Demi menghargai detik bermakna dalam hidupnya, seorang ibu muda dalam pantang sanggup mengharungi tempoh berpantang semata-mata untuk menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-17, hari ini.

Fatin Fathirah Ismail, 28, yang menamatkan pengajian dalam Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) berkata, walaupun dirinya masih dalam tempoh pantang hari ke-33 dan belum pulih sepenuhnya, namun semangat untuk menjejakkan kaki ke pentas kemenangan tidak pernah luntur.

“Saya harap kehadiran ini akan jadi kenangan manis bukan sahaja buat saya, tapi juga buat anak dan suami suatu hari nanti. Biarpun dalam pantang, saya tetap nak naik pentas pakai jubah, ini adalah penghargaan dan hadiah untuk diri sendiri, suami, anak-anak dan keluarga,” katanya yang berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu.

Perjuangan Ibu Muda Dalam Pantang Ditemani Suami Tercinta

Menurut Fatin Fathirah, sokongan daripada suaminya, Mohd Afif Azfar Mohd Fauzi, 28, serta keluarga yang turut menemani dan memberi dorongan membuatkan segala pengorbanannya terasa berbaloi. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari sebuah universiti di Mesir itu mendedahkan, dia mendaftar program DPP ketika hamil dua bulan tanpa menyedari dirinya sedang mengandung.

Tambahnya lagi, ketika menempuh semester kedua, dia menjalani Bina Insan Guru (BIG) dalam keadaan sarat hamil dan melahirkan anak ketiga pada 1 Oktober lalu — ketika sesi Latihan Mengajar (LM) hampir tamat.

Ads

Ibu Muda Dalam Pantang, Nekad Hadir Konvokesyen, Naik Pentas, Rai Kejayaan Bersama Keluarga

Cabaran Seorang Ibu, Pelajar Dan Bakal Guru

Mengimbas cabaran sepanjang pengajian, Fatin Fathirah mengakui minggu peperiksaan merupakan waktu paling mencabar bagi seorang ibu kepada anak-anak kecil.

“Anak-anak masih kecil dan ketika peperiksaan saya kena tinggal mereka, ada masa anak menangis menyebabkan saya pun tak sempat ulang kaji betul-betul. Tapi saya kuatkan hati sebab niat saya nak jadi guru dan bantu keluarga,” katanya yang kini bakal bergelar pendidik dan dijadualkan melapor diri di sebuah sekolah di Pahang pada 17 November ini.

Inspirasi Dari Ibu Muda Dalam Pantang

Bagi Fatin Fathirah, segala kepayahan yang dilalui sepanjang pengajian menjadi bukti bahawa kasih dan semangat seorang ibu tidak pernah mengenal batas, bahkan menjadi kekuatan utama dalam mengejar kejayaan. Katanya, setiap wanita yang bergelar ibu mempunyai kekuatan luar biasa apabila disokong dengan doa, cinta dan semangat keluarga.

Ads

“Saya ingin sampaikan kepada semua ibu di luar sana, jangan takut untuk kejar impian walaupun dalam keadaan susah. Jika kita ikhlas dan kuat semangat, Allah akan permudahkan segala urusan,” tambahnya yang kini menjadi simbol kekuatan wanita muda UniSZA.

Kisah ibu muda dalam pantang seperti Fatin Fathirah ini menjadi inspirasi kepada ramai wanita — bahawa keibuan bukan halangan untuk berjaya, malah bukti cinta dan pengorbanan sejati dalam menuntut ilmu serta membina masa depan keluarga.

Sumber: Berita Harian dan Harian Metro

Ads

Artikel lain: Pesara Guru Rayu Bantuan RM70,000 Untuk Biaya Pembedahan Jantung Anak Bongsu Di IJN

 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI