Inspirasi

Ibu Anak Tiga Ambil SPM Waktu Umur 24 Tahun, Tetap Semangat Walau Kena Bahagikan Masa

Share

Teruja melihat semangat seorang ibu anak tiga

yang masih semangat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas 9 tahun meninggalkan bangku sekolah disebabkan berkahwin awal pada usia 14 tahun.

Ibu Anak Tiga Ambil SPM Waktu Umur 24 Tahun

Ini membuktikan masih wujud wanita yang berstatus ibu mengejar ilmu, orang kata tiada istilah “terlambat” untuk berubah dalam pendidikan.

Apa yang mencuit emosi, wanita berumur 24 tahun ini dilihat bersemangat untuk menyambung pengajian ke menara gading walaupun perlu mengurus tiga anak kecil berusia 4, 6 dan 9 tahun, serta berulang-alik dari Selangor ke Terengganu. Malahan suaminya pula sedang menjalani latihan di PULAPOL.

Sebelum ini, perkongsian wanita itu menerusi akaun Tik Tok tentang kisahnya berkahwin pada usia 14 tahun dan mendapat keputusan 2A dan 4B sebagai calon persendirian SPM 2025 meraih 198,700 tontonan dengan 9,843 tanda suka.

Tetap Semangat Walau Kena Bahagikan Masa

Buat pengetahuan pembaca, Ummul Afifah Husna Mansor berhenti sekolah pada usia 15 tahun itu mengakui, cabaran utama adalah membahagikan masa antara keluarga dan pelajaran.

“Kadang-kadang saya belajar dalam keadaan anak bising, macam itulah saya belajar. Kadang-kadang saya belajar waktu mereka ke sekolah dan ada masa sampai terlelap kerana terlalu penat.

“Ada satu kertas peperiksaan saya hampir lambat sebab terlelap sebelum kertas Matematik, tapi nasib baik kawan-kawan kejutkan,” katanya.

Ummul Afifah Husna berkata, kejayaan tersebut hadir hasil usaha berterusan serta sokongan tanpa berbelah bahagi daripada suami, keluarga dan rakan-rakan.

“Kalau ada kelas dalam talian waktu malam, suami akan balik awal untuk jaga anak. Kami memang saling menyokong,” katanya.

Kongsinya, dia juga mempunyai mempunyai sistem sokongan yang kuat termasuk rakan-rakan seperjuangan yang turut mengambil SPM.

“Kami ada kumpulan sendiri. Kalau saya tak bangun pagi, mereka akan telefon atau datang ke rumah. Kami saling bantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Abaikan Kata-kata Negatif

Ada segelintir yang kurang berpuas hati dengan perkongsian wanita ini tentang kahwin muda, namun Ummul Afifah Husna menegaskan niatnya bukan untuk menggalakkan perkara tersebut.

“Ramai yang hubungi saya untuk tanya tentang kahwin muda, tetapi selepas saya kongsi cabaran sebenar, kebanyakannya berubah fikiran dan tidak jadi berkahwin,” katanya.

Walaupun berdepan reaksi negatif di media sosial, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkongsi pengalaman.

“Bagi saya, yang nampak negatif mungkin sebab mereka tidak nampak kebaikan. Tapi saya sendiri lihat ramai yang berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah berputus asa, walaupun tidak cemerlang dalam akademik.

Mengulas isu kritikan di media sosial, Ummul Afifah Husna berkata, beliau memilih untuk abaikan kata-kata negatif dan cukuplah fokus kepada sokongan positif yang diterima.

Gambar: Moden Channel

Published by
Nadia