Mak anak ramai ini cabarannya memang tak terduga. Lagi-lagi bila minta anak buat kerja rumah. Kalau tak sabar, mak bukan takat jadi tarzan, naga.. gorilla semua keluar. Apa pun membesarkan anak agar mereka memahami tanggungjawab bukan satu pekerjaan yang enteng.
Sebenarnya, baik perempuan mahupun lelaki, mereka perlu diajar tanggungjawab buat kerja dapur. Sama rata. Inilah yang cuba disampaikan oleh Puan Farizah Shamsudin, 43.
Ibu anak 5, yang mana masing-masing berusia antara 7 tahun hingga 17 tahun. Cuma, kali ini anak perempuan kecilnya, Syahindah Humaira, 7 tahun menguji kesabarannya sebagai ibu. Bila diminta buat kerja rumah.. buat tak dibuat. Tapi ‘slow’ yakmat. Macamana ibu ini tunjukkan reaksi?
Terdengar Keluhan Berat Bila Diminta Basuh Pinggan
Selesai makan, dia letak pinggan ke dalam sinki. Basuh tangan laju-laju dan bersedia untuk beredar….
“Haipp…!”
Langkah terhenti.
Mata terkebil-kebil pandang mama yang tiba-tiba dah tercegat di belakang.
“Basuh pinggan!”
Pantas mama bagi arahan sebelum dia sempat lari jauh-jauh. Terus dia balas dengan muka macam kucing lemas kena siram air.
“Alamaaak… tak sempat Syahindah nak jadi patung.”
Terdengar satu keluhan berat sebelum dia perlahan-lahan berpaling semula ke arah sinki. Wajah kecewa kerana hajat yang terputus di tengah jalan.
Dia Buka Air Laju-laju, Main Air Sabun
Kurang satu minit, riak wajah itu dah bertukar rupa, bersinar-sinar macam matahari baru terbit. Rupanya ada mentol sedang menyala-nyala dalam minda!
Ads
Dia buka air laju-laju. Tadah pinggan kotor. Tutup air. Celup span dalam air sabun. Perah span sampai kempis. Isi penuh-penuh dalam pinggan sampai berbuih-buih. Celup lagi. Perah lagi. Ulang lagi dan lagi. Wajah bahagia tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Syahindah ni memang suka main sabun.”
Mulut bersuara tanpa ditanya. Konon macam Chef Wan dalam rancangan masakan. Sambil campak ramuan sambil ajar. Gitu.
Mama perhatiiii saja dengan nafas turun naik. Ingatkan dah menang tanpa bertanding, rupanya ada ujian tahap dua. Ini ujian maha halus. Melibatkan jiwa dan raga. Tak mahu kalah, terus mama meratib laju-laju dalam hati.
Selepas beberapa ketika, akhirnya dia pun angkat tinggi-tinggi pinggan yang dah siap berbasuh sambil sengih lebar-lebar tayang gigi.
“Ok, dah bersih!”
“Thank you Syahindah!”
Saya hadiahkan dia ciuman paling manis. Paling bersari!
Ads
Fuhh! Hampir berjanggut kali ini mama terpaksa tunggu dia selesai membasuh sebiji pinggan. Ya, hanya sebiji pinggan untuk tempoh lima minit. Mengigil buku lali! Hati pun dah ada percikan api.
Mencabar Bila Minta Anak Buat Kerja Rumah
Begitulah. Cabaran nak minta anak buat kerja rumah bukan calang-calang. Nampak remeh, tapi penting. Tak selamanya berjaya dan tak selamanya juga gagal. Ada hari saya mampu tersenyum sampai ke telinga. Ada ketika saya mengamuk macam singa!
Isu culas? Biasalah. Sedangkan dewasa pun sarat dengan isu lari dari tanggungjawab, inikan pula kanak-kanak yang baru kenal hidup.
Lalu cabaran kita sebagai ibu bapa adalah memahamkan mereka bahawa tanggungjawab itu bukan sejenis hobi yang kita punya pilihan untuk melakukannya atau tidak. Sebaliknya, ia adalah satu kemestian yang mahu tidak mahu, satu hari nanti kita memang perlu ambil tahu dan buat!
Lalu, bagaimana mahu membiasakan anak-anak untuk menerima tanggungjawab tanpa berdolak-dalik lagi. Atau muka masam mencuka. Atau bertolak-tolakkan sesama mereka. Abang suruh adik. Adik jeling kakak. Kakak jegil pada adik-adik.
Akhirnya Ibu Praktik 3 Pendekatan : ‘Berdesup Anak Buat Kerja Rumah’
Peringkat 1 – Pendedahan
Haramkan ayat ini dalam hidup kalian – ‘Tak apa. Dia masih kecil lagi’.
Ads
Ini ayat makan diri namanya. Tidak perlu terlalu terikat dengan umur. Peringkat umur yang sesuai untuk mula didedahkan dengan tanggungjawab, sangat subjektif. Dua tahun? Tiga tahun? Empat tahun? Tidak ada masalah jika mereka sudah menunjukkan tanda-tanda berminat untuk turut serta melakukannya. Kita lebih kenal kemampuan mereka.
Nampak mereka dah boleh diharap angkat pinggan? Biarkan.
Takut pinggan mahal pecah? Bagi pinggan plastik.
Dah boleh jemur baju? Silakan.
Yang penting, berikan pendedahan dengan tugasan yang mudah. Jangan sesekali memandang rendah kebolehan mereka berdasarkan faktor umur. Potensi anak-anak berbeza antara satu sama lain. Pendedahan dapat memancing kebolehan dan kemahuan mereka.
Mulakan dengan tanggungjawab untuk diri sendiri dulu. Kemudian baru luaskan untuk bantu orang lain juga. Biar mereka berasa diri mereka sama penting dan diperlukan, seperti orang lain.
Peringkat 2 – Pemahaman
Biar dia faham, di peringkat awal yang diutamakan adalah USAHA. Bukan hasil.
Jadi, nampak hasil yang kurang memuaskan, usahakan ’wat lek wat pis’ saja. Baiki dan bimbing dari masa ke semasa. Salah satu sebab manusia kecundang sebab dia tak mendapat kepercayaan. Bila tak dipercayai, keyakinan dirinya akan merudum. Benda yang mudah pun akan jadi sukar. Practice make perfect! Lama-lama oklah….
Yang penting, hargai usaha dia. Puji. Itu perlu sebagai makanan motivasi. Puji pada setiap peningkatan. Bukan hanya tahu marah pada kesalahan sahaja. Biar mereka tahu, kita sedar dan peka dengan setiap usaha yang mereka buat. Gagal atau berjaya, raikan.
Kita mahu mereka terbiasa membantu kerja rumah tanpa rasa terbeban. Malah meraikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Nampak dia terkial-kial? Tak apa. Jangan cepat sangat cair kalau anak buat muka simpati. Belajar ‘membaca’ fikiran dia. Kalau nampak seolah dia memang nak lari dari tugas dengan sengaja, maka wajiblah keraskan hati. Ini ujian jiwa raga. Perlu ketahanan mental yang tinggi kalau nak lihat hasilnya yang baik di masa akan datang. Tunjukkan bahawa hati kau keras macam Roy! Langsung tidak terjejas atau terancam dengan sebarang propaganda.
Kalau dia nampak stres dan perlu bantuan, tawarkan bimbingan. Bukan ambil alih. Ingat ya. Bukan ambil alih!
Penting untuk mereka faham bahawa jika mereka tak lakukan sendiri, tak ada siapa yang akan buatkan untuk mereka. Jangan mudahkan jalan untuk mereka lari daripada tanggungjawab.
Peringkat 3 – Penguatkuasaan
Kalau kita sejenis manusia yang malas nak ulang arahan banyak kali, ambil kertas dan tampal di dinding. “Basuh pinggan selepas makan.” Contoh cenggini ha! Nak lagi power, kau ikut mereka macam bayang-bayang selagi tugas tak diselesaikan. Biar stres sampai ke urat nadi.
Itulah yang saya lakukan jika saya dapat kesan siapa yang punya angkara. Saya akan kejar sampai ke lubang cacing! Huh! Dah beritahu berkali-kali, lagi mau lari? Tidak hairanlah untuk hal yang satu ini, sehingga sekarang mama kekal dengan gelaran singa, abah… arnab.
Kalau perlu ulang sehingga 365 hari berturut-turut, silakan.
Kesulitan hari ini adalah untuk kesejahteraan masa hadapan. Gitu.
Ada benarnya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak perlukan ilmu. Sayang anak biarlah berpada-pada. Mak ayah berhentilah ‘micromanage’ anak sebelum terlambat. Janganlah terlalu bersikap ‘melindungi’ dan ‘prihatin’ dengan menguruskan serba serbi segala rutin kehidupan mereka. Risau mereka tak pandai berdikari dan terlalu mengharapkan bantuan kita pula nanti.
Untuk faham lebih lanjut cuba semak tanda-tanda ‘micromanage’ perkongsian daripada Mohd Fhais Salim ini.
Ini rupanya tanda bila kita terlalu Micromanage kepada anak!
1.Tak boleh nampak anak susah sikit cepat je nak menolong, “Aduh kasihannya dia, meh ibu tolong…”
2.Risau berlebih-lebihan, “eh mainan ni tak boleh nanti dia masuk mulut, eh panjat ni tak boleh nanti jatuh, eh tak boleh berlari nanti tersadung”
3.Selalu nak cepat, “Nak tunggu adik naik kereta sendiri memang terkial-kial, meh ayah angkatkan”
4.Mudah tak sampai hati dengan anak, contoh nak ajar anak potty train tapi bila tengok anak gelisah, susah benar nak buang air, terus fikir macam-macam kang sembelit pula budak ni.
5.Terlalu perfectionist sangat pun tak boleh. “tak cantik tulisan abg ni, tulis semula” kadang yang tak cantik tu la anak selesa dan happy belajar.
6.Tak suka rumah bersepah, “kakak main jangan bersepah-sepah” Suruh anak bermain tak bersepah ibarat kita suruh anak mandi tapi jangan basah. Tak releven langsung.
7.Terlalu obses nak anak jadi sebiji macam kita. “Ibu dulu pandai matematik, jadi abg pun kena pandai matematik”
8.Tak benarkan langsung anak buat salah atau gagal, suka membetulkan kerja sekolah anak sebelum anak habis buat pun lagi.
9.Cemas sangat kalau anak menangis, mengamuk atau tantrum. Terus beri apa sahaja anak minta masa itu adalah sangat bahaya, itu namanya kita Reward Bad Behaviour dia.
Tanpa sedar sikap micromanage ni sebenarnya melemahkan kemahiran self-manage anak kita.
– berdikari lemah
– autonomi lemah
– coping skil lemah
– self-control lemah
Ibarat kita ni jadi PA anak-anak, semua rutin kehidupan dia kita nak uruskan.Tanpa kita, anak langsung tak boleh survive!
Jika di rumah ( dunia kecil ) ni anak anak tak mampu untuk survive sendiri, bagaimana dia nak survive di dunia luar yang lebih buas, lebih ganas dan lebih merisaukan kita nanti.
Berhenti la micromanage sebelum terlambat!
Wallahu A’lam,
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnnya, mak ayah elakkanlah terlalu ‘micromanage’ anak-anak agar mereka dapat lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung pada kita.
Dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab urus keluarga, wahai isteri sesekali cubalah untuk melayani diri sendiri. Minta lah ‘me time’ itu daripada suami.
Ikutlah apa bentuk pun ‘me time’, janji ianya selesa dan memberi ketenangan kepada diri isteri itu sendiri.
Sedih membaca perkongsian kisah seorang isteri ini. Terlalu sibuk menguruskan keluarga waima menjaga mentua, sehingga akhirnya isteri jatuh sakit. Dan selepas pemergian isteri, bagaikan tiada apa-apa.. suami mampu pula menggajikan orang lain untuk menguruskan keluarga.
Melaksanakan apa yang pernah isterinya lakukan dahulu. Lalu apa yang isteri itu dapat? Hadamkan perkongsian Suzy Sharif yang begitu menginsafkan ini.
Isteri Terlalu Sibuk Urus Keluarga Hingga Jatuh Sakit
Hal ini serius tapi saya nak sampaikan sehabis ringkas untuk bacaan semua kawan-kawan Facebook saya.
Pagi tadi adalah sahabat saya share satu perkongsian ni kat group Whatsapp kami.
Gigihlah saya baca dari awal sehingga akhir.
Dan akhirnya saya setuju dengan si penulis.
Kisah dia pasal seorang isteri yang terlalu sibuk menguruskan hal ehwal keluarga sehinggalah dia jatuh sakit dan kemudiannya menemui ajal.
Setelah dua bulan pemergian wanita tersebut, penulis ni sahabat si isteri pun bertanya khabarlah dengan sang suami tu.
So dia expect si suami ini masih berdukacita dan asyiklah terkenangkan budi baik si isteri dan susahnya hidup dia tanpa isteri di sisi.
Ya lah semasa hayat sahabatnya tu, tak habis-habislah dia memikirkan tentang hal rumah tangga, pelajaran anak-anaklah, menjaga mentua yang sudah tua dan kurang sihatlah, melayan saudara maralah.
Pokok pangkalnya semua dialah.
Amat Diperlukan Keluarga, Tapi Tidak Pernah Dihargai
Seringlah dia mengadu dan merasakan yang keluarga dia sangat memerlukan dia.
Tapi sayang dia tidak pernah dapat sebarang pernyataan terima kasih atau penghargaan atas apa yang dia buat selama ini untuk keluarga.
Haaa jangan cakap pasal ikhlas ya.
Come on kita manusia sesekali perlu jugak sentuhan dan kata-kata yang indah sebagai pembakar semangat untuk terus hidup.
Plot twist.
Rupa-rupanya suami sahabatnya itu sedang menikmati hidup dia.
Dia dah upah maid untuk uruskan rumah tangga dan anak-anak dia.
Dan sempat jugak hire seorang caretaker untuk jaga parents dia yang dah tua.
Jadi apa makna kesetiaan yang tak berbelah bahagi daripada isteri dia dulu?
Pandai pulak dia cari jalan keluar untuk membantu diri sendiri.
Buat apa yang kita suka dan ingat stop ambil pusing dengan kata-kata manusia sekeliling kalau kita nak hidup tenang.
Selagi apa yang kita buat tidak melanggar hukum agama dan nampak canggung di sisi dunia, kita buat je.
Okey kawan-kawan?
Live your life to the fullest!
#findyourinnerpeace
Mingguan Wanita :Dalam melaksanakan tanggungjawab urus keluarga itu, sesekali usahakanlah untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan diri sendiri wahai isteri.
Kisah pasangan curang bukan lagi perkara asing di kalangan isteri. Lantas ramai yang memilih untuk keluar daripada perkahwinan itu dengan alasan tidak dapat memaafkan kecurangan suami. Namun, ada juga yang tetap bertahan. Kenapa ye? Ikuti kupasan daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach daripada Promind training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Hak
Kebanyakan isteri menganggap suami adalah hak milik mutlak mereka. Apabila isteri berkata begitu, maka saya pasti mereka betul. Namun saya juga tahu bahawa poligami itu dibenarkan. Saya ada beberapa rakan-rakan ‘bertuah’ yang bukan sekadar beristeri dua tetapi sudah mencapai kuota penuh!
Dalam kumpulan berbual di media sosial para suami memang tajuk poligami ini mempunyai kuasa paling kuat untuk menarik rakan-rakan lain memberi komen. Walaupun tajuk ini harum dan mekar tetapi terlalu jarang didengar ada rakan-rakan yang ‘upgrade’ diri dengan status beristeri dua, tiga atau empat. Maksudnya kebanyakan sesi tadi hanya ‘sembang sini, habis sini’ sahaja. Itulah lelaki yang bergelar suami ini. Sembangnya kencang tapi isteri tersayang masih di hati.
Perlu Kekuatan
Sebagai ‘Relationship Coach’, salah satu kesempatan yang selalu diambil peserta untuk konsultansi percuma semasa kursus ialah untuk bertanya, “Dulu suami saya ada perempuan lain di luar tetapi semua sudah selesai. Saya boleh maafkan tetapi saya tetap tidak boleh lupa dan terima dia sepenuhnya. Apa yang mesti saya buat? “
Soalan hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah melaluinya. Pada kekuatan bagaimanakah seorang isteri boleh memaafkan suami yang pernah curang dengan orang lain? Waktu itu syaitan begitu cepat membisikkan kata-kata beracun yang suami anda sebenarnya menggilai orang lain.
Pada ketika itu peritnya seperti kail tajam bermata tujuh menusuk dan tersangkut dalam hati. Semakin anda menggelupur melepaskan diri, semakin anda meraung kesakitan. Tapi akhirnya kuasa Allah lebih besar. Kail yang tertusuk itu terlepas dan suami kembali ke pangkuan anda. Perkara itu sudah berlalu. Sebagai isteri solehah anda boleh memaafkan tetapi masalahnya sekarang anda tidak boleh melupakan!
Jangan Lepaskan
Semasa anda dikhianati dahulu pasti terasa itulah masalah paling besar dalam dunia. Walau apa yang berlaku, jangan lepaskan tiang seri perkahwinan itu. Jika selama ini anda boleh melayan rasa dikhianati dan dikecewakan maka selepas ini tukar fokus kepada mencari petunjuk yang suami sangat menghargai anda. Ingat bahawa anda hanya akan nampak apa yang anda mahu lihat. Dalam hanya beberapa minit anda menukar fokus itu, perubahan emosi positif akan datang membanjiri emosi anda.
Kerenggangan Emosi
Apabila anda fokus kepada penyelesaian ini maka anda semakin menuju kepada jawapan yang anda cari. Kebanyakan daripada faktor kecurangan suami bukan disebabkan faktor keintiman seksual tetapi lebih kepada kerenggangan emosi.
Dalam ruang yang tidak kelihatan itu, suami merasa terbentang jurang besar yang memisahkan emosi dia dan anda. Untuk mengikat suami lebih kuat kepada anda selepas ini maka belajarlah untuk menarik emosi suami lebih dekat kepada anda. Ada banyak yang boleh anda lakukan. Kata orang tua-tua dulu, jika sayang suami maka sayangilah perut dan penuhilah matanya. Janganlah kerut kening macam itu. Bukan perut dan mata yang saya maksudkan tetapi hati dan perasaannya. Bila perut kenyang maka hati jadi senang. Apa saja yang indah di mata pasti turun ke hati. Itulah lebuh raya menuju keintiman emosi.
Cepat Pulih
Pasangan suami isteri yang pernah melalui cabaran dengan tajuk ‘curang’ akan lebih cepat pulih dengan selalu menghabiskan lebih banyak masa bersama. Menemui perkara baru atau mencari semula kenangan lama adalah cara berkesan untuk anda pulih sepenuhnya. Sebagai contoh kenapa anda menyukai dia dahulu? Kenapa anda memilih dia berbanding orang lain? Dan kenapa anda menerima dia sebagai suami dahulu?
Ini adalah soalan-soalan yang membawa anda kembali ke garis mula perkahwinan anda. Dulu anda dan suami tersilap tetapi sekarang lihat pada masa depan. Apa yang anda mahu? Bayangkan keluarga bahagia dengan anak-anak semakin dewasa. Menyambut kejayaan mereka di Universiti dan menerima deretan cucu-cucu comel. Anda dan suami tentu tidak mahu melalui masa depan itu sendirian, bukan? Anda boleh mencipta masa depan yang indah itu. Dengan berkat doa dan usaha..Insya-Allah itu semua boleh menjadi kenyataan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Datuk Ram Singh: "Saya beri khidmat percuma, tertuduh bukan anak VVIP." Peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan, pasukan guamannya menawarkan khidmat secara pro bono tanpa sebarang bayaran.