Ibu buta merangkak panjat bukit cari bantuan akibat kelaparan, anak OKU ditemui sudah meninggal dunia 6 hari. Seorang ibu warga emas yang buta ditemui orang awam selepas dilihat merangkak keluar dari sebuah bukit kecil untuk mencari bantuan selain dipercayai sudah beberapa hari tidak menjamah sebarang makanan.
Di sebalik kekurangan penglihatan, ibu tua ini dikatakan merangkak memanjat bukit kecil dipenuhi semak samun di sekitar tempat tinggalnya seorang diri untuk mendapatkan pertolongan, walaupun tubuhnya dalam keadaan amat lemah akibat kelaparan.
Ads
Kejadian menyedihkan ini terjadi di kawasan Sambir menuju ke Tambirat dalam daerah Samarahan, Sarawak.
Lebih memilukan, pemeriksaan pasukan penyelamat membawa kepada penemuan yang sangat menyayat hati apabila anak wanita berkenaan yang juga OKU mental ditemui sudah meninggal dunia. Mayatnya dipercayai telah berada dalam keadaan sebegitu selama enam hari sebelum ada yang menyedarinya.
Ads
Lokasi rumah mereka yang terletak jauh dari kawasan kejiranan ramai dipercayai menjadi antara faktor keadaan itu tidak disedari sesiapa selama beberapa hari. Hal menyedihkan ini dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial, Ngu Hownhua di facebooknya.
Ads
Menurut maklumat awam yang dikongsikan orang ramai selepas kejadian ini tular, keluarga ini merupakan penerima Bantuan Sara Hidup Baitulmal sejak tahun 2019 hingga 2025, termasuk bantuan kewangan bulanan dan barangan keperluan asas yang dihantar setiap bulan.
Turut dimaklumkan bahawa keluarga ini telah dipujuk sejak awal untuk berpindah ke tempat lain termasuk ketika suaminya masih ada namun keluarga ini tetap tinggal di kawasan bersemak ini selepas kematian suaminya.
Dalam kejadian menyedihkan ini, ada inidvidu memaklumkan ada ternampak wanita ini naik merangkak ke kawasan jalan raya melalui melalui rakaman dashcam namun disebabkan kejadian berlaku pada awal pagi, individu itu takut untuk berhenti kerana bimbang akan keselamatan diri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah kehilangan yang mencemaskan akhirnya bertukar menjadi berita yang melegakan apabila Nur Qasehku, remaja yang dilaporkan hilang dua bulan lalu, ditemui selamat di Cheras. Perjalanan panjang pencarian ini bukan sahaja menguji ketabahan seorang ibu, tetapi juga membuktikan bahawa harapan tidak pernah putus selagi doa terus dipanjatkan.
Doa dan kesabaran seorang ibu akhirnya dimakbulkan apabila anak angkat perempuannya ditemukan dalam keadaan selamat di Cheras, Kuala Lumpur, petang semalam. Berita mengenai Nur Qasehku yang hilang selama lebih dua bulan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga, kenalan dan masyarakat sekitar. Penemuan ini disambut penuh kesyukuran selepas tempoh yang begitu panjang tanpa sebarang perkembangan.
Nurhazlin Mohd Nor, 44, berkata momen menerima panggilan daripada sepasang suami isteri yang menemui anaknya, Nur Qasehku Suhaimi Abdul Rahman, 15, benar-benar meruntun hati. Sebelum panggilan itu diterima, beliau mengaku hampir hilang harapan kerana terlalu lama menunggu tanpa berita. Kes kehilangan ini menjadi tular kerana keadaan remaja tersebut yang masih tidak ditemui walaupun usaha mencari dilakukan secara meluas.
Menurut pasangan yang menemui remaja berkenaan, mereka terserempak dengan Qaseh atau lebih mesra dipanggil Qaseh yang ketika itu berkeliaran sendirian sambil meminta makanan di kawasan Batu 9 Cheras. Keadaan fizikalnya kelihatan susut dan kusut masai, menandakan dia kemungkinan besar mengalami keadaan sukar sepanjang tempoh kehilangan.
“Syukur sangat mereka nampak anak saya berjalan seorang diri dalam keadaan kusut masai dan si suami cam Qaseh yang dilaporkan hilang.
“Mereka kemudian telefon saya jam 3 petang dan turut memberi anak makan sementara menunggu kami sampai.
“Saya diberitahu Qaseh cakap namanya ‘Nana’ bila orang tanya dan keadaan tubuhnya susut berbanding sebelum,” katanya ketika dihubungi.
Sejurus menerima panggilan itu, Nurhazlin dan suami bergegas ke Cheras pada jam 6.30 petang. Mereka tiba sekitar 12.30 tengah malam sebelum membawa Qaseh pulang ke Melaka. Pemeriksaan kesihatan kemudian dijalankan di Hospital Melaka seperti yang diminta oleh pegawai penyiasat, bagi memastikan keadaan fizikal remaja itu stabil selepas melalui tempoh kehilangan yang panjang.
Sebelum bergerak ke lokasi, Nurhazlin turut meminta pasangan terbabit melakukan panggilan video untuk pengesahan identiti.
“Bila panggilan video dibuat, memang betul Qaseh, dan ketika itu hanya Allah yang tahu betapa bersyukur saya.
“Cuma dia tak menyahut bila dipanggil namanya, tapi bila panggil ‘adik’, baru dia respon,” katanya.
Momen itu menjadi saat paling bermakna buat keluarga tersebut yang selama ini hanya mampu berdoa dan berharap agar Qaseh ditemukan dengan selamat.
Menurut Nurhazlin, dia hairan bagaimana tiada siapa menyedari keberadaan anaknya di kawasan itu selama ini. Namun beliau percaya penemuan ini adalah hasil doa ramai pihak, termasuk pelajar madrasah dan kariah Masjid Tengkera yang turut mengadakan solat hajat.
“Memang hairan macam mana orang tak perasan dia selama ini berada di kawasan itu. Mungkin berkat doa pelajar madrasah dan kariah Masjid Tengkera yang turut buat solat hajat, akhir Qaseh ditemui,” tambahnya.
Kisah ini memberi pengajaran besar kepada masyarakat tentang pentingnya keprihatinan. Ia juga menjadi peringatan bahawa doa seorang ibu sememangnya luar biasa, mampu membuka jalan di saat tiada lagi jawapan di depan mata. Perjalanan panjang kehilangan ini bukan sahaja membawa kesedaran baharu kepada keluarga, tetapi juga membuktikan bahawa keajaiban boleh berlaku apabila harapan terus dijaga.
Penemuan Qaseh dalam keadaan selamat akhirnya menutup episod yang penuh debaran ini. Kini, tumpuan utama keluarga adalah memastikan kesihatan mental dan fizikal remaja itu kembali pulih sepenuhnya setelah melalui fasa yang begitu mencabar dalam hidupnya.
Live Host Qiszar diberhentikan serta merta sebab ‘body shaming’ pelanggan berat 90kg sehingga mencetuskan kecaman ramai di media sosial. Jenama fesyen popular itu tampil mengeluarkan permohonan maaf terbuka selepas insiden tersebut tular dan mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna TikTok serta warga maya di pelbagai platform lain.
Dalam kenyataan rasmi yang dikongsi menerusi platform Threads, pihak pengurusan Qiszar memaklumkan bahawa tindakan segera telah diambil sebaik menerima laporan mengenai insiden berkenaan. Mereka menegaskan bahawa apa yang berlaku tidak selari dengan nilai profesionalisme yang syarikat itu amalkan sejak sekian lama.
Menerusi kenyataan rasmi tersebut, Qiszar menjelaskan bahawa individu yang mengendalikan sesi siaran langsung itu telah diberhentikan serta-merta. Ini kerana tingkah lakunya sama sekali tidak mencerminkan etika dan nilai profesional syarikat, dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
“Kami memohon maaf atas apa yang berlaku ketika sesi siaran langsung. Kami telah menerima maklum balas anda dan tindakan segera telah diambil.”
“Live host terlibat telah dibuang kerja kerana tingkah lakunya tidak dapat diterima dan tidak mewakili nilai Qiszar.”
“Apa yang berlaku jelas bertentangan dengan etika kami. Kami sudah bertahun-tahun menjalankan sesi live dengan penuh rasa hormat dan profesionalisme.”
Kenyataan ini menunjukkan kesungguhan Qiszar dalam menangani isu tersebut dan memastikan bahawa setiap sesi live mereka mematuhi standard yang ketat dalam melayan penonton dan pelanggan.
Live Host Qiszar diberhentikan serta merta sebab ‘body shaming’ pelanggan berat 90kg selepas rakaman video sesi siaran langsung itu dikongsi oleh seorang pengguna media sosial. Dalam rakaman tersebut, seorang penonton bertanya mengenai saiz pakaian yang sesuai untuk individu dengan berat 90 kilogram. Namun, live host berkenaan dilihat memberikan respons sinis sambil ketawa ketika menjawab soalan tersebut.
Tindakannya itu dianggap menghina dan merendahkan pelanggan yang meminta maklumat tersebut. Komen dan gelakannya segera mengundang kemarahan ramai, terutamanya mereka yang pernah berdepan isu body shaming atau berasa sensitif terhadap topik berkaitan bentuk badan.
Selepas video itu tular, warga maya mula membanjiri ruangan komen dengan kecaman terhadap live host berkenaan. Ramai berpendapat bahawa sebagai wakil jenama, individu tersebut perlu menunjukkan sikap profesional, matang dan menghormati semua pelanggan tanpa mengira saiz tubuh atau rupa fizikal.
Ada juga yang menegaskan bahawa insiden seperti itu jelas menunjukkan perlunya latihan khusus untuk host yang mengendalikan sesi live agar mereka lebih peka terhadap isu sensitif seperti body positivity. Pada masa yang sama, ramai memuji tindakan pantas Qiszar dalam menyiasat dan menangani perkara tersebut.
Dalam kenyataan lanjut, Qiszar menegaskan komitmen mereka untuk menghormati wanita daripada pelbagai saiz tubuh dan latar belakang. Mereka juga menyatakan penghargaan kepada masyarakat yang prihatin dan menegur jenama itu supaya terus memperbaiki kualiti layanan terhadap pelanggan.
Mereka memberi jaminan bahawa langkah penambahbaikan akan terus dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang. Insiden ini turut membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai bagaimana jenama-jenama fesyen perlu lebih inklusif dan sensitif terhadap kepelbagaian pelanggan mereka.
Live Host Qiszar diberhentikan serta merta sebab ‘body shaming’ pelanggan berat 90kg bukan sahaja menjadi isu viral, tetapi juga contoh jelas bagaimana setiap tindakan dalam siaran langsung membawa impak besar terhadap imej jenama. Ketegasan Qiszar dalam menangani isu ini menunjukkan komitmen mereka terhadap perubahan positif dan penghargaan terhadap semua pelanggan tanpa mengira saiz tubuh.
Insiden ini menjadi pengajaran kepada host, peniaga dalam talian dan jenama-jenama lain tentang pentingnya menjaga sensitiviti, empati dan profesionalisme dalam setiap interaksi dengan pelanggan, terutamanya dalam era media sosial yang serba pantas dan telus.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menziarahi sepasang bayi kembar yang dilahirkan hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) di bawah tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Keberangkatan Paduka Baginda ke kediaman pasangan tersebut di Pantai Sepat, di sini, hari ini mencatatkan satu lagi detik bermakna dalam perjalanan inisiatif kebajikan yang digerakkan menerusi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah, khususnya dalam membantu pasangan suami isteri yang berdepan cabaran kesuburan.
Pasangan suami isteri, Amru Khalid Sazali, 31, dan isterinya, Afifah Syahirah Abdul Karim, 30, meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila terpilih menyertai program IVF bersama TAFF selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata.
Menurut mereka, pelbagai usaha dan ikhtiar telah dilakukan sebelum ini, namun segalanya dipermudahkan apabila menerima sokongan menerusi program tajaan yang disediakan oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.
Hasil rawatan persenyawaan tabung uji tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pasangan ini dikurniakan bayi kembar sepasang yang selamat dilahirkan melalui pembedahan pada 21 Disember 2025.
Bayi perempuan diberi nama Atiyyah Zahra dengan berat 2.49 kilogram, manakala bayi lelaki dinamakan Abdullah Zainy seberat 2.15 kilogram. Kehadiran dua permata hati ini menjadi anugerah yang amat bermakna buat pasangan berkenaan setelah sekian lama menanti.
Suasana kediaman pasangan tersebut nyata bertambah ceria dengan keberangkatan Tunku Azizah ziarah ‘cucu’ TAFF ke-148 dan 149, yang sekali gus mencerminkan keprihatinan Paduka Baginda terhadap kesejahteraan penerima program IVF di bawah yayasan berkenaan.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah. Paduka Baginda bukan sahaja meluangkan masa menziarahi keluarga tersebut, malah turut menitipkan nasihat serta panduan berkaitan penjagaan bayi dan ibu dalam tempoh berpantang.
Nasihat yang disampaikan merangkumi aspek kesihatan ibu selepas bersalin, penyusuan bayi serta kepentingan sokongan emosi dalam fasa awal kehidupan sebagai ibu bapa kepada bayi kembar.
Amru Khalid tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila menerima kunjungan bersejarah tersebut. Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda serta semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan rawatan kesuburan mereka.
“Junjung Kasih Tuanku!! Dan terima kasih kepada semua pihak TAFF yang sangat membantu dan menyokong perjalanan rawatan kesuburan ini,” katanya penuh emosi.
Pasangan tersebut yang masing-masing bertugas di Muzium Pahang menyifatkan sokongan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah sebagai sinar harapan kepada ramai pasangan lain yang berdepan situasi sama.
Untuk rekod, pasangan ini merupakan penerima cahaya mata ke-148 dan 149 di bawah inisiatif Yayasan Fertiliti Tunku Azizah. Pencapaian ini sekali gus menambah senarai kejayaan program berkenaan dalam membantu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan untuk membina keluarga.
Program IVF di bawah TAFF terus menjadi bukti komitmen berterusan Tunku Azizah dalam memperjuangkan kebajikan keluarga dan kesejahteraan institusi kekeluargaan di negeri Pahang dan seluruh negara.