Dalam hidup seorang anak lelaki, tiada rasa yang lebih menyesakkan selain melihat ibu yang dikasihi terluka, kerana dirinya. Itulah yang diluahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Mahkamah Rayuan hari ini membebaskannya daripada empat pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Selepas lima tahun memikul beban tuduhan, beliau akhirnya dilepas dan dibebaskan. Namun kemenangan itu, katanya, tidak mampu memadam rasa bersalah yang sekian lama dipendam.
“Saya sebagai anak rasa begitu bersalah… kerana tekanan kes ini menyebabkan ibu saya kembali menghidap kanser,” ujar Syed Saddiq dalam sidang media yang penuh emosi.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini meluahkan rasa bersalahnya kerana tekanan akibat kes mahkamah dihadapinya menyebabkan kanser ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz berulang semula.
Memetik laporan akhbar, Ibu Ahli Parlimen Muar, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz disahkan mengidap kanser kali kedua oleh doktor pada Julai 2020 selepas selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas anaknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bekas guru itu berkata, penyakit itu kembali gara-gara tekanan yang dihadapi apabila berdepan pelbagai soalan daripada Pegawai Penyiasatan SPRM yang disifatkannya “begitu menakutkan”.
Juga baca: https://www.mingguanwanita.my/syed-saddiq-bersyukur-dibebaskan-dilihat-memeluk-ibu-tanda-syukur/
Ibu dan ayahnya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah bukan sahaja berdiri menyokong dari awal, tetapi turut sama melalui keperitan. Keluar masuk disoal siasat, menanggung tekanan dan menjadi saksi bagaimana anak yang dibesarkan dengan penuh kasih diuji dari segala arah.
“Ada pihak cuba mencalar integriti saya. Tapi yang lebih menyakitkan… adalah melihat ibu ayah saya terheret sama dalam semua ini,” katanya.
Dalam tempoh itu, Syed Saddiq menerima banyak tawaran untuk ‘selesai dengan mudah’. Tetapi beliau memilih jalan paling sukar untukmembersihkan nama di mahkamah. Hari ini, segala penat lelah, linangan air mata dan keperitan itu berbaloi.
“Saya cintakan negara ini lebih dari nyawa saya. Saya pilih jalan susah demi maruah, demi ibu dan ayah saya, dan demi rakyat yang percaya pada kebenaran,” katanya tenang, tetapi penuh makna.
Di hari penuh bermakna, Syed Saddiq ceria melihat ibunya tersenyum. Tetapi semua yang hadir tahu, senyuman itu datang dari seorang ibu yang sudah terlalu banyak menangis dalam diam. Ayahnya pula tak putus menadah doa, seperti yang dilakukannya sejak hari pertama.
Apa yang paling menyentuh, Syed Saddiq berharap agar ujian seberat ini tidak ditimpakan kepada sesiapa pun termasuk musuh politiknya.
“Apa pun yang berlaku, saya tahu saya di pihak yang benar. Dan saya bersyukur kerana doa seorang ibu, kekuatan seorang ayah, menjadi benteng paling ampuh buat saya bertahan,”ujarnya penuh makna.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Sumber: https://www.bharian.com.my/