
Ibu dan anak rentung dalam kebakaran rumah, terperangkap di ruang tamu berhampiran pintu keluar. Tidak pernah terlewat sesaat dan tidak pernah tercepat walau sedetik. Ajal akan tiba pada waktunya suatu ketetapan yang telah tertulis sejak azali buat semua hambaNya.
Satu tragedi kebakaran di Taman Rathna, Butterworth pagi Rabu semalam cukup menyayat hati bila mana seorang ibu ditemui rentung bersama anak angkatnya berusia sekitar 4-5 tahun. Lebih menyedihkan, kedua-duanya ditemui di ruang tamu rumah berhampiran pintu keluar dalam rumah yang hampir terbakar keseluruhannya.
Arwah dikenali sebagai Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an serta anak angkatnya Andra ditemui di ruang tamu rumah mereka pada jam 10.59 pagi oleh pasukan bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, kejadian yang dilaporkan pada jam 9.41 pagi itu melibatkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan sekitar 85 peratus.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bersama bantuan BBP Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas tiba di lokasi pada jam 10.06 pagi sebelum melaksanakan operasi penyelamatan dan pemadaman secara ofensif serta defensif.
Seorang lagi mangsa, dipercayai anak kandung wanita berkenaan berusia lingkungan 20-an, berjaya diselamatkan walaupun cedera selepas ditemukan berhampiran pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi. Seramai 20 anggota dengan empat jentera termasuk FRT dan EMRS terlibat dalam operasi tersebut. Punca kebakaran masih dalam siasatan.