak Bongsu Autisme

“Anak kedua pasangan ini juga menghidap autisme, seperti Zayn Rayyan. Disebabkan kes ini, Ismanira hanya dibenarkan bertemu anaknya kurang daripada 48 jam seminggu.

“Malah, ketika pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil kanak-kanak itu, dia menangis dan berpaut kuat pada ibunya kerana enggan dibawa ke lokasi lain,” katanya.

Haresh turut menjelaskan bahawa kanak-kanak autisme biasanya sukar menerima perubahan mendadak dan berisiko mengalami tekanan emosi sekiranya dipisahkan daripada ibu bapa tanpa sokongan yang sesuai.

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.- Kredit foto: Sinar Harian

 

Rayuan Hukuman Kes Zayn Rayyan Masih Berlangsung

Menurut peguam bela, pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan kestabilan psikologi anak tersebut.

“Mengikut peruntukan undang-undang, bagi kes seumpama ini, hukuman penjara bukan bersifat mandatori dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman denda,” ujarnya lagi.

Setakat tengah hari Jumaat, prosiding rayuan hukuman masih berlangsung dan dijangka disambung pada sesi berikutnya.

Kisah Ibu Zayn Rayyan ini terus menarik perhatian masyarakat kerana menyentuh emosi ramai yang mengikuti perjalanan kes Allahyarham sejak dua tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel sebelumnya: Ismanira Didapati Bersalah Abai Zayn Rayyan

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has