Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa ‘berjuang’ tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Mayat dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu. Motif kejadian berkemungkinan membabitkan unsur buli dan dendam, susulan beberapa insiden yang menyebabkan segelintir pihak tidak berpuas hati terhadap Allahyarham.
Selepas kes Zara Qairina Mahathir, himpunan solidariti untuk pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia dalam tandas sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, di sini, 12 tahun lalu, dilangsungkan malam tadi.
Himpunan solidariti Justice for Faris diadakan di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV bagi menuntut komitmen penuh pihak berwajib untuk membuka semula siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.
Berikut perkongsian daripada Mohd Fadli Salleh
Sebak aku lihat wajah ayahanda arwah Wan Ahmad Faris, pelajar tahfiz tingkatan 4 yang meninggal dunia ditemui tergantung dalam tandas.
Ayahnya dah berusia 79 tahun. Ibunya pula 70 tahun. Selama 12 tahun kedua ibu bapa dan ahli keluarga arwah berjuang, akhirnya suara kecil dari mereka disambut oleh rakyat jelata.
Lebih 1000 orang turun ke Himpunan Solidariti Justice For Faris di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Arwah sah dibunuh. Mahkamah Koroner telah mengesahkan pada Jun 2016, 3 tahun selepas kematian arwah pada 2013. Anehnya, tiada individu ditangkap. Pembunuh itu masih bebas di luar sana.
Sebelum kematian arwah, arwah dikatakan membuat aduan tentang kes khalwat seorang pelajar dengan anak pengusaha kantin. Pelajar itu digantung sekolah.
Selepas itu arwah diugut oleh pihak berkaitan. Pernah pengusaha dobi terjumpa arwah menyorok dalam keadaan ketakutan dalam dobi, kemungkinan dikejar suspek.
Beberapa hari selepas itu, mayat arwah dijumpai tergantung dalam bilik air di sekolah.
Menurut bedah siasat, mayat dah berada disitu selama 4 hari sebelum ditemui.
Banyak barang kes tidak diberi perhatian, siasatan juga dikatakan tidak telus. Saksi penting kes juga tidak dipanggil untuk siasatan. Lebih aneh lagi, tandas lokasi mayat ditemui dirobohkan dengan alasan gangguan makhluk halus.
Meskipun Mahkamah Koroner Kota Bharu dah sahkan bahawa kematian arwah bukan disebabkan bunuh diri, tapi dibunuh, namun tiada tangkapan dibuat hingga ke hari ini.
Pertengahan tahun ini, keluarga arwah dibantu oleh Puan Liyana dan barisan peguam memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi umum, khas dan lain-lain.
Serentak dengan saman sivil itu, pihak keluarga berharap kes ini akan dibuka semula, saksi penting dipanggil, bukti-bukti seperti DNA pada kain pelikat arwah, rekod panggilan terakhir dan sebagainya akan diteliti semula hingga berjaya mengesan pembunuh kejam ini.
Sama-sama kita menyokong usaha untuk mendapatkan keadilan buat arwah adik Wan Ahmad Faris.
Tidak lupa, teruslah menyokong keadilan untuk anggota Palapes Syamsul Haris dan adik Zara Qairina juga.
Ogos tahun ini merupakan saat kebangkitan demi keadilan buat insan teraniaya. Letak tepi perbezaan politik. Bangkitlah rakyat demi rakyat.
Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh Berita Harian
Baca artikel lain juga: Laungan Justice For Zara Bergema Di Himpunan Solidariti Depan Sogo
Peguam Ibu Zara Qairina Nafi Terima Arahan Saman Doktor Terkenal Tidak Betul..
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE