Berita Sosial

Ibu Dah Lalu Lokasi Kemalangan, Tak Sangka Mangsa Yang Ditutup Itu Anaknya Sendiri

Share

Tak sangka, lokasi kemalangan yang sudah dilalui si ibu itu rupanya melibatkan anak sendiri iaitu Muhammad Arif Daniel Mohd Norsha’ari yang berusia 20 tahun.

Ibu Dah Lalu Lokasi Kemalangan

Pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp supaya dikejutkan awal pagi menjadi komunikasi terakhir antara Muhammad Arif Daniel Mohd Norsha’ari, 20, bersama ibunya sebelum dia maut dalam kemalangan di Maran, awal pagi Selasa.

Ibu mangsa, Zaimizan Silong, 51, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari rumah pada malam sebelum kejadian selepas memaklumkan mahu keluar bersama seorang rakan.

Menurutnya, Muhammad Arif Daniel yang bekerja sebagai pekerja kontrak di kawasan Chenor turut berpesan supaya dirinya dikejutkan awal pagi kerana perlu hadir bekerja kira-kira jam 8 pagi.

“Saya bangun pagi dan tengok dia sudah tiada di bilik. Saya ingat dia sudah keluar macam biasa untuk bekerja,”

katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Muhammad Arif Daniel bersama dua lagi mangsa iaitu Masitah Mohd Soad, 59, dan Salbiah Mohamad Sah, 76, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan.

Jenazah Muhammad Arif Daniel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam Chenor, manakala dua lagi mangsa dikebumikan di sekitar kawasan Maran.

Tak Sangka Mangsa Yang Ditutup Itu Anaknya Sendiri

Berkongsi lanjut, Zaimizan bagaimanapun tidak menyangka pagi itu menjadi detik terakhir buat anaknya selepas dimaklumkan anaknya terlibat dalam nahas tersebut.

Lebih menyayat hati, dia melalui lokasi kejadian ketika menghantar sarapan ke sebuah pejabat kerajaan sebelum mengetahui mangsa yang maut dalam nahas itu ialah anaknya.

“Saya nampak mangsa sudah ditutup dan ada perasan kereta itu macam kereta kawan dia, tetapi saya nafikan dalam hati bahawa itu bukan anak saya.

“Saya langsung tidak sangka orang yang terbabit dalam kemalangan itu sebenarnya anak saya sendiri,” katanya sebak.

Hilang kata-kata untuk menyebut perkataan sabar pada si ibu dengan apa yang berlaku, semoga si anak di tempatkan di kalangan orang beriman dan soleh.

Al Fatihah.

Sumber: Sinar Harian

 

Published by
Nadia Mohamad