Berita

Ibu Hilangkan Diri Selepas Tinggalkan Anak Di Rumah Pengasuh, “Tergamak Tinggalkan Rayyan Sejak Mac Lalu…

Share

Ibu hilangkan diri  selepas tinggalkan anak di rumah pengasuh, “munculkan diri Nayla demi masa depan Rayyan. Seorang pengasuh, Dg Che Norhakimah binti Mudah, 30-an merayu agar ibu kandung anak asuhannya,  Nayla atau nama sebenar Nur Nabilah tampil bertemunya demi masa depan Rayyan kini 4 tahun.

“Dia tinggalkan anaknya begitu saja dan terus tak ambil peduli apa pun. Bila saya minta dia ambil anak, dia terus block saya. Jadi kami dah terputus hubungan dan Rayyan kekal di rumah saya hingga kini dari hari dihantar emaknya…

Ibu Hilangkan Diri Selepas Tinggalkan Anak Di Rumah Pengasuh

Inilah Rayyan, anak yang ditinggalkan begitu saja di rumah pengasuh oleh ibunya tanpa dituntut sejak Mac. “Tergamak Tinggalkan Rayyan Begitu Saja…

Bercakap kepada Mingguan Wanita, Dayang yang tinggal di Taman Putra Perdana berkata, pada Mac lalu, Nayla atau nama sebenarnya Nur Nabilah binti Jemat Kama Alam Shah, 23 tahun menghubunginya dan bertanya kos jagaan anak tunggalnya.

“Dia kata anak akan bermalam dengan saya dan seminggu sekali dia akan ambil. Saya beritahu upah sebulan RM800.  Boleh dikatakan agak murah kerana saya niat nak membantu saja kerana belum pernah ada lagi anak asuhan bermalam dengan saya. Kemudian dia senyap. Beberapa minggu kemudian, dia hubungi semula dan kata orang yang nak asuh anaknya tiada dan minta saya jaga anaknya dengan bayaran dipersetujui.

“Malam tu dia datang bawa Rayyan dengan sebuah beg saja. Selepas 6 hari jaga Rayyan, di penghujung bulan Mac, saya mesej dia. Minta dia ambil anak dan buat  bayaran RM200. Tapi dia kata tak ada duit sebanyak itu dan minta tangguh lagi sebab baru kerja dan tak ada gaji lagi.

Perasaan sayang Dayang kepada Rayyan semakin bercambah dan dia berniat mengambil Rayyan sebagai anak angkat. Melengkapkan anaknya seramai 4 orang

“Saya kata tak boleh la begitu sebab semua dah dipersetujui. Bila saya terus minta hak saya, dia bayar RM100 sahaja dan kata akan bayar selebihnya bila dapat gaji. Masa tu dia datang dengan kekasihnya, budak lelaki muda juga. Rupanya, itulah pertama dan terakhir.

Jelas Dayang, awal April, kekasih kepada Nayla ada datang bertemunya dan membuat bayaran sebanyak RM150 tapi dia  minta saya serahkan  Rayyan kepadanya.

“Dia beritahu kesian pada Rayyan sebab tak dipedulikan mak kandung sendiri. Dia juga cerita hubungan mereka  dah putus. Saya memang tak bagi la sebab selepas mak Rayyan menghilang dan block mesej.

“Saya ada buat satu laporan polis mengenai Rayyan yang berada dalam jagaan saya selepas ditinggalkan begitu saja oleh emaknya. Tak mahulah nanti saya dituduh menculik anak orang. Sebab sudah ada rasa sayang pada Rayyan, saya tak beri pada lelaki tu. Syukur juga tak bagi kerana  bekas kekasih mengaku kata nak jual anak nie pada satu pasangan lain nauzubillah, “luah Dayang.

Jelas ibu kepada tiga anak berusia 9, 7 dan 3 tahun ini  sebelum Nayla menyekat semua mesejnya, dia banyak kali  menghubungi Nayla agar datang  mengambil Rayyan jika merasakan tidak mampu membayar upah asuhan sebanyak RM800 sebulan itu.

Dayang akui masa Rayyan datang ke rumahnya, anak ini alami masalah speech delay tapi dia bersabar mengajar Rayyan yang sehingga kini mampu bertutur dengan baik

“Masa tu saya beritahu dia. Tak mampu nak bayar duit asuhan anak, tak apalah. Saya halalkan. Macam-macam saya tulis tapi dia  buat keras saja. Baca saja tapi tak respon apa-apa.

“Saya pernah cakap padanya,  kalau dia tak nak anak dia nie, saya beri pada orang. Masa tu saja tulis begitu tapi dia  diam saja  sebelum terus menyekat semua mesej. Saya  sendiri sudah buntu mana nak cari dia.

“Yang saya tahu dia berusia 23 tahun, kerja di Klang. Asal Perak. Mak duduk di Melaka. Tapi duduk mana, saya tak ada maklumat berkaitan hal ini. Yang saya dengar-dengar dia ada dua tiga orang kekasih.

Tambah Dayang lagi, setiap hari Rayyan semakin rapat dengan dirinya serta anak-anak.

“Terus terang kita pun dah jatuh kasih pada Rayyan. Nak jadikan dia anak angkat sebab dah anggap macam anak sendiri.  Dia elok je main dengan anak-anak saya. Makan sama-sama. Saya buat laporan polis, pergi ke JPN dan JKM untuk buat pengangkatan Rayyan tapi masalah tak selesai kerana tiada surat pengesahan dari ibunya sendiri.  Nenek Rayyan ada poskan kepada saya Mykid cucunya ini tapi itulah masalah tak selesai kerana mak kandung menghilangkan diri.

Rayyan juga sudah semakin rapat dengan Dayang yang dipanggilnya Mama

Berkongsi kenangan di awal menjaga Rayyan, jelas Dayang,  di awal-awal kedatangan anak kecil itu ke rumahnya, Rayyan banyak termenung di tepi tingkap.

“Rayyan ada masalah pertuturan (speech delay) tapi saya ajar perlahan-lahan sampai dia boleh cakap. Bila pelat saya ajar sebutan yang betul. Lama-lama dia semakin petah dan serasi dengan anak-anak saya.

“Ramai yang mahu ambil Rayyan sebagai anak angkat lepas saya kongsi kisah ini di page Babystter Putra Perdana tapi itulah buat masa ini pihak JKM dan polis tidak mengizinkan saya beri kepada sesiapa. Saya sendiri sudah berniat menjaga Rayyan. Dia pun panggil saya Mama, sama seperti anak-anak saya memanggil perkataan itu. Mahu menyekolahkan dirinya. Tahun depan Rayyan 5 tahun. Dari hujung Mac mak dia hantar Rayyan sehingga kini terus menghilang.

“Banyak urusan tertangguh. Kalau saya dapat jaga Rayyan, lengkaplah anak saya dua lelaki dua perempuan,”kata Dayang yang mahu Nayla tampil untuk menyelesaikan isu penyerahan anak secara rasmi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros