Ibu Dan Anak Lelaki Maut Disyaki Keracunan Makanan Selepas Pulang Kenduri Kahwin

Share

Ibu dan anak lelaki maut disyaki keracunan makanan selepas pulang kenduri kahwin. Seorang wanita bersama anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah dewan di Jalan Apas pada 9 Ogos lalu.

Ibu Dan Anak Lelaki Maut Disyaki Keracunan Makanan Selepas Pulang Kenduri Kahwin

Mangsa, Nazuah Pili, 36, dan anak sulungnya, Mohd Amran, 9, mula mengalami simptom muntah serta cirit-birit hanya beberapa jam selepas pulang daripada kenduri tersebut kira-kira jam 11 pagi, sebelum akhirnya tidak sedarkan diri.

Kredit foto: Sinar Harian

Suami mangsa, Masran Mohd Amin, 43, berkata beliau yang baru pulang dari kerja sekitar jam 3 petang mendapati kedua-duanya terbaring di atas tilam di ruang tamu.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa namun saya lihat isteri kerap berulang-alik ke tandas, dengar dia muntah-muntah dan kemudian baring semula dalam keadaan lemah.

“Saya cuba bangunkan isteri kerana melihat ada kesan najis pada kain sarung yang dipakainya sebelum dia masuk semula ke tandas untuk membersihkan diri.

“Ketika itu, saya tengok si Abang (nama panggilan Mohd Amran) masih terbaring di ruang tamu dan tidak bergerak,” katanya.

Kredit foto: Harian Metro

Masran turut memaklumkan bahawa beliau sendiri mengalami muntah dan sakit perut selepas memakan lauk kenduri yang dibawa pulang isterinya. Dua lagi anak mereka, Naziah Insyirah, 6, dan Mohd Azran, 18 bulan, sempat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan hasil bantuan ahli keluarga lain.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 4 sekitar jam 10 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat. Beliau reda dengan kehilangan insan tersayang itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. Katanya, siasatan sedang dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sumber: Harian Metro dan Sinar Harian

Baca artikel lain juga: 5 Hari Ditahan Wad, Amira Othman Nasihat Masalah Keracunan Makanan Jangan Dipandang Remeh “Jika Berlaku Sebarang Gejala Segera Dapatkan Rawatan”

Remaja 17 Tahun Meninggal Makan Bihun Telur Mata, Bapa Kongsi Anak Makan 3 Biji Telur

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

 

Published by
Has